Umno halang, tahan petugas Izzah di balai polis

Masdar Wahid
KUALA LUMPUR, 20 Mac: Umno sekali lagi bertindak ganas apabila bertindak menahan tiga petugas Nurul Izzah dan mengheret mereka ke balai polis sewaktu mereka membuat bancian bagi Ahli Parlimen itu.

Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, tindakan itu jelas bertujuan menghalang tugas Izzah selaku Ahli Parlimen Lembah Pantai untuk membantu rakyat di kawasannya.

“Petugas ini ditahan sekumpulan ahli Umno ketika mereka membuat bancian di kawasan PPR Kg Limau Pantai Dalam.

“Bukan setakat ditahan, malah petugas ini juga dibawa kumpulan Umno itu ke balai polis dan ini jelas bertujuan menghalang tugas Izzah selaku Ahli Parlimen di kawasan ini,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Menurut Fahmi, petugas -petugas dari pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memang membawa bersama surat mengesahkan mereka dari pejabat Nurul Izzah sewaktu membuat bancian itu.

“Dua petugas ini sekadar membuat bancian bagi membantu pejabat Izzah selaku Ahli Parlimen Lembah Pantai dan kedua-dua mereka juga sudah mendapat kebenaran dari Izzah sendiri dan tugas bancian mereka bermula sejak Sabtu lalu hingga semalam,” katanya.

Mengenai dakwaan Umno semalam kononnya tiga mahasiswa diperalat dan menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beliau menegaskan mahasiswa adalah golongan intelek dan tidak semudah itu mereka diperalat.

“Kenyataan itu jelas berniat jahat untuk memburuk-burukan Izzah selaku Ahli Parlimen Lembah Pantai yang konsisten memperjuangkan hak rakyat di sini,” tegasnya.

Selepas Izzah menawan Parlimen Lembah Pantai, Umno menggunakan pelbagai taktik untuk mengganggu tugas-tugas beliau sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

Selain gangguan Umno, Izzah juga disabotaj Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di mana Izzah berjaya mengesan berlakunya peningkatan mendadak undi pos di Lembah Pantai sebanyak 1,363 peratus.

Turut didedahkan sebelum ini adalah seorang pengundi bernama ‘Balai Polis Kerinchi’ yang ‘lahir’ pada tahun 1983 menggunakan kad pengenalan polis RF161872.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan