Kapal layar canggih yang boleh dikendalikan menerusi iPad (Gambar)

KAPAL layar Adastra berlabuh di Pelabuhan Manila di Manila, Filipina semalam.
MANILA, Filipina: Sebuah kapal layar futuristik berharga AS$15 juta (RM47.7 juta) milik seorang ahli perniagaan perkapalan Hong Kong telah berlabuh di Pelabuhan Manila di sini semalam.

Berbentuk seperti sebuah kapal angkasa, kapal persiaran mewah sepanjang 42.5 meter yang diberi nama Adastra itu memiliki dua lunjuran besar.

Adastra diperbuat daripada gentian karbon dan Kevlar bagi menjadikan kapal berkenaan ringan.

Syarikat reka bentuk kapal layar, John Shuttleworth Yacht Designs Ltd menyatakan kapal tersebut amat canggih dan ia boleh dikendalikan dengan menggunakan sebuah komputer tablet iPad.

Akhbar South China Morning Post melaporkan pada awal bulan ini bahawa Adastra dibina di Zhuhai, China oleh firma Australia, McConaghy untuk usahawan, Anthony Marder.

Marder memberitahu akhbar berkenaan bahawa kapal tersebut berlabuh di sini untuk kerja-kerja pelarasan sebelum ia melakukan pelayaran ke seluruh dunia. 
-Agensi-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan