PANAS!: Pendedahan Khas Isu Rampasan Kuasa Perak

Perakite Daily
Kisah sebenar Rampasan Kuasa

Nama Abdullah Antong pernah dilanda kontroversi apabila dilihat menjadi dalang dalam insiden rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun 2009. Beliau baru-baru ini telah mengisytiharkan diri menyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Tindakan tersebut telah membuatkan BN dalam keadaan sangat takut kerana beliau banyak mengetahui tentang krisis politik di Perak itu. Perakite Daily bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir telah mewawancara beliau untuk mengetahui lebih lanjut.
Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Baru-baru ini Saudara telah mengiystiharkan diri menyokong PAS dan Pakatan Rakyat melalui satu program Hi-Tea yang dianjurkan oleh PAS Perak. Apakah faktor yang mendorong tindakan tersebut?

Abdullah:

Saya berkhidmat selama 29 tahun dengan kerajaan sebelum bersara November 2010, suasana politik yang tidak selesa pada saya, menyebabkan saya tidak berminat untuk menyambung khidmat dan bersara wajib pada umur 56 tahun. Di usia yang sudah mencecah 58 tahun saya tergerak hati untuk mengisyitiharkan diri sebagai penyokong PAS.

Faktor utama ialah Allah telah memberi saya hidayah untuk memilih PAS dan tindakan ini bukanlah disebabkan atas desakan mana-mana pihak dan individu, walaupun saya kenal rapat dengan beberapa pimpinan PAS.

Faktor lain ialah berdasarkan pemerhatian dan penilaian selama berkhidmat selama 11 bulan dengan Pakatan Rakyat, saya ikhlas menyatakan banyak perbezaan antara Pakatan Rakyat dengan BN terutama ketelusan, kesungguhan, keupayaan dan juga keperibadian kepimpinan yang tidak dapat ditandingi oleh pimpinan Umno-BN.

Walau bagaimanapun seperti kebanyakan rakan-rakan lain yang menyertai PAS adalah kerana mendapat hidayah dan kesedaran daripada Allah.

Saya menyokong PAS bukan ada apa-apa kepentingan, juga bukan mendapat imbuhan dan balasan. Saya tidak berniat langsung untuk menjadi pemimpin PAS atau menjadi calon. Saya hanya mahu bekerjasama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk tumbangkan BN dalam PRU akan datang.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Saudara pernah dilabel sebagai konspirator dalam insiden rampasan kuasa yang berlaku di Perak oleh blogger-blogger dan masyarakat khususnya penyokong Pakatan Rakayat yang mungkin tidak tahu situasi sebenar. Apakah perasaan Saudara apabila ditohmah sebegitu rupa, dan di waktu itu apakah kedudukan yang sebenar ?

Abdullah:

Secara peribadi saya berasa sedih kerana saya tidak boleh menjelaskan perkara sebenar ketika itu disebabkan tiada platform dan ruang untung menafikan dakwaan-dakwaan tersebut.

Sehinggakan jiran-jiran saya berpandangan serong kepada saya yang dianggap telah bersekongkol dengan BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Saya ingin jelaskan dan tegaskan bahawa saya tidak terlibat langsung dengan apa yang dipanggil konspirasi apatah lagi sebagai konspiratornya. Saya hanya pegawai kerajaan yang berjawatan Setiausaha Dewan Negeri, bertanggungjawab ke atas perjalanan sidang dewan dan juga yang berkaitan dengannya dan juga bertanggungjawab ke atas perjalanan mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang juga diberi tugas mencatat dan menyediakan kertas dan minit mesyuarat.

Dalam DUN Bos saya ialah Speaker Dewan Negeri, dalam mesyuarat EXCO bos saya ialah Menteri Besar dan dalam perkhidmatan kerajaan bos saya pula ialah Setiausaha Kerajaan Negeri. Ketika kemelut politik yang memuncak, saya menjadi serba salah antara amanah dengan kepentingan pekerjaan.

Di awal kemelut politik berlaku, tidak ada yang mengenali saya ketika itu. Nama saya hanya muncul apabila saya menyanggahi arahan Speaker DUN Perak.

Saya bertegas bahawa tindakan-tindakan adalah disebabkan tekanan dari pihak atasan, saya tidak upaya elak berbuat demikian kerana terpaksa menerima arahan pihak atasan.

Semua kenyataan berkaitan sidang dewan dan sebagainya saya perlu keluarkan dan perlu ditandatangan atas kapasiti saya sebagai setiausaha DUN sehinggalah saya mengeluarkan satu kenyataan yang kontrovesi iaitu sidang DUN yang dipanggil oleh Speaker yang sah ketika itu, YB V Sivakumar sebagai tidak sah.

Atas sebab kenyataan saya itu, tercatat memori dan sejarah dunia apabila sidang DUN terpaksa diadakan di bawah pokok kerana Adun Pakatan Rakyat dihalang memasuki dewan.

Jadi kenyataan itu tidak ada kaitan dengan konspirasi rampasan kuasa oleh BN.

Saya mahu tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak terlibat dengan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat termasuklah dalam urusan ‘membeli’ Adun dan sebagainya

Dalam kesempatan ini saya ingin bersihkan nama saya yang dianggap menjadi “conspirator” dalam insiden rampasan kuasa oleh BN itu.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Kerajaan Pakatan Rakyat tumbang apabila Adunnya melompat parti tetapi Dato’ Seri Nizar Jamaluddin dan Pakatan Rakyat serta disokong oleh beberapa pakar perundangan bertegas bahawa Nizar tetap sebagai Menteri Besar yang sah. Jadi apa pandangan saudara ketika itu?

Abdullah:

Harus diingat, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, jawatan Menteri Besar gugur dengan tiga perkara iaitu disabitkan dengan salah laku tatatertib atau hilang kelayakan sebagai Adun, perletakan jawatan, dan apabila berlakunya pembubaran DUN.

Ahli Dewan juga boleh membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar dan sekiranya majoritinya mengundi tidak percaya, Menteri Besar ketika itu mempunyai dua pilihan iaitu meletak jawatan ataupun memohon perkenan Tuanku untuk membubarkan DUN bagi pilihanraya semula diadakan. Ini tercatit didalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Dato’ Seri Nizar tidak pernah dijatuhkan undi tidak percaya oleh ahli dewan dan sebab itu saya tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan beliau tdak terlucut jawatannnya sebelum Mahkamah Rayuan memutuskan sebaliknya.

Saya lebih chenderong untuk setuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Apa pandangan En Abdullah ketika insiden V Sivakumar diusung keluar yang ketika itu sedang menjalankan tugas sebagai Speaker?

Abdullah:

Apabila kerajaan Pakatan Rakyat ditumbangkan, BN ketika itu tidak nampak ada satu lagi institusi ataupun jawatan penting iaitu Speaker yang ketika itu masih lagi dari kalangan Pakatan Rakyat.

Tidak lengkap mendapat jawatan Menteri Besar jika belum mendapat menukar Speaker DUN kerana Speaker berkuasa penuh di dalam dewan bermakna Pakatan Rakyat masih berkuasa di Dewan Negeri.

Jadi jika inginkan kuasa sebenar kerajaan dalam sidang DUN, BN ketika itu perlukan kuasa sepenuhnya di dewan dan ini yang mereka terlepas pandang.

Semasa sidang DUN pada 7 mei 2009 yang berlaku dalam keadaan tegang itu, saya tidak nampak dan dengar speaker mengarahkan timbalannya mempengerusikan sidang DUN, pada masa yang sama V Sivakumar masih duduk di kerusinya.

Tiba-tiba Timbalan Speaker, YB Hee Yit Fong telah adakan satu sidang di hujung dewan untuk melantik Speaker baru dan saya sebagai Setiausaha DUN berasa pelik, saya baca buku perintah tetap tentang tindakan Hee itu namun saya tidak menjumpai satu fasal pun yang membenarkan keadaan itu berlaku, ini bermakna Peraturan Tetap Dewan telah dilanggar.

Saya tidak pasti siapa yang mengusung V Sivakumar ke luar dewan dan sudah pasti ianya bukan staff dewan kerana saya mengenali semua staff-staff tambahan yang dilantik bagi membantu Bentara Dewan.

Kejadian tersebut telah menjadi sejarah dunia kerana ianya tidak pernah berlaku di mana-mana Negara Komanwel mahupun negara lain.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

En Abdullah ada pengalaman yang lama dengan BN berbanding dengan Pakatan Rakyat yang cuma 11 bulan, jadi apakah perbezaan yang ketara antara kerajaan Pakatan Rakyat dengan BN?

Abdullah:

Semasa mula-mula Pakatan Rakyat memulakan tugas, kami tertanya-tanya bagaimana corak pemerintahan dan adakah Pakatan Rakyat mampu memerintah. Saya sendiri tidak berapa yakin dengan gabungan tiga parti ini ketika itu.

Sebagai pegawai kerajaan, saya menjalankan tugas seperti biasa. Kami pegawai kerajaan hanya sebagai pelaksana terhadap dasar dan polisi kerajaan Pakatan Rakyat, apa yang mereka putuskan, kami wajib melaksanakannya asalkan tidak bertentangan dengan etika perkhidmatan.

Perbezaan yang sangat ketara ialah Adun-Adun Pakatan Rakyat terutama EXCO sangat mesra dan mudah mendampingi pegawai dan kakitangan kerajaan dan tiada kerenah birokrasi. Tidak pernah sebelum ini seorang Menteri Besar boleh turun makan tengah hari di kantin bersama pegawai-pegawainya melainkan Dato’ Seri Nizar.

Semua Exco Pakatan Rakyat termasuklah dari kalangan DAP cukup merendah diri dan tidak sombong ataupun egois.

Pemerintahan Pakatan Rakyat sangat telus sehinggakan Nizar sering menasihatkan kepada Exco-Exconya supaya tidak mengambil kepentingan parti melainkan kepentingan rakyat.

Dari segi ketekunan, saya dapati diperingkat awal mesyuarat EXCO mengambil masa panjang cuma berhenti untuk makan dan solat. Menteri Besar dan barisan EXCO begitu teliti terhadap semua kertas mesyuarat sama ada mahu melulus atau menolak.

Semua EXCO telah diberi peluang untuk memberi pandangan sebelum keputusan dibuat.

Menteri Besar dan Exco tidak pernah mengarahkan saya mendahulukan mana mana kertas, terserah kepada saya sebagai setiausaha memilih kertas yang akan dibawa.

Dalam soal penjimatan kos jamuan keraian anjuran kerajaan negeri juga dikurangkan termasuklah makanan sewaktu mesyuarat EXCO. Setiap kali mesyuarat EXCO kos makanan kurang daripada RM45 seorang berbanding dulu hanya untuk minum pagi sahaja RM 45 seorang.

Waktu solat, surau di pejabat SUK sangat meriah dan imarah tanpa paksaan untuk berjemaah. Dato’ Seri Nizar sendiri akan mengimamkan solat berjemaah seterusnya menyampaikan tazkirah. Ini sangat berbeza dengan pemerintahan BN.

Ketika bulan Ramadhan dihiasi dengan pelbagai program seperti tazkirah setiap pagi, semua EXCO, ADUN yang muslim serta beberapa pegawai kerajaan termasuk SUK, pegawai kewangan dan Mufti diberi peluang menyampaikan tazkirah Ramadhan selama 10 minit .

Ia sangat mengesankan sekali. Ada EXCO DAP beritahu saya mereka tiada masalah turut berminat mendengar tazkirah pagi.

Pemberian bubur lambuk yang dibuat sendiri oleh kakitangan SUK dan pimpinan Pakatan Rakyat serta pelbagai lagi program untuk mengimarahkan bulan Ramadhan.

Ini baru perkara-perkara kecil, belum sentuh bab lain seperti pemberian air percuma, pengecualian kompaun, pemberian tanah hak milik kekal kepada Kampung Tersusun dan Kampung Baru, bantuan RM 1,000 kepada pelajar-pelajar yang ke IPT, dan sebagainya.

Setiap kali mesyuarat EXCO, Dato’ Seri Nizar bersama barisan exco sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat dan ini menggambarkan betapa tekun serta bersungguh-sungguhnya kerajaan PR untuk membantu rakyat.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Semasa pemerintahan Pakatan Rakyat selama 11 bulan dahulu, PAS dan Menteri Besar sering dimomokkan sebagai "boneka" atau "kuda tunggangan" DAP, Dato’ Seri Nizar pula hanya ikut telunjuk EXCO DAP dalam membuat apa sahaja keputusan. Jadi apa pandangan Saudara?

Abdullah:

Saya lihat inilah yang menjadi modal utama BN bagi memberi persepsi buruk masyarakat terhadap PAS dan ini adalah tidak betul sama sekali.

Dalam mesyuarat Exco Pakatan Rakyat, mereka tidak langsung membawa kepentingan peribadi saperti saranan Menteri Besar supaya perkara dielakkan.

Tuduhan BN yang mengatakan DAP menguasai mesyuarat dan mengikut arahan DAP ternyata fitnah semata-mata. Semua perkara dibincangkan secara terbuka dan Dato’ Seri Nizar memberi peluang kepada semua ahli mesyuarat menyatakan pandangan mereka.

Saya mengambil contoh satu kes menggazetkan tapak surau di Sitiawan, Dato’ Ngeh Koo Ham selaku Adun kawasan tersebut pergi melihat sendiri keadaan surau tersebut.

Pada mulanya mesyuarat mewartakan setengah ekar untuk kawasan surau itu, Dato’ Ngeh mencadangkan untuk meluaskan lagi tapak surau tersebut kepada satu ekar bagi memudahkan parkir kereta umat Islam yang hendak beribadah. Ini membuktikan DAP tidak mempunyai sikap anti Islam dan perkauman.

Berlaku lagi satu kes meluluskan satu tapak tokong Cina di Tambun. Kawasan yang terletak di tepi gua tersebut sangat bahaya dan tidak sesuai untuk medirikan tokong. Ulasan dari Jabatan yang berkaitan tidak bersetuju dan menasihatkan tidak diluluskan.

Mesyuarat menerima cadangan syor tersebut, lalu menolak permohonan tapak tokong. Saya tidak lihat Exco dari kalangan DAP yang membantah keputusan itu atau mempertahan permohonan tersebut dan mereka semua setuju.

Saya lihat persefahaman antara Ecxo sangat baik dan menghormati Dato’ Seri Nizar sebagai Menteri Besar walaupun DAP majoriti.

Misbahul Munir/HARAKAH:

Selepas mengisytiharkan diri sebagai penyokong perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat, adakah terdapat kekangan-kekangan dan tawaran yang datang dari kerajaan BN Perak?

Abdullah:

Sahabat-sahabat saya tiada masalah dengan tindakan saya menyertai PAS, ada juga yang membantah. Ramai yang terkejut kerana tiba-tiba saya muncul kembali Mereka fikir, selepas pencen saya berdiam diri dan tidak peka dengan politik semasa.

Seorang bekas pegawai tinggi kerajaan ada berjumpa saya menasihatkan saya supaya membatalkan hasrat untuk menyertai PAS. Saya tidak pastilah, itu kehendak dia ke atau diminta oleh pemimpin Umno untuk memujuk saya.

Saya hairan kenapa mereka sangat terkejut dengan tindakan saya, adakah ianya isu hangat, adakah saya ini terlalu bahaya dan kemunculan saya akan meresahkan BN. Sedangkan ramainya bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS dan Pakatan Rakyat seumpama satu fenomena masa kini.

Kemungkinan juga kerana saya banyak mengetahui cerita dan rahsia. Saya tahu ada perkara yang boleh diceritakan, ada rahsia yang tidak boleh didedahkan. Perkara-perkara kecil yang tidak menjadi rahsia kerajaan bolehlah saya kongsikan.

Sampai sekarang ini, mereka masih memerhatikan saya dan mengikuti perkembangan ini. Saya juga diminta berjumpa dengan orang politik Umno-BN untuk kononnya ingin mentarbiah atau “brainwash” saya. Saya ucap terima kasih sahajalah kerana saya telah memilih halatuju sendiri.

Saya berharap mereka tidak mengganggu saya sebagai rakyat yang cintakan demokrasi. Saya pasti saya tidak akan memperolehi apa apa dari kerajaan negeri hatta sebidang tanah RPT pun selepas ini.

Misbahul Munir/HARAKAH:

Untuk yang terakhir ni, apa seruan En Abdullah kepada seluruh rakyat Perak dalam PRU akan datang.

Abdullah:

Saya nak beritahu, BN sekarang ini bukanlah kuat sangat, mereka dapat kuasa pun bukan dengan cara demokrasi. Pakatan Rakyat dapat mandat dari rakyat melalui PRU yang lalu sekalipun dengan majoriti yang kecil. BN dapat kuasa setelah 3 orang Adun mengkhianati mandat rakyat.

Oleh itu, saya rayu dan seru seluruh rakyat Perak buat perubahan dengan berani pada PRU akan datang. Kembalikan semula kuasa Pakatan Rakyat melalui kuasa rakyat. Saya yakin Insya Allah, Paktan Rakyat akan kembali memerintah Perak selepas ini. Percayalah saya telah mengalami pengalaman yang manis selama 11 bulan Pakatan Rakyat memerintah dan saya akan bersama- sama seluruh rakyat Perak untuk meraikan kemenangan dalam PRU13 akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan