Muhammad Faizal
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat yakin rombakan struktur cukai bagi memastikan harga kereta lebih murah, tidak akan membebankan kewangan negara jika segala keborosan perbelanjaan luar perancangan Perdana Menteri dihentikan.
Perkara itu dinyatakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang membidas reaksi awal pimpinan Umno-Barisan Nasional yang mempersoalkan sumber kewangan untuk membiayai struktur cukai kereta ini.
"Anggaran PKR menunjukkan hasil kutipan cukai eksais dan cukai jualan dari jualan kereta setiap tahun adalam RM8 bilion.
"Manakala semakan ke atas segala perbelanjaan diluar perancangan oleh Perdana Menteri dan peningkatan mendadak perbelanjaannya menunjukkan jumlahnya jauh mengatasi RM8 bilion yang diperlukan untuk membantu rakyat ini," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.
Menurutnya, perbelanjaan di luar perancangan termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (RM2.6 bilion), Bantuan Kembali ke Sekolah 1Malaysia (RM530 juta), Bantuan Buku 1Malaysia (RM260 juta) dan pelbagai skim beli undi sepanjang jelajah janji ditepati dianggarkan mencecah RM180 juta setakat ini.
"Jika jumlah ini (RM3.57 bilion) dicampur dengan pengumuman bonus terbaru iaitu sebanyak RM2.2 bilion, jumlah sewang-wenangnya digunakan oleh Perdana Menteri untuk beli undi adalah RM5.77 bilion.
"Sejak Datuk Seri Najib Razak mengambil jawatan Perdana Menteri, perbelanjaan pengurusan dan pembangunan oleh Jabatan Perdana Menteri naik secara mendadak," tambahnya.
Rafizi menyatakan, perbelanjaan pengurusan telah melonjak RM1.4 bilion sementara perbelanjaan pembangunan meningkat sebanyak RM4.6 bilion dan bagi keseluruhan jika disekalikan dengan perbelanjaan di luar perancangan berjumlah RM11.8 bilion.
"Sebab itu kita ia tidak membebankan negara jika rombakan cukai dilakukan.
"PKR juga telah membincangkan mekanisma rombakan struktur cukai secara terperinci untuk memastikan penghapuskan cukai eksais kelak digantikan dengan sumber pendapatan terbaru," kata beliau lagi.
Menurutnya, mekanisma ini akan diumumkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu hadapan setelah beliau pulang dari mengerjakan umrah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan