Muda Mohd. Noor
PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden Umno, Tun Ghafar Baba mahu menubuhkan sebuah parti baru selepas beliau kecewa dengan Umno yang didakwanya telah lari dari perjuangan asal.
Perkara ini dedahkan oleh anaknya Datuk Tamrin dalam ceramah sulungnya selepas menyertai PAS di Bukit Katil, Khamis lalu.
“Lebih 10 tahun sebelum Pak Ghafar meninggal, beliau berhasrat menubuhkan sebuah parti lain selain dari Umno.
“Fasal Pak Ghafar tengok Umno tidak boleh pergi lagi dah. Dia telah menyiapkan perlembagaan parti dan dia bincang dengan saya.
“Dia bincang dengan saya tetapi saya tentang…saya kata u dah umur meningkat, 70 tahun lebih. Kita duit pun tak ada, jentera pun tidak ada.
“Jauh dari TV, surat khabar, kita tak ada. Dulu Tengku Razaleigh (Semangat) 46 mati tidak tahan. Bagaimana kita nak lawan, kita lupakan saja,” kata Tamrin.
Menurut bekas ahli Parlimen Batu Berendam itu berkata, beliau kini menyambung perjuangan ayahnya.
Ghafar yang menjadi Timbalan Perdana Menteri dari 1986 hingga 1993 meninggal dunia pada 23 April 2006 pada usia 81 tahun.
Dalam ceramahnya, Tamrin mendakwa Perdana Menteri sekarang merupakan kawan baik beliau, tetapi menuduh Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berbelanja mewah untuk membeli undi bagi menghadapi pilihan raya.
`Beli undi’
Katanya, Najib melakukan seperti semasa beliau bertanding Ketua Pemuda dan Naib Presiden Umno dulu.
“Dia beli undi macam dia bertanding Ketua Pemuda, bertanding Naib Presiden Umno. Saya ingat Pemuda diberi kad kredit BSN masa tu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jadi pengerusi.
“Macam mana pegawai-pegawai beri duit kepada Pemuda untuk sokong dia (bertanding Ketua Pemuda), begitu juga untuk Naib Presiden Umno,” dakwa Tamrin lagi.
Kata Tamrin lagi, negara diambang bangkrap ekoran perbelanjaan Najib secara berleluasa menjelang pilihan raya.
Beliau mendakwa, wang dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan bagi tujuan tersebut.
Tamrin juga membidas Najib menggunakan wang kerajaan untuk majlis sambutan hari jadi serta pertunangan anak perempuannya.
“Saya seronok Najib naik. Najib ni kawan baik saya masa sama-sama dalam Pemuda Umno, masa Datuk Suhaimi Kamaruddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tetapi tak sampai empat tahun memerintah, Tun Dr Mahathir kata rasuah lebih teruk. Hari ini Najib kelam kabut, buat apa pun tak kena,” tambah beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan