Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 16 Mei: Kalau polis ikut suka hati pukul peserta Bersih 3.0 yang menyerah diri, tidak perlu ada mahkamah, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Sambil mengutuk tindakan membelasah Mohd Safuan Mamat, peserta Bersih yang menyerah diri dengan sukarela, beliau melihat tindakan itu akan menambahkan kebencian rakyat.
"Kalau sudah tidak mahu ikut peraturan dan seronok sangat membelasah orang ikut suka hati, suruh polis runtuhkan semua mahkamah dan lepas itu bolehlah mereka hukum orang ikut suka hati," kata Mohamad yang ternyata marah dengan tindakan tersebut.
Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai sengaja tidak mahu mengikut peraturan.
"Mereka sengaja tidak mahu ikut peraturan dan saya tidak mahu cakap fasal peraturan dan sifat perikemanusiaan sebab saya sudah tidak nampak sifat-sifat itu ada pada mereka yang membelasah orang lain sesuka hati," katanya.
Mohamad yakin, jika kekejaman seperti itu berterusan dan berleluasa, mungkin jutaan rakyat akan berhimpun sendiri tanpa perlu digerakkan oleh mana-mana pemimpin atau pertubuhan.
"Hari ini, sebahagian rakyat sudah tidak nampak perbezaan antara polis dan Umno.
"Jika rasa sakit hati rakyat tidak dapat dikawal lagi, bukan lagi ratusan ribu malah berjuta rakyat akan berhimpun sendiri di seluruh negara melawan Umno," katanya.
Mohamad juga yakin apa yang berlaku itu akan menjadikan rakyat semakin nampak keengganan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) untuk menerima dan menyetujui pilihan raya yang adil dan bersih.
"Saya yakin, isu utama yang rakyat nampak dengan lebih jelas ialah Umno BN tidak mahu pilihan raya yang adil dan bersih," kata beliau.
Rakyat juga, katanya, akan semakin memahami bahawa tindakan ganas yang berterusan itu adalah disebabkan ketakutan Umno apabila melihat ratusan ribu rakyat berhimpun dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
"Mereka tidak sangka ratusan ribu rakyat berhimpun, mereka panik dan seperti kerbau yang disembelih, dia menendang-nendang sana sini," katanya.
Mohd Safuan yang membuat laporan polis semalam terhadap tindakan membelasahnya itu berkata, dia ditahan dan dipukul oleh pihak polis selepas menyerah diri pada hari Isnin.
Pemuda dari Marang, Terengganu itu mengadu, selepas ditendang masuk ke dalam sebuah bilik, beliau dipukul di mukanya dengan batang paip hitam oleh anggota polis yang memakai pakaian seragam sambil memaksa beliau mengaku beliaulah yang memukul kereta polis ketika perhimpunan Bersih 3.0.
Mohd Safuan juga dipukul di bahunya dengan batang paip hitam itu.
Apabila dibawa ke lokap, beliau ditampar pula oleh tahanan lain selepas polis yang membawanya ke lokap itu memberitahu "dia ni Bersih, gangster".
Mohd Safuan juga mengadu beliau dipaksa membuat pengakuan dan menandatangani borang tertentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan