Semua individu yang terbabit dalam BAM patut letak jawatan - Razif Sidek

DATUK Lee Chong Wei mengetuai cabaran negara pada kempen kelayakan di Macau bulan depan.

"SEMUA patut letak jawatan."
Demikian tegas bekas pemain beregu badminton negara, Razif Sidek sekiranya skuad negara gagal mara ke pusingan akhir Piala Thomas di Wuhan, China pada Mei depan.

Razif berkata, baik jurulatih, Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Pasukan Prestasi Tinggi (HPT), individu-individu yang terbabit perlu bertanggungjawab sekiranya skuad negara gagal melepasi pusingan kelayakan di Macau, bulan depan.

Katanya, beliau sangat kecewa melihat persiapan yang dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Thomas kali ini yang mana lebih mementingkan temasya Sukan Olimpik 2012 di London berbanding kejohanan berprestij itu.

"Berdasarkan post mortem yang dijalankan ekoran kegagalan skuad negara pada Piala Thomas 2010, punca kekalahan pada tahun tersebut adalah disebabkan daripada kelewatan melakukan persiapan.

"Namun, tahun ini juga nampaknya sama sahaja saya lihat, langsung tidak ada persiapan. Hanya tinggal lebih kurang dua minggu sahaja lagi sebelum kempen kelayakan bermula, barulah BAM mahu mengadakan latihan pusat.

"Apa ini? Memang sudah jelas BAM tidak ada perancangan bagi mempersiapkan skuad menghadapi Piala Thomas. Mereka lebih mementingkan kejohanan-kejohanan individu dan Sukan Olimpik sahaja.

"Memang, Sukan Olimpik juga merupakan satu temasya sukan dunia besar tetapi Piala Thomas juga sama. Ia ibarat Piala Dunia bola sepak dalam sukan badminton. Perlu ada keseimbangan untuk melakukan persiapan bagi menghadapi kedua-dua kejohanan tersebut.

"Jadi, saya lihat individu-individu terbabit yang dalam BAM itu letak sahaja jawatan jika skuad negara gagal ke pusingan akhir. Buang masa sahaja," kata Razif ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelas Razif, andai gagal ke pusingan akhir, BAM sudah tidak boleh menggunakan alasan bahawa tidak ada pemain yang benar-benar layak bagi menggalas cabaran negara kerana ia semua berpunca daripada badan induk itu sendiri.

"Selepas Piala Thomas terakhir pada 2010, BAM ada dua tahun untuk melahirkan bakat-bakat baharu. Namun, saya tidak melihat itu berlaku sebaliknya hampir keseluruhannya pemain yang sama juga.

"Inilah akibatnya apabila melakukan persiapan di saat-saat akhir. BAM langsung tidak ada perancangan untuk mengembalikan Piala Thomas itu ke Malaysia.

"Dua tahun lalu, kita sudah melakukan kesilapan. Sepatutnya kesilapan itu sudah tidak berulang lagi tetapi ia tetap terjadi," jelas Razif yang turut berada dalam skuad negara ketika menjulang Piala Thomas pada edisi 1992.

Ditanya sama ada skuad negara masih memiliki peluang untuk sekurang-kurangnya mara ke pusingan akhir Piala Thomas, Razif menjawab: "Terus terang saya katakan, peluang itu memang tidak ada kerana tidak ada perancangan."

Kempen kelayakan Piala Thomas kali ini akan membuka tirainya di Macau bermula 13 hingga 19 Februari depan.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah gagal melepasi pusingan kelayakan sejak kejohanan tersebut mula diperkenalkan pada 1949.

Jika gagal kali ini, ia merupakan 'bala' baharu buat sukan badminton tanah air.

Berdasarkan format kejohanan, hanya empat pasukan terbaik dari kelayakan Zon Asia layak bersaing pada pusingan akhir di Wuhan, China, Mei depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan