Zainal Abidin Nor
Hakikatnya, Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi mesej yang jelas bahawa sesiapa saja yang memperlekeh dan menolak Islam telah murtad, termasuk Umno.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sesiapa sahaja orang Islam yang memperlekeh agama Islam dengan sengaja maka ia boleh jatuh kepada murtad (terkeluar dari Islam).
Katanya, tindakan memperlekeh Islam boleh berlaku dengan banyak cara termasuk menolak Islam sebagai dasar perjuangan kerana menganggap Islam itu sudah lapuk dan tidak sesuai lagi pada zaman ini.
Nik Aziz berkata demikian kepada para pemberita di Muktamar Tahunan PAS kali ke 58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa dekat Kota Baharu semalam.
“Tak kira siapa pun kalau tok guru berserban berjanggut sekalipun kalau tolak Islam dengan hati yang sengaja, dia kata Islam tak guna, dia murtad sekalipun tak ada mufti bagi tau dia, lapor beberapa laman web.
Utusan Malaysia, akhbar milik Umno hari ini memperbesarkan isu murtad dengan memuatkan berita ini di muka hadapannya bertajuk “Nik Aziz dakwa Umno murtad”.
Ini merupakan satu lagi percubaan Utusan untuk memburuk-burukkan peribadi Nik Aziz dan PAS dengan memuatkan komen dan ulasan para pemimpin dan ulama Umno dengan membuat pelbagai andaian.
Mereka kononnya mendakwa umat Islam ditegah dari berdoa kepada Allah untuk menghancurkan saudara sesama Islam dan langkah ini akan mengundang perpecahan di kalangan umat Islam.
Isu murtad kali ini timbul berpunca daripada doa pimpinan Ustaz Nik Razi Nik Mat (adik Nik Aziz) pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Muhammad ke IV di Kota Bharu pada malam 16 November lalu.
Beliau mendoakan agar kerajaan yang zalim, Umno-Barisan Nasional (BN) di hancurkan oleh Allah s.w.t seperti mana Allah menghancurkan kerajaan Fir’aun, Hammam, Qarun dan Abu Lahab.
Laluan mudah ke Putrajaya
Di antara doanya, beliau menyebut “hancur Umno, tumbang BN” dan “Umno K.O., K.O. Umno” dan memohon kepada Allah supaya memberi laluan yang mudah kepada Pakatan Rakyat mara ke Putrajaya.
Ramai di kalangan umat Islam di negara ini telah mula sedar bahawa doa untuk menghancurkan kezaliman, kejahatan dan ketidakadilan yang dilakukan oleh seseorang, sekumpulan, parti atau kerajaan dibolehkan dalam Islam.
Malahan kenyataan Nik Aziz ini juga disokong oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika ditanya wartawan dengan merujuk kepada Kitab Mustika Hadis yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri.
“Baca kitab itu, ada hukum mengenai orang yang memperlekehkan Islam. Kitab ini ditandatangani Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya walaupun enggan mengulas lebih lanjut.
Memandangkan pilihan raya umum ke 13 semakin hampir, berkemungkinan pada Disember ini atau selewat-lewatnya selepas Tahun Baru Cina 2013 nanti, maka jentera Umno khususnya media miliknya akan menyemarakkan isu agama, selain dari isu Raja dan perkauman.
Isu sensitif
Umno tidak boleh ‘survive’ tanpa memainkan ketiga-tiga isu yang sensitif ini dan cuba mencetuskan keadaan yang tidak stabil dan berkemungkinan huru hara jika mereka melihat survival politik mereka terancam.
Selepas isu Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang didakwa membuat kenyataan bahawa semua orang bebas memilih agama termasuk orang Melayu tetapi enggan disentuh oleh perwakilan muktamar, di ikuti pula dengan isu doa Nik Razi kepada isu murtad.
Isu murtad ini dicuba ditikam ke dada PAS memandangkan kerajaan Umno-BN sendiri gagal membendung meningkatnya kes murtad di kalangan orang-orang Melayu beragama Islam.
Inilah bencananya apabila sesebuah kerajaan sekular yang mengaku sebagai sebuah negara Islam di rantau ini menolak sistem perundangan dan syariat Islam daripada dilaksanakan secara keseluruhannya.
Undang-undang atau Akta Murtad yang diketengahkan oleh ahli-ahli parlimen PAS di Parlimen sudah tiga kali ditolak, bermula dari zaman pimpinan arwah Ustaz Fadhil Noor sebagai presiden PAS sehingga ketika pimpinan Hadi Awang dewasa ini.
Barangkali mereka bimbang undang-undang murtad ini terkena pada batang hidung mereka sendiri atau kaum kerabat mereka yang sering kali mempersendakan hukum Islam.
Islam akan terus terpinggir selagi Umno menerajui kerajaan pusat dan sebab itulah Nik Razi yang memimpin doa di Stadium Sultan Muhammad ke IV tempoh hari menyeru agar rakyat membuat perubahan.
Semoga Allah memperkenankan doa orang-orang yang dizalimi dengan menghancurkan Umno-BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan