Unggun Bersih 3.0 sudah mulai nyala

Mohd Sayuti Omar
Suasana himpunan Bersih - Duduk dan Bantah kini mulai hangat. Wap dan petanda KL akan banjir dengan manusia Sabtu depan sudah makin jelas. Kalau beberapa hari lalu Bersih seperti sejuk dan tidak ghairah, kini suhunya sudah berlainan. Di mana-mana orang sudah mulai bercakap fasal baju kuning dan Bersih. Dadah juga sudah mendidih dan bulu tengkok sudah merinding. Begitu juga para pasukan keselamatan sudah mula membuat perancangan masing-masing bagaimana untuk menghadapi armada Bersih.
Mereka menyokong penuh Bersih.
Hari ini saya beberapa orang teman Fb saya menghubungi atau bertanya saya di mana boleh dapatkan baju kuning bertulis Bersih 3.0. Ada yang yang oder sampai 100 helai. Panggilan datang dari dari Johor, Pahang, Melaka dan juga Kedah. Ini memberi gambaran warna kuning sudah mulai menabiri mata orang ramai di seluruh negara.

Kehangatan ini ketara sejak dua hari lepas, apabila pihak DBKL mulai bertindak merampas khemah dan peralatan perkhemahan pelajar membantah PTPTN di Dataran Mereka.

Penangkapan tersebut menjadi perhatian umum dan secara tidak langsung mengingatkan orang ramai kepada Bersih. Sebelum itu serangan samseng tahi minyak juga menimbulkan kemarahan. Setiap kali orang melihat muka pelajar bersembur dengan darah yang terpampang di wall FB maka ketika itu juga mereka ingat kepada Bersih. Bersih akan dijadikan medan untuk 'membalas' dendam. Bagi mereka pelajar berkenaan tidak seharus dilayan seburuk itu.

Situasi itu ditambah pula oleh 'pertunjukan sarkas' budak-budak atau politician hingusan cap buntal tibai gambar Anwar Ibrahim di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru. Sekumpulan manusia buntal beramai-ramai telah mengamuk dan menimbai gambar Anwar kerana marahkan kepada pemimpin itu yang tidak memenuhi kehendak mereka.
Tembakan Bersih 2.0 oleh Fru.
Acara diketuai presiden Perkasa(am) yang terkenal dengan ketololan itu dianggap paling bodoh dan setaraf dengan aksi sekumpulan manusia yang memijak kepala lembu tidak lama dulu. Perbuatan itu bukan saja sia-sia tetapi mendedahkan kecetekan akal budi mereka dan kerendahan moral mereka. Mereka mendedahkan standard politik kelas mereka. Bunyi khabar Umno berdukacita di atas kejadian itu. Umno yang cerdik dan intelek tidak bersetuju dan mereka sendiri pun tidak mengiktiraf perwujudan kumpulan buntal itu.
Pakatan pertahanan rakyat Bersih 2.0
Demikian juga dengan sikap 'mulut manis jubur masam' Menteri Dalam Negeri dan Datuk Bandar DBKL yang berdolak dalih untuk menyekatkan himpunan itu, menambahkan minat orang ramai untuk bangkit menyertai Bersih 28 April ini. Sikap dolak dalih dan cakap tak serupa bikin itu menjadikan orang ramai naik meluat dengan kedua institusi itu. Baik orang ramai tidak peduli kepada rapat itu menjadi mereka mula memberi perhatian.
Lautan rakyat Bersih 2.0
Hishamuddin mulanya mengatakan dia tidak ada apa-apa masalah dan membenarkan himpunan berkenaan, tetapi selepas tidak sampai setengah jam polis membuat kenyataan akan melarang himpunan itu kalau diadakan di Dataran Merdeka. Apakah erti semua ini kalau bukan politik standard budak-budak. Datuk Bandar Kuala Lumpur pula tumpang sekaki mempersendakan dan cuba menunjuk baik hati dengan menawarkan tempat lain untuk Bersih.
Sebahagian wanita Bersih 2.0 melangkah gagah.
Pengerusi Bersih, Pak Samad Said namun tidak berganjak tetap mahukan Bersih diadakan di Dataran Merdeka juga. Apa hendak jadi, jadilah. Keberanian Pak Samad sebagai komandan kali ini seakan mencabar orang lain yang lebih kuat dan gagah dari untuk ramai-ramai hadir pada 28 April depan. Syabas dan tahniah kepada Pak Samad yang juga wajar dilantik sebagai Presiden Sasterawan Negara.

Dari beberapa maklumat kini para peserta dari seluruh negara sudah membuat persiapan rapi. Misalnya ada yang menempah tikit bas dan keretapi untuk ke Kuala Lumpur. Sesetengah syarikat bas ekspres dari Kelantan dan Terengganu sudah kehabisan tiket pada tarikh berkenaan. Yang lain pula akan turun dengan kereta sendiri atau menumpang kawan-kawan atau pun keretapi.

Orang ramai dijangka mulai memenuhi ibu kota mulai lusa kerana sesetengah negeri hujung minggu mereka ialah hari Jumaat.

Sementara di Kuala Lumpur dalam tinjauan ringkas, hotel budget di beberapa kawasan KL telah pun habis ditempah sejak beberapa hari ini. Ia memuncak dua tiga hari lepas selepas pihak berkuasa DBKL dan Polis mula bertindak ke atas perhimpunan mahasiswa di Dataran Merdeka. Sementara itu ramai yang telah menghubungi waris warah yang berada di Shah Alam, Kelang, Setapak, Cheras dan Gombak untuk tumpang tidur.

Keadaan ini tambah disemarakkan lagi apabila parti politik terutamanya Pas membuat kerahan terbuka supaya ahlinya datang beramai-ramai. Mursyidul Amnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meminta ahli parti itu menghadiri ke himpunan itu. Katanya kehadiran adalah wajib. "Kita perlu hadir untuk menentang ketidakadailan," katanya. Seruan itu cukup untuk dijadikan fatwa kepada orang-orang Pas untuk membanjiri Dataran Merdeka.

Manakala Presiden Pas Abdul Hadi Awang siang-siang lagi menyatakan kesediaan untuk hadir ke himpunan berkenaan. Presiden Amanah Mereka, Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada himpunan Duduk dan Bantah itu telah membatalkan permergiannya ke Sabah yang dijadualkan pada tarikh sama. Maklumat dari Sabah memberi tahu program perlancaran Amanah Sabah ditunda ke tarikh lain kerana ia bertembung dengan Bersih 3.0.

Dipercayai penundaan itu ada kena mengena dengan kenyataan Tengku Razaleigh yang menyatakan sokongan terbuka kepda Bersih. Bagaimana pun sehingga saat ini belum dipastikan apakah Tengku Razaleigh akan ikut bersama dalam himpunan bersejarah Duduk dan Bantah itu.

Dalam perkembangan lain pihak DBKL katanya hari ini sudah mula memagarkan kawasan Dataran Merdeka tempat yang dijadikan tumpuan itu. Katanya DBKL akan meletakkan gelong kawat duri di sekeliling kawasan itu. Tindakan DBKL akan menyebabkan keghairahan orang ramai untuk membanjiri Ibu Kota 28 April ini semakin menjadi-jadi lagi.

Kawat, water cannon, belatan tidak akan mampu menghadang kuasa rakyat 28 April ini. Apa yang saya bimbang nanti apabila sudah ratusan ribu berhimpunan di Dataran Merdeka mereka akan menggulung polis, rela dan petugas DBKL termasuk SB sendiri dalam kawat duri.

Melihat kepada kehangatan ini pihak penganjur Bersih sepatutnya berterima kasih kepada DBKL, Polis dan juga kumpulan yang melakukan upacara menibai gambar Anwar di Kampung Baru malam kelmarin.. kerana gara-gara aksi mereka yang tidak masuk akal dan bebal itulah menyebabkan unggun Bersih 2.0 kini sudah mulai berasap untuk membentuk api Bersih 3.0 lebih besar dan hangat. Barang kali di sinilah hikmat di atas kejadian itu yang kita merasakan ianya tidak ada faedah sebaliknya membawa manfaat besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan