Pukul Mahasiswa: Polis Pakai Undang-Undang Mana?

Mohd Sayuti Omar
SEBAIK membuka Fb pagi ini terkejut apabila membaca beberapa catatan mengenai kejadian mahasiswa di belasah polis di UPSI. Ada yang disertakan gambar mahasiswa yang luka berjahit di kening, terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas kereta sorong, gambar kereta Kancil dipecahkan cermin dan sebagainya.

Menurut catatan rakan-rakan dalam Fb kejadian itui berlaku sekitar jam 2:00 pagi tadi di perkarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim.
Melihat kepada gambar dan laporan yang ditulis, tindakan polis itu sudah melampau. Walaupun apa alasan, ianya melampau. Polis tidak sepatutnya melakukan demikian rupa kalaupun ingin menjaga perdana menteri, Najib Razak. Pelajar atau mahasiswa tidak patut dipukul hingga pangsan. Mereka bukan merusuh atau membuat jahat hanya tunjuk perasaan.

Itu bukan hendak soal dari segi ethnik lagi. Kalau kita soal itu lagi terasa pilu dan sedihnya kerana semuanya adalah bangsa Melayu. Yang pukul tentu Melayu dan yang kena pukul juga Melayu. Saya tidak fikir polis akan hantar polis Cina dan India untuk pukul Melayu.

Kenapa pukul mereka? Mereka adalah anak-anak kita yang bakal mewarisi negara di masa depan. Kalau kita waras dan bertimbang rasa aksi dan himpunan mereka itu tidak ke mana. Mereka hanya ingin melepaskan perasaan ke atas sesuatu yang mereka tidak setujui sahaja. Dan gelagat mereka itu lumrah bagi anak-anak muda seusia mereka.

Katanya mereka berhimpun kerana menuntut AUKU dihapuskan. Sambil mendesak mereka usung keranda di atasnya ada gambar Najib. Apakah salah perbuatan mereka itu? Najib tidak akan terhina kalau sekadar gambarnya diletak atas keranda, dipijak hatta dibakar. Maruah seorang pemimpin itu bukan terletak di situ. Kalau Najib bisa, bijak, cerdik dan mampu membawa rakyat ke alam cerah, Najib tetap akan disanjung. Kalau Najib dapat memacu ekonomi negara dia akan menang pilihan raya. Kalau dia dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya dia akan disanjung.
Bagi saya adalah pandir polis yang mengarahkan agar mahasiswa yang berhimpun tidak sampai 10,000 itu dibelasah macam anjing. Kalau polis-polis berkenaan sudah lama tidak melepas geram dan belasah orang mereka boleh diajak masuk hutan kejar babi hutan. Belasahlah, tetapi bukannya mahasiswa.
Baik Najib, Hishamuddin Hussein, Udin anak Yassin perlu mengambil perhatian berhubung insiden berkenaan. Ketua Polis Negara juga kena tenguk apa yang anak buahnya yang menggila dibawah. Sepatutnya polis yang mengarahkan mahasiswa itu dibelasah dikenakan tindakan. Mereka juga patut dibelasah.

Tugas, tugas juga khidmat, khidmat juga. Tetapi motto berbunyi Selalu Tepat dan Betul kena dipatuhi juga. Polis perlu malu kepada lambang Allah yang tertera dihadapan topi yang mereka pakai. Allah tidak menyuruh kita membelasah manusia secara membabi buta. Lagi pun tugas polis menjaga keselamatan, mengawal keselamatan bukan membelasah orang.

Tidak ke mana himpunan itu. Mereka tidak perlu dipukul dan cermin kereta dimusnahkan. Itu para SB yang selalu suka dan bangga dengan kerja mereka sebagai provokor dalam apa-apa episod demonstrasi perlu insaf dan sedar. Bahawa perbuatan dan tindakan mereka itu tidak menguntungkan sesiapa pun. Mereka boleh bangga tetapi kebanggaan itu seperti duduk atas tahi lembu.

Inilah wajah dan rupa pasukan polis kita. Kalau kita kata polis kita jahat, ala Mossad mereka akan marah. Tetapi mereka perlu sedar dengan tindakan mereka berlebihan ada cici-ciri Mosaad. Biarlah Rahim Noor seorang digelar Mosaad tetapi tidak yang lain. Cukuplah Rahim Noor mencatatkan sejarah hitam dalam pasukan polis tetapi janganlah biar ada perangainya kepada cucu cicitnya dalam pasukan polis.

Kita tidak marah kalau polis membelasah dan memukul sampai mati terhadap penjenayah. Pukullah. Tetapi mahasiswa bukan penjenayah. Undang-undang mana yang diguna pakai polis untuk memukul mahasiswa. Kita selalu mengakui polis kita canggih, cekap, berdiplomasi, bertaraf dunia, tetapi dalam kes-kes tertentu kita lebih tersuk dari askar Jepun.

Kepada mahasiswa pun satu. Kalau hendak berhimpun jangan gunakan malam 1 Januari. Untuk apa kita mengambil sempena berhimpun pada malam yang tidak ada sedikit nilai pun dalam kehidupan kita. Mungkin kerana tarikh dan masa itu tidak memberi apa-apa signifiken lah menyebabkan musibah itu berlaku. 1 Januari sebenarnya malam yang penuh kecdelakaan dan kemaksiatan.

1 ulasan:

  1. Bagi saya malam yang yang dijadikan oleh Allah swt tidak ada cacat celanya.Cuma manusia sendiri yang menjadikan nya sebagai malam yang penuh kemaksiatan dan kecelakaan.Tanya para penganjur program maksiat yang bertaraf profesional.

    BalasPadam