Ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menepis dakwaan yang mengaitkan serangan ke atas siswa yang berkhemah di Dataran Merdeka dalam satu kejadian awal pagi ini.
Dengan sinis, beliau berkata orang akan menyalahkan Umno atas semua masalah yang dihadapi mereka.
"Kalau ada kereta bocor di tepi jalan itu salah Umno. Kalau ada motorsikal bocor itu salah Umno. Kalau ada basikal bocor di tepi jalan di dalam hutan yang tak ada orang lalu lalang, itu pun salah Umno.
"Mereka ini sudah bankrap idea, semua salahkan Umno. Ada orang liwat orang lain, Umno yang kena. Dia yang sedap, kita yang kena," katanya lagi ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.
Ditanya lanjut mengenai dakwaan siswa berkenaan yang mengaitkan tindakan samseng itu dengan parti Umno, Ahmad berkata: "Saya tak tahu, saya sedang tidur semalam. Orang tidur di rumah, bukan di padang."
Ahmad mengulas kes melibatkan sekumpulan individu tidak dikenali yang merosakkan khemah dan menyerang kumpulan pelajar yang berhimpun di Dataran Merdeka, awal pagi ini.
Seorang detektif polis turut cedera dalam kes yang disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Rusuhan) itu.
Kenyataannya Ahmad itu juga timbul susulan tuntutan oleh pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin kepada Umno supaya bertanggungjawab atas serangan berkenaan.
Badrul Hisham menyuarakan cabaran itu dalam satu kenyataan hari ini.
"Seperti dijangka Umno yang terdesak dengan sekumpulan pelajar yang membuat keputusan nekad untuk berkhemah di Dataran Merdeka dalam protes mereka terhadap PTPTN dan tuntutan pendidikan percuma bertindak di luar norma biasa," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan