Serangan bersiri terhadap kerabat Johor: Blogger Uncleseekers cipta sejarah

Inimajalah

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini seseorang blogger berani membuat serangan bersiri dan bertubi-tubi terhadap mana-mana Raja Melayu. Namun, blogger uncleseekers.blogspot.com membuktikan beliau berani melakukannya.

Dan, kini keberanian itu membawa kepada penahanannya oleh polis mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sehingga ini ada sekurang-kurangnya 63 entri khusus berkaitan kerabat diraja Johor dengan judul sama, iaitu “Sultan Johor atau Kerabatnya? di blog berkenaan, termasuk pelbagai dakwaan mengenai harta pusaka, pertelinglkahan dengan individu tertentu dan peranan beberapa penjawat awam di negeri itu.
Didakwa fitnah Sultan Johor, Uncle Seekers direman 4 hari
Selain keberanian menyerang insititusi raja, blog berkenaan kini dikunjungi jutaan pelawat sehingga melonjakkan kedudukannya di alexa.com dalam waktu singkat kerana dakwaan yang terkandung di dalamnya turut disertakan dengan beberapa dokumen, salinan laporan polis dan foto berkaitan yang sesetengahnya mungkin sulit atau sekurang-kurangnya masih menjadi rahsia umum.

Blog itu dipercayai dikendalikan Syed Abdullah Hussein Al-Attas, anak kepada penulis buku politik popular, Syed Hussein Alattas
uncleseeker

Walaupun tidak semestinya semua dakwaan blogger berkenaan benar, ia berjaya menarik perhatian komuniti online kerana dakwaan itu menyentuh beberapa individu berpengaruh dan dikenali ramai.

Tambahan pula, pendedahan oleh blog terbabit turut disertakan dokumen tertentu, termasuk salinan cek bernilai jutaan ringgit.

Jumlah mukasurat yang dilihat (pageviews) pada blog berkenaan setakat ini lebih 9 juta.

Biasanya, jika ada apa juga komen, walaupun sedikit dan berbentuk umum terhadap mana-mana Raja Melayu seperti yang dibuat bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin baru-baru ini berhubung bidaan plat kenderaan WWW1 oleh Sultan Johor, tindakan cepat akan diambil pihak polis, termasuklah mengikut Akta Hasutan.

Bagaimanapun, situasi berlainan ternampak dalam kes blogger uncleseekers.blogspot.com. Tindakan terhadap blogger terbabit agak lambat walaupun sudah ada lebih 30 individu membuat laporan polis meminta tindakan diambil terhadap blogger terbabit.

Ini menimbulkan persoalan sehingga ada sesetengah pembaca yang menulis komen di blog itu, mengsyaki kemungkinan apa yang didakwa di dalam blog terbabit ada benarnya.

Antara komen seorang pembaca yang enggan dikenali ialah “aku pelik r..uncle bantai sultan kaw2 xpenah lak masuk dalam ke ape.. org len sntuh skit jer trus je sultan murka.. bnde yang uncle tulis ni bnda btol ke smpai sultan xbrani nak stopkan ??”.

Ini dapat dilihat pada entri ini. Komen berkenaan muncul sebelum blogger berkenaan ditahan polis, semalam.

Dalam reaksinya menerusi Twitter terhadap entri uncleseekers.blogspot.com, Tungku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap blogger terbabit sebagai ‘anjing’.

“Biarlah anjing itu menyalak semahunya. Saya tahu kebenarannya, rakyat Johor juga tahu kebenarannya,” katanya dalam catatan di Twitter, baru-baru ini.

Episod blogger ini dan ‘pembongkarannya’ dijangka berpanjangan. Kita akan menyaksikan rentetan kisahnya yang dijangka makin menarik. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan