Bukti perubahan kerajaan pada PRU 13 bakal berlaku

Amirul Azam Zulkafli
PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa kenyataan Tun Mahathir Mohamad kononnya peralihan kuasa kerajaan pusat adalah sebesar-besar bahaya membuktikan mantan Perdana Menteri akur dan mengakui trend sokongan rakyat pada PRU-13 akan menyebabkan Umno/BN tumbang menyembah bumi.

SAMM percaya rakyat akan meneruskan fasa kebangkitan tsunami 2008 yang menyaksikan lima negeri BN tumbang pada PRU-12 dan kebangkitan rakyat di PRU-13 akan menyebabkan regim BN hilang kuasa sebagai pemerintah.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, bukan omong kosong, namun dengan pelbagai isu dan skandal rasuah, penyelewengan serta salahguna kuasa, salahguna hari kemerdekaan dan termasuklah kebangkitan luar biasa rakyat Sabah dan Sarawak yang selama ini menjadi ‘fixed deposit’ BN, faktor jelas ini menguatkan lagi hujah betapa Umno/BN bakal kehilangan kuasa pada PRU-13.

“Situasi inilah yang menggusarkan seorang bekas Perdana Menteri lantas terbitlah kenyataan berbaur ugutan dan cubaan menakutkan pengundi.

“Mungkin Mahathir terlupa maka SAMM ingin mengingatkan bahawa lima kerajaan negeri telah berubah pada Mac 2008 di mana salah satu kerajaan negeri bukan BN telah bertahan sejak 1990. Peralihan kuasa kerajaan negeri ini berlaku dengan aman, tiada kucar-kacir.

”Jika ada pun kucar-kacir, ia hanya berlaku pada malam kemenangan Barisan Rakyat (kini Pakatan Rakyat) di mana staf kerajaan negeri yang tiba-tiba bertugas pada malam tersebut bertungkus lumus melupuskan dokumen ‘rahsia’ ke dalam mesin shredder.

“Tidak cukup dengan itu, dokumen yang telah terkirai itu dibakar pula bagi menghilangkan ‘bukti’. Kejadian seumpama ini mungkin berlaku pada malam pengiraan undi PRU-13 dengan lebih panik kucar-kacirnya di Putrajaya sekiranya BN tumbang”, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Negeri Pakatan diiktiraf

Tambahnya lagi, SAMM juga telah membuat sedikit kajian dan pemantauan mendapati perubahan yang berlaku di lima buah negeri (sekarang empat yang dikuasai Pakatan Rakyat menunjukkan tanda positif dari pelbagai sudut khususnya dalam soal pengurusan, penjimatan, kadar FDI masuk yang tinggi dan juga kebajikan rakyat.

“Semua negeri Pakatan Rakyat juga diiktiraf akan ketelusan dalam pentadbiran. Polisi kebajikan yang diamalkan oleh kerajaan negeri PR juga tidak menyebabkan negeri bankrap malah keuntungan berganda dalam banyak sektor hasil dari amalan berjimat dan perbelanjaan berhemah.

“Dalam keadaan kerajaan pusat yang menekan, menyerang dan pengagihan hasil bumi yang tidak adil, kerajaan negeri tetap stabil dan bertahan. Rata-rata rakyat menerima Pakatan Rakyat sebagai peneraju kerajaan negeri dan bersedia untuk giliran menukar kerajaan pusat”,katanya.

“Maka di atas kejayaan pentadbiran sepenggal Pakatan Rakyat di beberapa kerajaan negeri, di manakah bahaya dan bahana yang disebut Mahathir? Ataupun sebenarnya ada sesuatu yang amat ditakuti oleh bekas PM ini jika kerajaan pusat berubah tangan?

Dalam blognya, Mahathir juga cuba menyamakan Datuk Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang menjanjikan ‘perubahan’ dalam kempen pilihanraya masing-masing.

Perbandingan seperti ini adalah tidak relevan kerana latar belakang dan polisi perubahan yang berbeza. Namun SAMM melihat persamaan yang lebih relevan seperti yang dimaksudkan Mahathir ialah antara Obama dengan janji perubahannya dan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan transformasi palsu serta janji yang tidak pernah ditepatinya (Janji BERSIH Pilihanraya).

Salah satu para kenyataan Mahathir begitu mencuit hati kononnya “tidak ada jaminan pembangkang bila menjadi kerajaan akan membenarkan BN kembali dan pegawai mereka akan mengugut sesiapa yang mahu menukar kerajaan” – seolah-olah Mahathir sedang bercakap di depan cermin, kerana apa yang disebut itu adalah resam regim Umno BN, dan di atas resam sebegini jugalah menjadi faktor penting mengapa rakyat perlu menolak BN dan mengundi ‘Asalkan Bukan Umno’.

‘Syaitan dan malaikat’

Di para terakhir kenyataan Mahathir begitu mengejutkan dan juga agak menakutkan yang berbunyi “Lebih baik syaitan yang anda kenali dari malaikat yang anda tidak kenal”.

Edy berkata, SAMM sebagai anak muda progresif menghadapi sedikit kesukaran mentafsir, namun akhirnya tafsiran paling sesuai untuk kenyataan ini ialah Mahathir menyeru agar lebih baik mengundi “syaitan yang dikenali” dalam BN dari mengundi “Malaikat yang belum pasti” dalam Pakatan Rakyat. Tafsiran yang menyamakan BN dengan syaitan ini tidaklah begitu pelik kerana Mahathir juga pernah menyebut Umno itu busuk hingga ke ususnya.

“Nyata sekali kenyataan Mahathir kononnya bahaya menukar kerajaan pusat adalah umpama ugutan dari ular sawa lumpuh kekenyangan yang dihimpit usia dan tidak perlu ditakuti oleh rakyat yang kian celik membuat perhitungan.

“Rakyat hari ini tidak mudah dipengaruhi sentiment hasutan dan ugutan. Madu di tangan kanan dan racun di tangan kiri, rakyat sudah bijak membuat pilihan antara madu (PR) dan racun (BN)”, jelas beliau.

“Akhir sekali SAMM menyeru kepada semua untuk bersama merintis perubahan, kita harus percaya dengan perubahan ini dan tuhan bersama orang yang ingin kepada perubahan (kebaikkan).

“SAMM juga turut mendoakan supaya Mahathir panjang umur untuk menjadi saksi hidup tumbangnya sebuah regim penyambung legasi penjajah,” tambah beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan