Rafizi dakwa NFC ditakdir gagal sejak awal lagi (video)


Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata, kali pertama beliau mendengar mengenai National Feedlot Corporation (NFC) bukanlah melalui laporan Ketua Audit Negara tetapi melalui majalah gaya hidup masyarakat kelas tinggi – Malaysia Tatler.

"Sangat glamour," fikirnya apabila melihat anggota keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ditampilkan dalam majalah berkenaan sekitar empat atau lima tahun lalu.

Keluarga menteri itu nampaknya seronok dengan perhatian seperti itu, kata Rafizi lagi dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sekiranya projek National Feedlot Centre yang diusahakan syarikat berkenaan merupakan satu projek 'gajah putih.'

Rafizi ditanya demikian susulan dakwaannya bahawa projek itu ditakdirkan untuk gagal sejak awal lagi.

"Jika ia merupakan satu projek gajah putih, yang mereka tahu sebagai satu sabotaj kepada mereka, saya tidak fikir mereka akan berseronok dengan glamour...," katanya lagi.

Beliau juga mendakwa, keluarga menteri itu sejak awal lagi mengetahui bahawa projek ternakan lembu itu tidak akan berjaya.

"Tapi saya fikir mereka tahu sejak awal lagi bahawa untuk mencapai sasaran 276,000 ekor lembu setahun adalah mustahil dan sebab itulah saya fikir mereka menghabiskan banyak masa membuat perkara lain," katanya.

Rafizi mendakwa projek NFC itu hanyalah satu "samaran", sedangkan suami dan anak-anak menteri berkenaan menggunakan pinjaman RM250 juta itu sebagai modal untuk perniagaan yang lebih "glamour" seperti pelaburan hartanah dan juga kedai makan kelas tinggi.

"Jadi apabila anda dapat orang yang mendapatkan kontrak dan pembiayaan bukan untuk tujuan sebenar dasar tersebut, tentulah ia ditakdirkan gagal sejak awal lagi," katanya.

Beliau juga mendakwa, keluarga menteri itu telah menggunakan kawalan mereka ke atas pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan kerajaan itu untuk perniagaan lain.

Akauntan berkanun itu memberi alasan mudah – walaupun
seseorang itu tidak dilantik sebagai pemegang saham dalam sesuatu syarikat, individu berkenaan boleh membuktikan bahawa mereka mempunyai kawalan ke atas dana yang besar seperti pinjaman RM250 juta dari kerajaan.

"...Itu saja sudah cukup sebagai jaminan kepada bank untuk memberikan anda pinjaman untuk membeli begitu banyak hartanah," dakwanya.

Rafizi juga sangsi dengan kenyataan yang diberikan oleh salah seorang anak Shahrizat – Wan Shahinur Izmir Salleh – ketika menafikan dakwaan bahawa beliau serta anggota keluarganya rakus membelanjakan pinjaman wang tersebut.

Wan Shahinur antara lainnya berkata dakwaan itu tidak
munasabah kerana keluarganya masih perlu membayar pinjaman tersebut.

Rafizi yang melihat isu tersebut dari sudut akauntabiliti berkata, penjelasan itu tidak sah di sisi undang-undang.

"Saya setuju jika setiap orang (pemilik National Feedlot Corporation) meletakkan jaminan peribadi ke atas pinjaman RM250 juta, letakkan semua aset atas nama mereka sebagai cagaran kepada RM250 juta itu, barulah kita bercakap dengan masuk akal sedikit," katanya.

Tanpa akauntabiliti seperti itu, kata Rafizi, tindakan yang dapat dijalankan hanyalah dengan menutup syarikat induk yang mengawal NFC – Agroscience Industries Sdn Bhd yang juga dimiliki keluarga menteri berkenaan.

Wan Shahinur juga sebelum ini telah mengemukakan hujah bahawa langkah menubuhkan syarikat pengedar untuk daging dan juga rangkaian restoran mewah Meatworks dibuat untuk menyokong pusat ternakan fidlot itu.

Penjelasan itu dicabar oleh Rafizi yang berkata, kerajaan dan
syarikat NFC sendiri tidak mempunyai hak ke atas dua anak syarikat tersebut – National Livestock dan Meat Corporation dan Real Food Company – yang telah menerima pemindahan wang daripada syarikat NFC.

National Livestock and Meat Corporation bertanggungjawab mengeluarkan produk lembu daripada daging tersebut dan Real Food Company pula mengedarkan produk berkenaan, selain menguruskan rangkaian restoran mewah Meatworks.

"Anda tanya sesiapa saja dalam syarikat runcitan, bukan saja dalam (industri) daging. Mereka tidak tubuhkan begitu banyak operasi (tapi) mungkin hanya satu bahagian atau seksyen pemasaran di dalam syarikat itu.

"Tapi yang paling penting, anda tidak boleh bercakap mengenai membina rangkaian pengedaran produk lembu seperti didakwa, apabila mereka tiada lembu.

"Anda perlu ada jumlah lembu yang perlu sebelum anda boleh mula buat (perkara ini)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan