Muda Mohd. Noor
PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menjelaskan pihaknya menentang kempen masyarakat Cina supaya memboikot roti Gardenia bimbang ia mencetuskan hubungan antara kaum di negara ini.
PPIM mendakwa kempen-kempen yang dibuat oleh masyarakat Cina itu ‘melampau’ kerana ia tidak berlandaskan fakta yang betul.
Setiausaha PPIM, Datuk Nadzim Johan mendakwa, pihaknya tidak mempunyai apa-apa kepentingan dengan syarikat pengeluar milik Gardenia itu mahupun Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Beliau mendakwa, masyarakat Cina masih melancarkan kempen di kalangan komuniti mereka supaya memboikot roti Gardenia atas alasan ia milik tokoh korporat Melayu itu.
Syed Mokhtar dikatakan orang Melayu terkaya di Malaysia itu turut memililiki kepentingan dalam pelbagai bidang perniagaan utama seperti Hicom, Bernas dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.
Bagaimanapun, katanya Nadzim maklumat tersebut tidak betul kerana tokoh usahawan Melayu itu hanya mempunyai saham 30 peratus sahaja.
Saham 30 peratus
“Syarikat pemilik roti Gardenia ini masih dipegang orang Singapura. Semua mesyuarat dibuat di negara itu, Kalau hendak ‘sain’ (tanda tangan) cek RM90,000 ke atas di buat di Singapura.
“Syed Mokhtar cuma beli saham 30 peratus sahaja. Mengapa mereka buat kempen melampau? Bisnes sudah menjadi politik.
“Apa akan jadi jika kami buat kempen roti Massimo itu pula tidak halal?,” katanya.
Nadzim juga mendakwa, dakwaan bahawa Syed Mokhtar tidak membeli tepung gandum dari kilang milik Tan Sri Robert Kuok juga tidak betul.
Katanya, jutawan Cina itu telah memiliki permit yang dibenarkan (AP) untuk pengeluaran tepung gandum dan gula sejak 50 tahun lalu.
“Mereka juga mendapat subsidi RM80 juta setahun untuk tepung gandum, yang bagi kami ia tidak perlu disubsidikan,” tambahnya lagi.
Nadzim mendakwa, kempen masyarakat Cina memboikot roti Gardenia masih lagi berjalan.
“Kempen-kempen itu telah disebarkan oleh kaum Cina di forum dan blog mereka,” tambah beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan