Umno-BN parti politik parasit

ND Ibrahim
Parasit atau tumbuhan menumpang hidup di tumbuhan induk lain memang diketahui merupakan sejenis tumbuhan yang menjadikan sel- sel dari tumbuhan induknya sebagai sumber makanan untuk meneruskan kelangsungan hidupnya.
Jika parasit berkenaan terus dibiarkan, lama-kelamaan ianya akan membawa mudarat kepada tumbuhan induk itu sendiri dan boleh menyebabkan pokok induk itu mati secara perlahan-lahan.

Sama di alam semulajadi, dalam arena politik negara ini Parti Kebangsaan Melayu Bersatu atau Umno juga sama seperti tumbuhan parasit tadi, kelangsungan hidupnya sangat bergantung kepada ‘tumbuhan induknya’.

Menjadikan keadaan lebih buruk lagi apabila Umno-BN hari ini telah dianggap sebagai sebuah parti politik parasit yang memerlukan kos penyelengaraannya yang cukup tinggi demi memuaskan kehendak pemimpin dan meneruskan kelangsungan parti itu sendiri.

Lebih-lebih lagi di saat semakin hampirnya musim pilihan raya seperti keadaan yang ada sekarang, sikap parasit mereka akan meningkat berkali-kali ganda bagi memastikan parti itu terus kekal bernyawa.

Hakikat Umno-BN adalah sebuah parti yang paling banyak memenangi pilihan raya yang pernah diadakan di negara ini memang tidak dapat disangkal lagi.

Bagaimanapun kemenangan demi kemenangan yang Umno-BN kecapi banyak bergantung kepada faktor formula ’3M’ yang banyak menyebelahi mereka iaitu Media, Machinery dan Monetary.

Sama seperti parasit, semenjak Mogok Utusan 1961 lagi, Umno-BN dengan tidak bertanggungjawab dan konsisten mempergunakan media demi kelangsungan hayat mereka sekaligus membunuh kebebasan media di negara ini dengan perlahan-lahan.

Machinery

Tanpa ragu-ragu Machinery (jentera) pilihan raya Umno-BN boleh dianggap sebagai jentera pilihan raya yang paling berkesan dan utuh berbanding jentera-jentera parti lawan.

Bagaimanapun sekali lagi, sama seperti parasit yang memakan sel tumbuhan induk untuk kelangsungan hidup, jentera Umno-BN sebenarnya cuma bergantung harap kepada jentera kerajaan samada dengan menyalahgunakan harta termasuk peruntukan dari dana awam mahupun penggunaan sumber manusianya.

Tindakan yang banyak memberikan kelebihan kepada mereka itu dengan sendirinya telah banyak merosakan institusi kerajaan negara ini.

Malahan gara-gara sikap parasit Umno itu, lebih-lebih lagi di kalangan penyokong totok Umno telah gagal membezakan harta hak milik kerajaan dengan hak milik Umno dengan beranggapan bahawa hak kerajaan juga merupakan kepunyaan Umno-BN dan begitu juga sebaliknya.

Monetary (Kewangan)

Rata-rata masyarakat negara ini sedar bahawa Umno-BN dengan wang tidaklah dapat dipisahkan bagaikan semut menghurungi tumpahan gula, di mana ada lubuk wang maka di situlah pemimpin-pemimpin mereka akan menghurunginya.

Demi kepentingan kekayaan diri dan memenuhkan kantung pilihan raya maka tidaklah menghairankan apabila pelbagai cara dilakukan untuk mendapatkan wang bagi menjana perjalanan kempen pilihan raya mereka.

Komisen bernilai jutaan ringgit dalam urusniaga pembelian aset bernilai tinggi negara contohnya, selain masuk ke poket diri sendiri dan kroni, sebahagian darinya juga adalah untuk persediaan perbelanjaan pilihan raya.

Tidak ketinggalan projek-projek bernilai berbilion ringgit yang kononnya untuk rakyat juga turut menyediakan habuan untuk pemimpin tertentu dan kantung pilihan raya parti ‘high maintenance’ itu sebagai pra-syarat bagi memperolehi projek rundingan terus kerajaan.

Maka, tidaklah menghairankan apabila beberapa kontroversi berhubung pembelian aset negara seperti pembelian kapal selam Scorpene misalnya tidak mendapat reaksi yang sepatutnya dari SPRM dan badan penguatkuasa yang lain.
Persepsi negatif

Lebih menyedihkan, apabila kontroversi pembelian tersebut turut menimbulkan pelbagai persepsi negatif termasuklah tanggapan yang melibatkan nyawa melayang baik diletupkan mahupun ke tali gantung.

Maka tidaklah keterlaluan jika ada masyarakat yang menganggap sesetengah projek kerajaan dan pembelian aset bernilai tinggi negara dibuat berdasarkan keperluan kewangan Umno-BN serta pemimpin mereka dan bukannya keperluan rakyat dan negara.

Projek dan pembelian tersebut hanyalah dijadikan satu platform bagi membolehkan duit masuk kekantung mereka ‘secara sah’ dan menguntungkan kroni sekaligus mewujudkan situasi menang-menang sesama mereka.

Sikap parasit Umno-BN memakan sel pokok induk ini bukan sahaja membunuh kebebasan media dan kebertanggungjawaban entiti kerajaan terhadap harta kerajaan malah turut membunuh intergriti badan penguatkuasaan dan sistem perundangan negara yang kononnya bebas.

Bukan sahaja peluh jantan ketakutan SPRM, polis dan badan penguatkuasaan lain terpercik tatkala cuba memulakan siasatan terhadap pemimpin-pemimpin Umno-BN ini.

Hatta pihak di dalam institusi perundangan turut berfikir berkali-kali sebelum melakukan sebarang pendakwaan meskipun dibekalkan bukti yang kukuh.

Sepertimana cara untuk menyelamatkan pokok induk dengan membuang parasit yang melata di dahan-dahan, parasit Umno-BN juga haruslah segera dinyahkan dari Putrajaya.

Satu-satunya peluang terdekat yang ada untuk rakyat negara ini membunuh parasit Umno-BN yang telah lama membunuh kebebasan media, integriti kerajaan, penguatkuasaan, kehakiman dan lain-lain ialah melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, pengundi jangan tersilap pilih lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan