Lagi ceramah dibatalkan akibat ganguan 'samseng'

NONE
Satu lagi ceramah, kali ini mengenai kebebasan akademik terpaksa dibatalkan malam tadi selepas sekumpulan remaja menganggu majlis itu dan mengepung lokasi yang dicadangkan di Kampung Idaman, Klang.


Ketika dihubungi, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab Razab berkata "samseng" berkenaan telah memecahkan kerusi dan menyelerakkan dewan serbaguna itu sebelum ceramah bermula.

"Mereka juga mengepung lokasi itu dan kami terpaksa berlindung di sebuah gerai makanan berhampiran sementara menunggu keadaan kembali tenang," katanya.

Walau bagaimanapun, kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 70 orang, kata Ahmad Syukri, enggan berganjak dan ini memaksa pelajar yang berjumlah kira-kira 15 orang itu membuat laporan di balai polis Pandamaran.
smm klang ceramah 120212
"Kami tiba di balai polis Pandamaran pada kira-kira jam 11.30 malam, samseng itu terus ekori kami dan mula berkumpul di sana bersama motosikal mereka,” katanya.

Kejadian ini adalah kali kedua apabila ceramah seumpama itu di Klang terganggu. Kali pertama, ceramah pertubuhan Asalkan Bukan Umno (ABU) ‘diserang’ remaja bermotosikal yang bertindak ganas dengan menyerbu lokasi di Jalan Kebun dan dilaporkan memukul seorang pemuda.

Baling batu

smm klang ceramah 120212
Menurut Ahmad Syukri, akibat keadaan yang tegang, polis Pandamaran memutuskan untuk mengiringi pelajar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang untuk membuat laporan.


“Tiga kereta polis mengiringi kami dalam konvoi lima kenderaan tetapi ketika kami keluar, mereka membaling batu dan memukul kereta kami dengan kayu.

“Syukur, cermin kereta kami tidak pecah tetapi kereta (timbalan presiden, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen) Khalid Mohd Ismath kemek teruk," katanya sambil menambah polis juga tidak mampu berbuat apa-apa.

Samseng-samseng itu sekali lagi mengekori pelajar berkenaan ke ibu pejabat polis daerah Klang dan kali ini, kata Ahmad Syukri bilangan mereka meningkat kepada lebih 100 orang.

smm klang ceramah 120212
"Selepas membuat laporan polis, kami dinasihatkan supaya tidak meninggalkan balai polis berkenaan demi keselamatan.


"Malah sehingga jam 4 pagi, samseng itu masih di luar, jadi kami terpaksa melarikan diri melalui pintu lain dengan bantuan penduduk tempatan," katanya.

Menurut Ahmad Syukri, pelajar akhirnya berjaya meninggalkan tempat itu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dan tanpa sebarang kecederaan.

Ceramah malam tadi adalah sebahagian daripada program jelajah mereka ke seluruh negara bagi menuntut kebebasan akademik. Walau bagaimanapun, ini adalah kali pertama ia diganggu.

1 ulasan:

  1. Ini baru kali kedua tidak mungkin untuk kali ketiganya dan beribu kali lagi...
    Selagi umno memerintah ia tidak akan berhenti disini...
    PRU 13 tumbangkan umno pasti tidak ada samseng seperti ini lagi

    BalasPadam