ISA: Unit pengesan bom serbu, pintu rumah dipecah

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR: "Masa polis datang tangkap suami saya, mereka ketuk pintu dengan sangat kuat, tak ada seorang pun beri salam, terus pecahkan pintu," cerita isteri kepada tahanan Akta Keselamatan Dalam Isteri (ISA) Mustawan Ahbab.

Khairunizah Mohd Akhir, 36 menceritakan kembali detik-detik penangkapan suaminya pada sidang media bersama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di lobi Parlimen hari ini. Turut serta ialah Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau berkata, kira-kira 30 polis termasuk unit pengesan bom menyerbu dan menyelongkar barang-barang di rumah mereka pada 11 Ogos 2010 iaitu hari pertama Ramadhan.

"Mereka tangkap dan terus gari Mustawan dan telefon kami dirampas dan dimatikan.

"Tak ada waran tangkap, bila kami tanya kenapa tangkap mereka tak cakap salah apa tapi beritahu suami saya ditahan dua minggu di Bukit Aman dan minta saya sediakan pakaian Mustawan untuk dua minggu.

"Polis kata saya boleh melawat Mustawan tiap-tiap hari tapi saya pergi tak dapat jumpa pun. Dah seminggu lebih barulah boleh jumpa," katanya.

Mustawan, 34, merupakan warga Indonesia dan sudah lima tahun menetap di Malaysia.

Eksekutif pemasaran di sebuah syarikat penerbitan buku di Kuala Lumpur itu ditangkap kerana didakwa menganggotai Jamaah Anshorut Tauhid yang berpengkalan di Indonesia yang disifatkan sebagai pengganas antarabangsa.

Mustawan dituduh menjadi agen bagi mengumpulkan dana untuk pergerakan itu di Malaysia.

Sehingga hari ini, Mustawan masih ditahan di Kem Kamunting bersama 44 yang lain.

Sementara itu, bapa kepada seorang lagi tahanan, Fadzullah Abdul Razak kecewa anaknya dituduh melakukan tiga rompakan tetapi tidak dibawa ke mahkmah untuk dibicarakan.

Abdul Razak Mohd, 54 berkata, keluarganya sangat berharap kerajaan menunaikan janji untuk membebaskan anaknya dan kesemua tahanan ISA.

Fadzullah yang ditahan di bawah ISA sejak Julai 2010 merupakan salah seorang yang menyertai mogok lapar bulan lalu menuntut pembebasan dari Kemta.

"Jumpa dengan Fadzullah baru-baru ini, memang dia kata dia nak sangat bebas dari Kemta sebab tak tahu apa salah dia," katanya.

Turut hadir ibu Fadzullah, Hadijah CP Veeravu, 51.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan