Nik Nasri Nik Malek
Saya sebenarnya tidak mahu menulis lagi tentang Dr Hassan Ali, tetapi kerana ceramahnya di Cukai, Kemaman, maka saya tulis artikel ini. Banner besar mengenai ceramah Dr Hasan Ali memenuhi seluruh Kemaman. Siang di Stadium negeri Terengganu di Kuala Terengganu dan malamnya di Padang bandar Chukai, Kemaman.
Malam ceramah itu sebenarnya ada 2 ceramah. Ceramah Adam Adli anjuran MTD Cukai di Kampung Dusun Nyior dan ceramah Hassan Ali di Padang Astaka Chukai. Usai merasmikan mesyuarat agung sebuah cawangan malam itu, saya meronda sekitar tempat ceramah.
Bas-bas yang disewa memenuhi sekitar padang. Ada yang beritahu padang tak penuh, tapi jumlah sebenar pengunjung saya tak pasti. Diberitahu bahawa semua JKK, Wanita Umno, Puteri dan belia dikerah untuk menghadiri ceramah tersebut. Benarkah demikian?
Di kawasan letak kereta dan tempat lain, RELA ramai juga. Saya teringat dengan tulisan Dato’ Tuan Ibrahim mengenai kebimbangannya dengan RELA sebagai reaksi kepada ucapan Najib yang akan mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekalipun.
Tema ceramah Himpunan Sejuta Umat mengajak umat menjaga aqidah. Siapa sebenarnya penganjur ceramah? NGO atau Umno Kemaman? Umno cakna kepada aqidah? Jauh panggang dari api.
Dr Hassan Ali mungkin teruja dengan sambutan. Rupanya selepas tidak menjadi ahli PAS, sambutan masih banyak. Cuma yang banyak itu dari siapa ya? Kalau nak uji pengaruh, boleh uji di kawasan DUN yang Dr menjadi wakil rakyatnya. Letak jawatan dan bertanding di atas tiket JATI atau BN.
Dr Hassan Ali sebut bahawa pemecatannya kerana Islam, perjuangkan Islam. Lantas beliau memberikan justifikasinya. Saya tak fikir Presiden PAS memecat Dr Hassan Ali kerana Islam atau perjuangkan Islam. Di sana ada pelbagai isu lain yang berlaku. Mungkin Dr Hassan Ali mahu menuding jari kepada beberapa orang sahaja di dalam PAS tetapi apabila ceramah dan roadshow yang dibuat, maka ia menjadi seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar, atau beruang menampar lalat di pipi tuannya.
Dasar perjuangan PAS tidak lari hanya dengan sebab ada beberapa orang yang kurang disenangi tadi kerana PAS tetap dipandu oleh Majlis Syura Ulama. Kita juga punya Dewan Ulama yang tidak akan mendiamkan diri jika perjuangan PAS dibawa secara salah. Apatah lagi MursyidulAm dan Presiden PAS sendiri ialah ulama haraki yang berpengalaman.
Di atas kapasiti seorang pakar motivasi, mungkin ucapan Dr Hassan Ali ada yang mengiakan selurruh ucapannya. Mungkin ada sedikit kebenarannya, dan banyak juga yang perlu dijelaskan kembali. Mungkin juga ada orang atas yang terpengaruh lalu tidak lagi mengundi PAS dan Pakatan Rakyat. Lagi banyak roadshow yang dibuat lagi banyak ucapan dibuat. Lagi banyak ucapan lagi banyak kekeliruannya.
Peluang untuk kembali kepada PAS belum berakhir. Presiden PAS pernah mengimbau seorang tokoh dalam PAS yang aktif menulis dan aktif juga mengkritik secara berlebihan. Beliau akhirnya kembali kepada PAS di hujung umur. Bagi Dr Hasan Ali, sekarang suara masih kuat dan lantang. Adakah Dr akan kembali kepada PAS di hujung umur juga atau bagaimana?
Nik Nasri Nik Malek,
Kemaman, Terengganu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan