Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) kesal dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mempertahankan bidaan RM24,200 yang dibuatnya untuk nombor pendaftaran WWW15 baru-baru ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) mempersoalkan apakah rasional menteri berbelanja untuk hanya nombor pendaftaraan kereta rasmi yang boleh menyara rumah kos rendah buat sebuah keluarga miskin atau menaja seorang pelajar miskin untuk masuk universti.
Baginya, sikap dan mentaliti menteri beginilah yang membuatkan rakyat sedang mual dengan kepimpinan negara yang ada sekarang, hanya kerana mereka terus berkuasa, apa saja tindakan dianggap punya rasional belaka.
Katanya, baru sahaja rakyat mempersoalkan kerajaan mengesahkan mengeluar perbelanjaan besar untuk perhimpunan jutaan belia di Putrajaya.
Beliau menambah, walaupun sebahgiannya adalah ditaja oleh swasta namun imej kerajaan sangat dipersoalkan.
"Membayar RM2.4 juta untuk penari separuh bogel dari Korea dianggap tidak bermasalah sedangkan ada rakyat yang bercekang mata untuk mencari nafkah dalam keadaan kos hidup yang terus meningkat," ujarnya dalam satu kenyataan.
Azmi brkata, nampaknya kerajaan yang ada sekarang lebih cepat membawa negara ke ambang muflis.
Katanya, pimpinan negara seolah memejam mata dan memekak telinga dengan apa yang sedang berlaku di Eropah.
"Di kala ekonomi Greece dan kini Portugal dan ia sedang merebak ke seluruh Zon Eropah, berada di ambang keruntuhan ekonomi yang serius dan rakyat bangkit mengguna hak demokrasi di jalan raya, pemimpin Malaysia terus berbelaja besar dengan hal-hal yang sama sekali tidak produktif malah membazir," ujarnya lagi.
Ujarnya, pemimpin kerajaan Malaysia kini masih terus mengamalkan polisi rendah akal dan tidak menunjukkan tahap kematangan mengurus sumber negara dengan beramanah.
"Kami berpendapat menteri berkenaan sudah jauh ketinggalan zaman dalam berfikir seolah rakyat tidak akan mempersoalkan tindakannya. Beliau mengambil sikap simplistik bahawa kuasa boleh melakukan apa sahaja tanpa diteliti oleh rakyat," katanya.
Beliau juga mempersoalkan kenyataan Tiong Lai bahawa tindakan itu diambil kerana nombor baru itu untuk kereta rasmi baru yang sudah melepasi jangka hayat.
"Adakah alasan ini masih boleh diterima oleh rakyat?" tanya beliau.
Justeru, katanya Teras ingin bertanya, apakah tidak ada peraturan dan garis panduan berbelanja dari Perbendaharaan Negara dalam hal-hal seperti ini.
"Adakah ada dalam peraturan, sesebuah agensi atau menteri boleh mengeluarkan perbelajaan untuk hal seperti membida nombor pendaftaraan kereta rasmi?" tanya beliau lagi.
Menurut laporan media berbahasa Cina, Liow menjelaskan bahawa bidaan itu dijalankan oleh pegawainya. Soalnya kuasa pembidaan itu diperkenankan oleh menteri dan dizinkan walaupun menelan belaja yang besar.
Tambahnya, Teras amat kesal kerana nampaknya Menteri Malaysia berfikir bahawa dengan nombor pendaftaraan unik seperti WWW 15 dianggap melambangkan kehebatan.
"Inikah mentaliti menteri yang ada?
"Kami sama sekali tidak dapat menerima mana-mana perbelanjaan wang awam untuk perkara-perkara yang tidak ada kena-mengena dengan kebajikan rakyat. Malah kami mengutuk dan membantah budaya membazir dan menyalahguna wang rakyat untuk hal yang remeh dan dan tidak perlu.
"Kami mendesak agar pembidaan itu dibatalkan dan wang itu diserah kembali kepada Perbendaharan Negara," kata Mohd Azmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan