Markus Lim
Kita selama ini diajar untuk menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Pastinya, budaya menghormati orang yang lebih tua daripada kita merupakan amalan terpuji dan dituntut di sisi agama.
Apabila budaya menghormati orang tua terus dipertahankan, secara tidak langsungnya ia membuktikan bahawa tunjuk ajar yang diberikan oleh ibubapa tidak sia-sia.
Malahan, ia turut melambangkan keperibadian seseorang.
Bagi masyarakat di Timur, aspek ini cukup penting. Penting kerana ia merupakan ciri utama yang membezakan dengan masyarakat di Barat. Budaya ketimuran menekankan kepada “filial piety” dan ketaatan sementara di Barat, ia lebih menjurus kepada kebebasan individu, hak asasi manusia sekaligus mewujudkan vakum yang ketara.
Maka tidak hairanlah mengapa budaya hormat-menghormati di Barat kian luntur. Lihat sahaja bagaimana anak-anak muda di Barat berinteraksi dengan ibu bapa mereka. Hubungan serta perasaan tunduk kepada ibubapa bukan sahaja kurang malah ada kalanya tidak wujud langsung.
Kata-kata orang tua ada menyebut apabila kita menghormati orang lain, kita juga akan dihormati kemudiannya. Apa yang diperkatakan itu memang ada kebenarannya.
Namun demikian, dalam dunia yang semakin dibayangi dengan elemen kebendaan dan pentingkan diri sendiri, amalan menghormati antara satu sama lain kini tinggal omongan kosong sahaja.
Apabila bercakap mengenai sikap biadap atau kurang ajar, ia berlaku di mana-mana sahaja. Di tempat kerja, rumah, sekolah, jalan raya bahkan juga dalam pergaulan seharian dengan orang lain.
Barangkali label paling sesuai yang boleh diberikan kepada orang yang biadap ialah mereka mempunyai “siege mentality”. Bagi golongan ini, mereka merasakan dirinya sentiasa betul manakala orang lain tetap bersalah biarpun keadaan adalah sebaliknya.
Untuk mengulas isu ini, usah melihat terlalu jauh. Perhatikan sahaja sikap kebanyakan pemandu di atas jalan raya. Saban hari, ada sahaja kes yang mana pemandu menggunakan laluan kecemasan. Tidak cukup dengan itu, ada pula yang gemar membunyikan hon apabila kenderaan di hadapan mereka bergerak perlahan.
Lebih memalukan, ada yang nekad untuk terus memandu biarpun lampu isyarat di persimpangan menunjukkan warna merah. Ternyata, situasi sedemikian sudah menjadi satu pemandangan biasa di negara ini.
Anehnya, 10 hingga 15 tahun lalu, tidak pula kelihatan orang ramai mengingkari peraturan jalan raya. Boleh dikatakan masyarakat ketika itu patuh dan menghormati peraturan yang ditetapkan. Apabila terserempak dengan anggota penguatkuasa atau polis, wujud perasaan gerun terhadap mereka. Malangnya, semua itu sudah berlalu. Semuanya mungkin berpunca daripada ketidaktegasan penguatkuasaan undang-undang.
Situasi di tempat kerja juga tidak kurang hebatnya. Cuma, tahap kebiadapan diterjemahkan dalam gaya berbeza. Dalam konteks ini, pekerja yang diletakkan di bawah pengawasan anda enggan menerima arahan dan memberontak. Bermacam-macam kerenah cuba dicetuskan dengan harapan untuk menyukarkan proses kerja.
Entah apa yang ingin dibuktikan oleh golongan ini. Ingin tunjuk lagak? Menarik perhatian ataupun semata-mata untuk menyakitkan hati orang? Apakah manfaat yang mereka boleh perolehi dengan berkelakuan sedemikian? Hanya mereka sahaja yang dapat menjawab persoalan itu.
Tidak kira di mana sahaja kita berada, sikap biadap perlu dikikis. Jadilah seorang individu yang bersopan-santun dan sentiasa dikenang sebagai masyarakat yang kaya dengan budi bahasa. Bukankah masyarakat Timur terkenal dengan jolokan itu?
Jangan biarkan sikap biadap menguasai diri kita. Ego hanya akan memusnahkan segala-galanya. Hayatilah mesej ini!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan