'Saya cakap sebab ada bukti' - Mahfuz Omar

ROSLINDA HASHIM
mahfuz kedahALOR SETAR: Datuk Mahfuz Omar mencadangkan penubuhan satu suruhanjaya diraja dan bersedia memberi kerjasama bagi menyiasat dakwaannya mengenai kewujudan pasukan khas yang bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada warga asing untuk mengundi dalam pilihan raya umum.
Naib Presiden Pas ini berkata, pendedahan yang dibuatnya adalah serius kerana ia mungkin membolehkan golongan itu mengundi dalam pilihan raya kelak.

“Saya sudah usulkan cadangan supaya diwujudkan suruhanjaya diraja ini segera dalam perbahasan belanjawan tahunan di Parlimen baru-baru ini.

"Saya harap ia dipertimbangkan kerana mempunyai asas yang kukuh dalam dakwaan itu,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena ketika ditemui selepas Ceramah Pelancaran Kempen Bersih 100 Peratus peringkat negeri Kedah, di Kompleks Hijau Kuning, malam tadi.

Menurutnya, berdasarkan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bersetuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat pemberian kerakyatan warga asing di Sabah.

“Secara tidak langsung, PSC mengakui perkara seperti itu memang berlaku di Sabah, tetapi saya cadangkan untuk semua negeri kerana difahamkan gerakan itu menyeluruh dan berlaku di setiap negeri,” katanya.

Mahfuz sebelum ini mendedahkan wujudnya pasukan khas ini yang diketuai Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Osman Razak; Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Tajuddin Wahab dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Bagaimanapun Wan Ahmad dalam ulasannya kepada Sinar Harian kelmarin telah menafikan dakwaan Mahfuz.

Ketika ditanya mengenai keseriusan beliau mendedahkan nama individu terbabit, Mahfuz berkata, ia bukan cakap kosong tetapi akan disertakan dengan bukti.

“Saya ada bukti sebab itu saya berani cakap. Tetapi saya hanya mahu bekerjasama dengan suruhanjaya diraja untuk siasat perkara ini,” katanya.

Menurutnya, pendedahan ini dibuat kerana bimbang masa depan negara kelak ditentukan oleh warga asing, dan pada masa yang sama menafikan hak rakyat untuk mengundi secara telus.

“Ini suatu ancaman kepada negara dan amat bahaya. Saya tahu saya menanggung risiko besar mendedahkan perkara in dan menyerahkan keselamatan saya kepada ALLAH SWT kerana tidak mahu membiarkan tanah air tergadai,” katanya.

Mahfuz berharap suruhanjaya itu dapat ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan