Membeli rakyat dengan kemewahan

Muda Mohd. Noor
PETALING JAYA: Umno bukan seperti parti-parti lain. Tidak ada parti lain yang boleh menandingi Umno – parti terbesar berusia 66 tahun itu. Sama ada dari jumlah ahli atau kemewahan, Umno adalah nombor satu.

Kehadiran puluhan ribu ahli Umno ke Stadium Nasional di Bukit Jalil malam tadi kerana menyambut kelahiran parti itu bukan sesuatu yang di luar jangkaan. Nyata sambutan itu mewah dan meriah.

Sambutan yang meriah itu memang sudah sinonim dengan Umno. Sebelum ke Bukit Jalil, ahli-ahlinya bermalam terlebih dahulu di hotel yang di tempah khas di sekitar Kuala Lumpur dan lokasi berdekatan.

Mereka menaiki bas yang disewa khas dan dijanjikan wang saku. Ini tradisi Umno bagi ahlinya yang tinggal di luar ibu kota bagi menghadiri program parti termasuk perhimpunan agung Umno di PWTC. Sesetengah mereka menaiki khas jabatan kerajaan kerana wakil rakyat mereka menjadi Exco kepada jabatan berkenaan.

Beberapa ahli Umno berkata, mereka sangat beruntung menjadi ahli parti itu terutama ketika menghadiri program parti di Kuala Lumpur.

Rosli Awang dari Kuala Terengganu berkata, “Saya datang ke Kuala Lumpur semuanya percuma.”

“Saya tidur di Hotel Grand Seasons dan dijanjikan wang poket tetapi belum dapat lagi. Masa perhimpunan agung Umno pun begini juga.”

Jadi anggaran kasar 100, 000 orang mendengar ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Bukit Jalil bukan luar biasa dan mengejutkan.

Dengan kekayaan yang ada, Umno boleh membawa seberapa ramai yang mereka mahu. Jangan lupa ahli parti itu berjuta orang.

Namun menjelang pilihan raya umum 13 yang kini di depan mata, kemeriahan sambutan 66 tahun itu mungkin untuk seketika sahaja.

Percakapan di cawangan dan bahagian ialah Umno masih tidak dapat bersatu padu sepenuhnya.

Tolak calon parti

“Isu yang paling besar ialah masih tidak semua ahli akan setuju dengan calon yang dipilih parti. Ini yang berlaku dalam setiap kali pilihan raya.

“Umno kalah kerana sikap pemimpin di cawangan dan bahagian berlaku tikam belakang menjelang pilihan raya. Kerana mereka tidak bersatu, kerana ada kepentingan sendiri, ahli akar umbi berpecah belah.

“Umno kalah kerana tidak bersatu. Mereka bermusuhan sesama sendiri,” kata Rosli lagi.

Apa yang berlaku itu mungkin satu contoh sahaja. Barangkali perkara serupa timbul juga ditempat lain. Najib mungkin menyedarinya tetapi apa yang boleh dilakukannya?

Beliau cuma boleh merayu tetapi apa yang berlaku sebelum ini tidak semua suara presiden didengari.

Ini yang berlaku kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadapi pilihan raya umum 2008 yang menyebabkan BN kalah empat negeri – Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

Perbalahan sesama sendiri adalah musuh dalam parti. Adakah ahli Umno memberi sokongan sepenuh hati kepada Najib?

Adakah rakyat boleh menerima sepenuhnya pemerintahan Najib? Untuk mengukurnya dari segi program turun padang atau bantuan kepada rakyat ia bukan jaminan BN secara automatik mendapat undi.

Pengundi sudah bijak. Mereka kini menilai antara kebaikan yang dibuat BN sejak 1957 dengan harapan baru yang diberikan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan