Budak 2 tahun parah dicekau helang

LONDON: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun cedera dengan mukanya berlumuran darah selepas diterkam seekor burung helang peliharaan di sebuah taman permainan, dekat sini, semalam.

Burung berkenaan menerkam Alfie Hall ketika dia bersiar-siar di taman itu dengan ibunya, Elysia dan beberapa anggota keluarga lain.
Kanak-kanak itu bagaimanapun bernasib baik kerana matanya terselamat.

Helang berkenaan yang sayapnya selebar 1.4 meter, turut mencekau telinga kiri kanak-kanak itu, menyebabkannya hampir putus.

Doktor terpaksa mencantumkan semula telinga itu di hospital.

Elysia, 23 berkata malam tadi: “Ia sungguh menakutkan. Burung itu kelihatan begitu besar dan kuat ketika menerkam kepala anak saya.

“Burung berkenaan mengoyakkan beberapa daging kepala Alfie, termasuk menyebabkan turisan besar berhampiran sebelah matanya yang memerlukan ia dijahit.

“Doktor memberitahu kami, dia bernasib baik kerana tidak hilang penglihatan.
“Adik saya meluru sambil menjerit dan memekik untuk mengusir burung berkenaan. Saya pula berkejar untuk mendapatkan Alfie.

“Dia begitu terkejut. Matanya bengkak dan saya dapat melihat telinganya terkoyak.”

Kejadian berlaku di taman permainan di Farnborough, Hants.

Burung itu tidak mempedulikan panggilan pemiliknya yang berusia belasan tahun yang berada di situ.

“Kami pernah melihat tuan burung itu berjalan di sekitar taman bersama haiwan itu. Kali ini, dia membiarkannya terbang dan kemudian cuba memanggilnya.

“Tetapi burung itu hinggap pada pokok. Dia cuba memujuk helang peliharaannya itu tetapi burung berkenaan tiba-tiba terbang dan menerkam kepala Alfie,” katanya.

Polis berkata, seorang remaja berusia 18 tahun dari Farnborough ditahan dan kemudian dibebaskan selepas disoalsiasat. - DM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan