ALOR SETAR: Seorang anggota polis yang bertugas di Istana Anak Bukit di sini maut dipercayai ditembak rakan setugas di pos pengawal di hadapan pintu utama istana hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, mangsa Mohd Sobri Mohd Sidek, 22, anggota berpangkat Konstabel, yang berasal dari Melaka mati di tempat kejadian.
Mangsa meninggal dunia akibat cedera parah dipercayai ditembak di muka dan dada menggunakan senjata jenis M-16.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata kejadian tersebut disedari oleh seorang anggota lain, yang berada berhampiran tempat kejadian yang
terdengar bunyi seperti mercun.
"Bila anggota tersebut keluar dia nampak mangsa terbaring di hadapan pos pengawal dalam keadaan berlumuran darah dan suspek meninggalkan istana sejurus kejadian berlaku dengan menggunakan kereta," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Beliau berkata, polis telah menahan suspek berpangkat Lans Koperal di Simpang Empat, Perlis dipercayai di rumah isterinya kira-kira pukul 8.30 malam ini dan dibawa ke sini untuk siasatan lanjut mengenai motif pembunuhan tersebut.
Ahmad berkata, suspek yang berusia 25 tahun baru sahaja ditugaskan di istana tersebut dua minggu lalu dipercayai menembak mangsa dengan menggunakan senjata jenis M-16 hasil daripada kelongsong peluru yang ditemui di tempat kejadian.
Katanya, mangsa dan suspek bekerja bagi shift 3 petang hingga 7 malam.
Mayat mangsa dibawa keluar dari istana kira-kira pukul 7.40 malam dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rejab telah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong untuk dipersembahkan kepada Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kira-kira pukul 6.30 petang tadi.
"Tuanku Abdul Halim sedih dengan kejadian yang berlaku dan ini merupakan kali pertama kes tersebut berlaku sejak istana itu wujud pada 1936," katanya.
Seorang saksi yang tinggal berhampiran istana itu, Jafiza Mohd Jaafar, 38, berkata dia terdengar bunyi beberapa das tembakan dan menyangka hanya bunyi tembakan biasa kerana pihak istana memburu musang.
Dia hanya mengetahui kejadian tersebut ketika hendak mengambil gambar di depan istana.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan