Shirzad Lifeboat
Bagi sesetengah yang turut berada di Pusat Dagangan Dunia Putra tahun demi tahun, sama ada secara default atau kerana ingin turut sama berseronok dengan suasana pesta tatkala UMNO mengadakan persidangan, picturesque (pemandangan) di persekitaran bagunan tersebut mengesahkan mood happy happy itu.
Sedang perwakilan UMNO berseloroh menyampaikan pidato dan disambut dengan gelak dan hilai ketawa – dari Pengerusi Tetap membawalah kepada Presiden (memberikan gambaran seolah-olah raison d-etre parti tersebut adalah untuk berseronok-seronok dan tidak semestinya kerana perjuangan politik Melayu), di ruang legar pula keadaannya lebih kurang macam pasar jalanan Uptown di mana sekian banyak gerai menjual sekian banyak barangan dikunjungi oleh sekian banyak pengunjung.
Yelah, para perwakilan serta rombongan mereka itu kebanyakannya dari luar Kuala Lumpur dan juga dari luar bandar. Nak shopping di pusat membeli belah premium di ibu kota agak kekok. Mungkin ongkos yang dibawa atau diberikan oleh calon (atas nama bantuan kos perjalanan dan penginapan) tidaklah sebanyak mana. Maka mahu tak mahu shopping di dewan legar PWTC sahajalah jawabnya
Kalau nak makan, pergilah ke tingkat atas bangunan The Mall di seberang jalan. Di situ juga ada banyak gerai dan harganya pun tidaklah mahal sangat. Kalau nak style sikit mungkin boleh lepak di beberapa restoran berfesyen di sebelah hadapan bangunan berkenaan. Bila boleh duduk minum kopi dengan harga kopi lebih RM5 secawan, baru ada ummph, baru ada perwatakan pemimpin. Nanti bila balik ke cawangan boleh dijadikan modal untuk bercerita.
Picturesque suasana persidangan UMNO di era moden, terutama setelah tempat persidangan berpindah di PWTC dari merata kerap menawarkan pertembungan budaya dua golongan atau kategori anggota parti - golongan elit dengan golongan bukan-elit.
Golongan elit lebih mudah untuk diperhatikan. Kereta mereka, dari jenis termewah sedia terpakir di ruang letak kereta tidak jauh dari pintu masuk bangunan. Seseorang boleh sahaja memperhatikan beberapa buah Mercedes CLS atau S Class atau BMW 7 Series dengan nombor pendaftaran tunggal atau nombor dwi atau nombor berturutan (yang menjelaskan betapa kedudukan sipemiliknya adalah bertaraf warlord kecil di Bahagian atau Cawangannya).
Warlord besar tak pakai kereta seperti itu. Mereka adalah anggota kabinet dan mereka cuma boleh bergerak secara rasmi dengan sebuah Proton Perdana hitam. Kalau ada pun kereta jenis mewah itu termasuk juga kenderaan pacuan 4-roda Hummer dan Porsche Cheyenne, maka itu untuk masa bukan-rasmi.
Bagaimanapun, tidak kira sama ada warlord kecil atau besar, mereka berpakaian segak – pakaian kebangsaan lengkap dengan songkok dan kain sampin. Yang tidak kebangsaan cuma pakaian kaki atau footwear sahaja. Orang Melayu bila berpakaian baju Melayu lazimnya bercapal sahaja, tapi mereka ini nampaknya melanggar budaya dengan memakai kasut kulit. Dan rata-rata bukanlah dari jenama ‘Bata’. Tak mainlah jenama jenis ini. Pemimpin UMNO lah katakan. Penting pulak sebab turut berada sama di PWTC waktu persidangan.
Namun, apapun, budaya sudah berubah. Budaya baru menggantikan budaya lama. Dulu orang Melayu masuk UMNO kerana ingin turut sama memperjuangkan nasib dan kedudukan orang Melayu. Di era moden ini kebanyakan yang menyertai UMNO adalah untuk ‘mengejar mimpi Melayu’ atau pursuing the Malay dreams – kehidupan mewah, projek besar, kereta besar, rumah besar, akaun bank yang gemuk dan macam-macam lagi.
Justeru UMNO juga patut mengubah lagunya dari Bersatu Bersedia Berkhidmat, kepada lagu, misalnya Row Row Your Boat (gently down the stream, merrily merrily life is but a dream: Maknnya hidup ini sentiasa memburu mimpi seperti yang dilakukan oleh pemimpin UMNO di semua peringkat).
Tentu tak salah menyadur lagu orang lain untuk dijadikan lagu sendiri kan. Kalau UMNO boleh buat macam itu dengan lagu kebangsaan, inikan pula lagu parti sendiri.
Disebabkan perubahan budaya, minda dan set minda yang berlaku dalam UMNO cukup ketara (walaupun tidak pernah dinyatakan oleh mana-mana pemimpin UMNO secara hakiki), maka segala sesuatu juga turut sama berubah.
Mana-mana yang menyertai UMNO dengan aspirasi dan mimpi yang dikatakan itu akan mengambil masa tidak lama untuk mempersembahkan diri sebagai pemikir baru dalam Cawangan dan melakukan apa sahaja agar dipilih ke tempat selesa dalam AJK. Langkah seterusnya sudah tentulah Bahagian dengan matlamat (yang dizahirkan atau tidak) untuk menjadi calon dalam pilihanraya.
Anjakan budaya inilah yang telah merobah segala-galanya – yang telah menukarkan UMNO dari sebuah badan siasah tulen kepada sebuah kenderaan atau vehicle bagi mengejar mimpi.
Hakikat ini, walaupun tidak dinyatakan secara eksplisit tetapi dibayangkan oleh Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan (sebagaimana dilaporkan oleh Bernama) bahawa menurut beliau, 80 peratus daripada keputusan kerusi yang tewas dalam PRU12 lalu adalah berpunca kerana calon UMNO telah disabotaj oleh ahli-ahli dan pemimpin UMNO sendiri.
Sementara umum menyangkakan prestasi buruk UMNO pada pilihanraya umum itu berpunca dari kelemahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, rupa-rupanya Ahmad Maslan membuka tembelang sebenar bahawa faktor tunggal utama yang menyebabkan UMNO hanyut adalah sabotaj dari kalangan orang UMNO sendiri.
Biar betul. Tapi kesianlah jugak. Macam dah tak ada harapan nak memburu mimpi termasuk bagi mereka yang masih dibuai mimpi.
Tak pasti sekiranya Mat juga dapat petanda-petanda dan alamat lain. Tapi petanda yang satu ini, iaitu, ‘sabotaj’ sudah memadai untuk ‘membungkuskan’ UMNO dalam PRU13 (yang bagi UMNO, kalau boleh tak payahlah diadakan terus).
Patutlah, Mat UMNO dan lain-lain kelihatan semakin gabra.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan