Bahagian belakang telinga pelajar Muhammad Bazly terkoyak akibat ditarik dan ditampar guru Bahasa Inggeris dalam satu kejadian di sekolah berasrama dekat sini, Khamis lalu.
DUNGUN: Gara-gara mengejek guru, seorang pelajar tingkatan satu pecah gegendang telinga selain turut cedera akibat ditampar beberapa kali oleh guru berkenaan.
Kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu dipercayai berlaku ketika pelajar terbabit, Muhammad Bazly Burhan, 13, sedang menduduki peperiksaan pentafsiran di salah sebuah sekolah berasrama berdekatan bandar Dungun.
Menceritakan kejadian berkenaan, Bazly berkata, detik hitam itu dipercayai berpunca akibat dia mengeluarkan kata-kata ejekan terhadap gurunya menyebabkan guru Bahasa Inggeris itu 'naik minyak' sebelum memanggilnya lalu menarik kedua telinga selain menampar beberapa kali di bahagian pipi pelajar tingkatan satu itu.
Katanya, ketika ditampar guru berkenaan, dia tidak melawan, malah meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya yang mengguris hati guru tersebut.
Menurutnya, kejadian itu turut disaksikan beberapa rakannya yang juga mengikuti peperiksaan selain beberapa rakan lain yang berada di luar kelas.
“Ketika dia menampar pipi, sambil menahan kesakitan, saya beberapa kali memohon maaf selain berjanji tidak mengulangi perbuatan itu namun dia terus menampar pipi saya.
“Telinga saya kemudiannya terasa sakit sebelum darah keluar, apabila melihat darah keluar, baru dia berhenti menampar saya,” kata Bazly yang juga bekas murid Sekolah Rendah Islam Al Amin, Kemaman.
Menurut Bazly, selepas kejadian itu dia balik ke asramanya lalu menyapu ubat minyak gamat di tempat lukanya itu.
Bazly berkata, kejadian itu tidak diberitahu kepada ibu bapanya sehinggalah ibunya mendapat tahu daripada ibu kepada rakannya yang turut bersekolah di situ mengenai kejadian menimpa anak ketiga daripada tujuh beradik itu, yang pernah mencatat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR.
Sebaik mendapat tahu kejadian tersebut, bapa Bazly, Burhan Abdullah, 46, datang mengambilnya di asrama lalu menghantar anaknya itu untuk mendapat rawatan awal di sebuah klinik swasta dekat Paka.
Hasil pemeriksaan doktor, gegendang telinganya didapati telah pecah lalu bapanya membawa Bazly untuk mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Rawatan Pakar Kuantan sebelum merujuk semula kesnya ke Hospital Dungun.
Kejadian berkenaan turut dilaporkan di Balai Polis Paka Ahad lalu.
Sementara itu, bapa Bazly, Burhan yang juga seorang eksekutif di syarikat minyak dan gas berkata, dia kesal dengan kejadian berkenaan, apatah lagi ia berlaku di sebuah sekolah berasrama yang mempunyai tahap moral yang tinggi pada persepsi masyarakat umum.
“Selepas kejadian itu, guru sekolah tersebut sepatutnya menghubungi saya, berbincang, kalau perlu memohon maaf, minta maaf.
“Ini tidak sehingga hari ini, mereka masih membisu, kalau anak rakan isteri saya tidak memberitahu saya, hingga hari ini saya tidak tahu kejadian yang berlaku,” kata Burhan.
Sinar Harian juga difahamkan Burhan sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes anaknya itu.
Nak buat camane anak kurang ajar
BalasPadam