Zahid Hamidi Jadi TPM Selepas PRU 13

Shahbudin Husin
Jika Muhyiddin Yassin mula mendapat perhatian yang semakin meluas sebagai sosok yang dilihat lebih sesuai menggantikan Najib yang penuh dengan segala macam masalah selepas piihanraya umum akan datang, nama Zahid Hamidi turut meniti di bibir majoriti ahli dan perwakilan UMNO sebagai tokoh yang paling mantap untuk bergandingan dengan Muhyiddin.
Tidak dapat dinafikan pilihanraya yang mesti diadakan sebelum April 2013 ini adalah
penentuan hidup dan mati karier politik Najib. Kalah atau gagal mendapat majoriti dua pertiga, Najib pasti dihumban ke lembah persaraan. Hanya kejayaan mendapat majoriti lebih dua pertiga saja yang mampu memberikan talian hayat bagi bernafas lebih lama di Seri Perdana.

Sementara PR makin bertambah keyakinan disebalik pelbagai isu yang kini hampir semuanya menjadikan UMNO dan BN semakin lemah, di dalam UMNO sendiri Najib juga mula menghadapi bibit-bibit persaingan daripada timbalannya, Muhyiddin.

Muhyiddin kini seakan memulakan apa yang dipanggil "constructive critism" iaitu memberi komen seakan-akan bersetuju dengan sesuatu isu yang dibangkitkan Najib tetapi sebenarnya memberi tekanan dalam masa yang sama.

Contoh yang jelas ialah cadangan Muhyiddin agar BR1M diteruskan sebagai program yang berpanjangan atas alasan ia mampu melonjakkan kuasa beli rakyat sedangkan Najib pula hanya mahu menjadikan BR1M sebagai "umpan politik" bagi menghadapi pilihanraya ini sahaja. Sementara Muhyiddin mahukan ia diteruskan, Najib pula sehingga ini masih berdiam diri dan tidak berani bersuara sama ada BR1M masih ada atau tidak pada tahun hadapan jika BN terus berkuasa.

BR1M yang bernilai RM500 saja sudah memakan belanja lebih RM3 billion setahun, dan dengan Najib mewujudkan juga BR1M untuk orang bujang bernilai RM250, baucer buku kepada pelajar universiti sebanyak RM250 dan bantuan RM100 kepada pelajar sekolah, jumlah wang tunai yang diperlukan Najib sebagai "umpan politik" sebenarnya amatlah besar. Ditambah dengan suasana ekonomi yang tidak berapa baik sekarang, pendekatan membeli sokongan ini dilihat banyak pihak seperti mahu memufliskan negara.

Cadangan Muhyiddin agar BR1M diteruskan lagi jelas mahu memberi tekanan kepada Najib tetapi dalam masa yang sama pendekatan itu cuba memihak kepada rakyat dalam jangka panjang berbanding Najib yang hanya mahu berjangka pendek.

Selain itu, Muhyiddin juga berbeza pendapat dengan Najib mengenai 1Malaysia. Najib gah menggambarkan dirinya dengan slogan 1Malaysia tetapi Muhyiddin tetap meletakkan dirinya Sebagai orang Melayu melebihi sebagai rakyat Malaysia.

Mengekalkan jati dirinya sebagai lebih Melayu berbanding Najib dalam kemelut politik yang getir sekarang jelas menggambarkan bahawa Muhyiddin tidak mahu tergelincir daripada sokongan fundamental dalam UMNO itu sendiri.

Dengan mengekalkan jiwa Melayunya, Muhyiddin tahu kelebihan akan memihak kepadanya jika keputusan kurang daripada 140 kerusi Parlimen yang mampu digapai oleh BN dalam pilihanraya akan datang.

Dalam konteks yang sama, seiring dengan melonjaknya nama Muhyiddin, nama Zahid Hamidi kelihatan lebih ke depan berbanding dua lagi Naib Presiden UMNO iaitu Hishammuddin Tun Hussein dan Shafie Afdal untuk menjadi pemimpin utama UMNO.

Jika BN sekadar menang dengan majoriti tipis dan Muhyiddin didesak untuk mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan sebagaimana yang pernah berlaku kepada Pak Lah dulu, tidak syak lagi Zahid adalah gandingan yang sesuai bersama-sama dengan Muhyiddin untuk memulihkan kembali kekuatan UMNO.

Dengan pengalaman, rekod baik, peribadi serta rangkaian sokongan yang luas di dalam dan di luar UMNO, Zahid jauh lebih diyakini berbanding pesaing terdekatnya, Hishammuddin.

Sebagaimana Najib sering digambarkan sebagai PM paling lemah, Hishammuddin juga digambarkan sebagai Menteri Dalam Negeri paling tidak berwibawa sejak merdeka. Wibawanya berbanding dengan Tun Dr Ismail, Ghazali Shafie dan Musa Hitam yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini sering dijadikan perbandingan.

Kegagalan beliau menanganai isu perhimpunan Bersih dengan bijaksana, menyatakan tindakan merampas kamera wartawan sebagai mematuhi SOP polis tetapi kemudiannya dibantah oleh Ketua Polis Negara sendiri dan kenyataan yang seperti tidak memberi jaminan terhadap keselamatan rakyat dalam isu bas jelajah Anwar disimbah cat merah, jelas menggambarkan beliau tidak mempunyai pengetahuan yang secukupnya mengenai bidang tugas kementeriannya sendiri.

Keyakinan terhadap Hishammuddin bukan saja merudum di mata rakyat, malahan juga terjejas teruk di kalangan ahli dan perwakilan UMNO sendiri. Di laman sosial Facebook dan Twitter, beliau banyak dicemuh oleh ahli UMNO sendiri ketika isu Bersih dulu.

Beliau mungkin hanya selamat jika Najib terus menang dengan cemerlang tetapi dengan kemungkinan BN hampir mustahil mencapai kejayaan lebih baik daripada 2008, dengan sendirinya kedudukan Hishammuddin juga bagaikan telur di hujung tanduk.

Jika UMNO dan BN kalah pula, nasib Zahid Zahidi mungkin lebih menyerlah. Selain kedudukannya tetap terjamin untuk bergandingan dengan Muhyiddin bagi memulihkan UMNO, Zahid juga mungkin didesak untuk terus menerajui UMNO bagi menghadapi piliharaya yang seterusnya. Ini kerana dengan tumbangnya kerajaan Pusat ketika itu, ia juga mungkin dilihat sebagai kegagalan gandingan Najib dan Muhyiddin dan ia menjadikan alasan terbaik untuk menyingkirkan kedua-duanya sekali.

Dan kiranya BN terus kekal memerintah melebihi majoriti dua pertiga serta Najib pula kekal sebagai Presiden UMNO dan PM, Zahid Hamidi juga dilihat mungkin mencabar kedudukan nombor dua dalam UMNO bagi menempatkan dirinya mengempuki kerusi Timbalan Perdana Menteri yang kini diduduki oleh Muhyiddin.

Sama ada Zahid akan mencabar kedudukan Muhyiddin atau menjadikan persaingan nanti kepada tiga penjuru dengan penyertaan Hishammuddin dalam perebutan kerusi Timbalan Presiden UMNO itu, ramai yang percaya Zahid akan mempunyai kelebihan dalam persaingan itu nanti.

Selain wataknya yang disenangi, mudah didekati, berpengalaman, rekod baik dan peribadi yang meyakinkan, Zahid juga mempunyai rangkaian yang luas dalam UMNO yang dikenali sebagai Grup Sahabat. Grup ini wujud secara semulajadi bermula ketika Zahid menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Grup ini dianggotai oleh kalangan yang pernah menjadi Ketua Pemuda Bahagian atau perwakilan UMNO ketika Zahid memegang kedua-dua jawatan tersebut.

Dengan Zahid kini menjadi Naib Presiden UMNO dan Menteri Pertahanan, rangkaian grup ini menjadi semakin luas dan berkembang. Pertemuan, perbincangan tidak rasmi, sembang kedai kopi dan majlis-majlis sosial juga kerap mempertemuan mereka ini daripada seluruh negara.

Jamuan hari raya yang diadakan Zahid Hamidi yang mengundang limpahan hadirin setiap tahun adalah salah satu ukuran yang boleh dilihat untuk untuk menilai sokongan terhadapnya melalui kewujudan Grup Sahabat itu.

Selain itu, dengan kejayaan Angkatan Tentera Malaysia melangkah ke final Piala Malaysia setelah 49 tahun menanti juga sedikit-sebanyak melonjakkan lagi rating Zahid di mata umum.

Hakikatnya, berbanding Najib yang hampir pasti akan "tenggelam" selepas pilihanraya akan datang dan Muhyiddin yang "entahkan hidup entahkan mati" serta Hishammuddin pula tidak pasti antara "timbul dan tenggelam", Zahid sebaliknya mempunyai cahaya yang lebih terang di hujung terowong perjalanan karier politiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan