Kambing hitam di pinggan Hishamuddin Hussein

Lim Hong Siang
Saya masih ingat ketika Hishamuddin Rais dibebaskan dari tahanan ISA pada tahun 2003. Aktivis Reformasi ini mengakui dirinya menangis setelah diseksa sepanjang penahanan. Bukan kerana seksaan itu, tetapi dirinya gagal membayangkan bagaimana seseorang manusia boleh memperlakukan seksaan sedemikian terhadap seorang lagi manusia.
Minggu lalu Gerakan Mansuhkan ISA bersama Lawyers For Liberty menganjurkan forum berjudul ISA: Penyeksaan yang sempurna. Seksaan itu bukan sahaja dalam bentuk fizikal dan mental terhadap tahanan, tetapi orang di sekeliling tahanan. Kebetulan saya melawat seorang bekas tahanan ISA baru-baru ini, Eow Bung Pow, aktivis mahasiswa yang ditangkap pada Mac 1975, dan dibebaskan pada Februari 1977.

Eow Bung Pow tidak mengisahkan penderitaannya, cuma berkongsi satu cerita yang mungkin pada sesetengah orang, bukannya sesuatu yang "besar sangat". Menurut Eow, pada zaman itu, sememangnya beberapa tarikh dipilih khas untuk pembebasan tahanan ISA, misalnya pada Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina dan sebagainya. Maklumlah, tiada telefon bimbit pada zaman itu. Beliau dibebaskan, kemudian pulang ke rumahnya di Kedah dengan teksi. Setibanya di rumah, pemandu teksi yang tidak dikenalinya itu, enggan menerima tambang daripadanya, kerana tahu beliau keluar dari Kamunting.

Ibu bapanya tidak menjangkakan pembebasannya. Namun dengan tangkas ibunya pergi ke dapur dan menghidangkan semangkuk sup sirip ikan untuknya - makanan yang mahal dan hanya dimakan seorang semangkuk setahun sekali pada Tahun Baru Cina ketika itu. Rupa-rupanya kedua-dua orang tuanya masih menyimpan harapan bahawa beliau akan dibebaskan - meskipun pernah dihampakan pada tahun sebelumnya.

Sesungguhnya penantian tanpa penghujung menjadi penyeksaan yang zalim buat ahli keluarga tahanan. Dalam penantian itu orang tua yang uzur mungkin kembali ke pangkuan Allah. Tahanan hanya diberi peluang untuk menjenguk mayat arwah, dan kemudian membawa kerinduan itu bersama dirinya ke dalam sel. Cuma, anak siapa yang tidak mahu menemani ibu bapanya sebelum terlewat? Ibu bapa mana yang tidak mahu memegang tangan dan menatap wajah anaknya, sebelum mereka meninggal dunia?

Kita semua manusia biasa. Saya masih ingat bagaimana seorang bekas tahanan menahan sebak mengisahkan pengalamannya dalam forum itu. Dalam pertemuan pertama bersama anaknya yang berusia dua tahun ketika beliau ditahan, mereka dibenarkan bertemu bersemuka. Kali kedua dan yang seterusnya, mereka dipisahkan dengan kaca. Pada kali terakhir mereka bertemu, mereka dibenarkan bersemuka semula. Namun anaknya meraba-raba, memegang sesuatu bagai wujud kaca di depannya...

Saya manusia biasa. Jikalau ditanya sama ada saya takut kepada serangan pengganas, jawapannya semestinya. Saya tidak mahu diri saya, mahupun saudara mara, sahabat handai saya yang tidak berdosa dibom oleh pengganas. Namun saya perlu menerima hakikat bahawa risiko ini sentiasa wujud. Kalau tidak di KLCC Malaysia pun, saya berdepan dengan risiko diletupkan ketika melancong di Pulau Bali, di Hatyai dan sebagainya.

Namun apakah hanya kerana saya tidak mahu berdepan dengan risiko tersebut, maka mereka yang "disyaki" sebagai pengganas itu, wajar ditahan tanpa dibicarakan? Padahal ISA tidak mencegah diri kita daripada diletupkan. Altantuya Shariibuu diletupkan tatkala ISA masih wujud. Sehingga hari ini hakim masih tidak terjawab apakah motif dua orang tertuduh membunuh 1 wanita Mongolia yang tidak dikenali mereka sebelum itu.

Berbalik kepada isu, sememangnya setiap warga mahu hidup aman dan selamat. Namun keinginan tersebut tidak boleh menghalalkan pencabulan hak asasi seseorang manusia yang belum diketahui bersalah atau tidak. Tahanan dan keluarga tahanan, memiliki hak untuk hidup aman dan selamat seperti kita. Saya masih ingat bagaimana isteri bekas tahanan ISA, Norlaila Othman ketika berhempas pulas memperjuangkan pembebasan suaminya. Beliau yang kebuntuan akhirnya "ambush" Abdullah Ahmad Badawi dalam satu aktiviti FELDA. Lelaki yang menangisi pemergian isterinya Endon Mahmood ini sekadar melafazkan "Insyaallah" ketika bersemuka dengan rayuan seorang isteri yang dipisahkan daripada suaminya. Saya tidak pasti nilai air mata itu berbeza antara seorang Perdana Menteri dengan seorang suri rumah tangga. Tapi saya berasa jijik apabila kebahagian satu keluarga dihancurkan kerana kerajaan mahu jaga imej "memerangi pengganas". Persoalan saya, jika benar Mat Sah (suami Norlaila) yang ditangkap itu pengganas, apakah anda rasa rayuan itu sekadar dikemukakan dalam bentuk memorandum, dan bukan bahan letupan seperti C4?

Saya menjadi seram apabila Hishammuddin Hussein tanpa segan silu menyatakan dirinya memilih lamb chop tatkala tahanan ISA mogok lapar menuntut hak asasi mereka. Lebih-lebih lagi tahanan ini adalah "kambing hitam" dalam pinggannya, ketika beliau memenuhi nafsu kuasanya. Cuma saya nak ingatkan Menteri Dalam Negeri, ibu bapa dan anak tahanan sedang menunggu anak dan ayah mereka di rumah. Keluarga mereka mungkin tidak pasti sama ada tahanan itu benar terlibat dalam aktiviti pengganasan, tapi seperkara yang 1Malaysia boleh kesahkan, iaitu tiada seorang pun daripada 45 tahanan ISA menghunus keris untuk mengancam ketenteraman Malaysia!

*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan