Mohd Martin Kahar
KUALA LUMPUR, 25 Julai: KEADILAN bercadang memasukkan penurunan harga kenderaan sebagai salah satu manifesto Pakatan Rakyat.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, langkah itu ekoran harga kenderaan di negara ini terlalu tinggi disebabkan cukai import, jualan dan duti eksais.
“Kereta bersaiz enjin di bawah 1,500 cc akan dikenakan duti eksais 60 peratus, cukai jualan 10 peratus jika dikilang di Malaysia, dan akan meningkat 100 peratus jika kenderaan itu diimport.
“Ini bermakna kereta yang berharga RM40,000, rakyat (perlu) membayar cukai RM16,500 akibat dasar Umno BN,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Ketua Penerangan, Sim Tze Tzin.
Menurut Rafizi, cadangan tersebut sudah dibincang di peringkat parti dan akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.
Dasar Umno BN punca kenderaan mahal
Rafizi berkata, harga kenderaan melambung tinggi disebabkan ‘dasar automotif Umno BN’ yang lebih mementingkan kroni daripada mengambil kira penderitaan rakyat.
Katanya, harga kenderaan tempatan dinaikkan agak tinggi disebabkan pentadbiran kerajaan tidak mahu rakyat menggunakan kereta import.
Tambahnya, Umno BN turut menaikkan duti import kenderan luar dengan alasan untuk menggalakkan penggunaan kereta tempatan.
Bagaimanapun, setelah Zon Perdagangan Bebas Asean (Afta) ditandatangani, kerajaan berhadapan dilema untuk menurunkan duti kenderaan yang diimport kerana takut permintaan kenderaan tempatan terjejas.
“Justeru Umno BN memperkenalkan duti eksais kononnya untuk mengimbangi pengurangan cukai import.
“Tindakan itu dibuat setelah kerajaan menerima nasihat daripada syarikat perunding Ethos Consultancy yang didakwa mempunyai kaitan dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin,” katanya.
Kereta mahal jadi beban
Rafizi berkata, kajian oleh Jabatan Statistik mengenai pendapatan dan kemudahan isi rumah pada 2009 mendapati, hutang kenderaan kedua terbesar selepas rumah iaitu berjumlah RM134.2 bilion pada akhir Mei lalu.
Katanya, jumlah hutang kenderaan meningkat RM16 bilion atau 14 peratus dalam tempoh 18 bulan, berbanding RM118 bilion pada November 2010.
Tambah beliau, 71.9 peratus keluarga di negara ini menggunakan kenderaan sedangkan 53 peratus daripada keseluruhan keluarga berpendapatan kurang RM3,000.
“Keadaan ini membayangkan harga kenderaan yang mahal menjadi beban hutang utama rakyat pada ketika sebahagian besar rakyat berpendapatan di bawah RM3,000,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan