Ramai tak ambil peduli himpunan 3 Nov di Seremban?

Ahmad Lutfi Othman
Siri demonstrasi aman, perhimpunan raksasa atau perarakan besar-besaran menuntut proses pilihan raya yang bersih dan adil, sejak kali pertama diadakan pada November 2007, sememangnya mendapat sambutan cukup menggalakkan.

Penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat semakin meningkat, tanda kesedaran rakyat terhadap tuntutan asas demokrasi itu bertambah terbuka dan menyeluruh. Proses pendemokrasian yang merupakan trend global dan fenomena sejagat tidak mampu disekat lagi. Malah Malaysia seharusnya berada dalam liga teratas bersama negara-negara demokratik yang memberi peluang sepenuhnya rakyat untuk berpartisipasi secara bebas.

Momentum tsunami politik Mac 2008 masih kuat

Dalam himpunan terakhir, Bersih 3.0, pada April 2012, penyertaan masyarakat Tionghua lebih menyerlah, menunjukkan keresahan berdepan pelbagai penipuan dan manipulasi semasa pilihan raya kini dikongsi lebih ramai khalayak. Ia juga bukti nyata bahawa tsunami politik Mac 2008 masih mempunyai momentum yang kuat.

Pemerintahan Najib Razak cuba memberi reaksi positif, dengan melakukan beberapa pembaharuan politik dan berusaha menampakkan imej lebih baik, untuk sedia mendengar kehendak rakyat, meskipun dalam masa sama, tumpuan diberikan bagi memalitkan wajah hodoh buat peserta dan penganjur Bersih.

Iklan tanpa berbayar di TV digunakan sepenuhnya untuk menggambarkan "Bersih Yang Kotor". Malang sekali, kian kerap ia diputar, penonton semakin jelak dan mual. Media baru terutama YouTube menjadi agen paling efektif memaparkan klip video adegan sebenar, menyanggah tohmahan peserta melakukan keganasan.

Bersih juga dipersepsikan seperti kebangkitan rakyat di Timur Tengah (apa salahnya demonstrasi menggulingkan diktator seperti Hosni Mubarak, kan?), untuk menghitamlegamkan lagi pemimpin Pakatan yang bersama dalam perarakan besar-besaran sekitar Dataran Merdeka itu.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PAS) terpaksa ditubuhkan, membabitkan wakil Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat; 22 cadangan telah dikemukakan selepas mengadakan siri mesyuarat dan pertemuan awam, termasuk menganjurkan lawatan kerja ke luar negara. Meneliti proposalnya itu, jawatankuasa tersebut seperti mahu menjawab lapan tuntutan utama Bersih, sekali gus menunjukkan kerajaan peka dengan desakan rakyat.

SPR keras kepala pertahan daftar pemilih yang kotor

Namun begitu, senarai daftar pemilih yang cukup meragukan, terutama di kerusi-kerusi tumpuan BN, langsung tidak dibersihkan, malah semakin menimbulkan tanda tanya dengan penemuan dan pendedahan yang mengejutkan. Nama-nama pengundi yang pelik dan aneh muncul, di samping alamat sama dikongsi begitu ramai pemilih, dengan bilangan yang tidak munasabah langsung.

Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap dilihat sebagai agensi kerajaan yang terbabit aktif dalam komplot BN bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pihak polis dan Majlis Keselamatan Negara, bagi mempertahankan Putrajaya dan menawan negeri-negeri yang kini diterajui Pakatan, terutama sekali Selangor.

Tuntutan akses media yang bebas dan adil pula langsung tidak dipedulikan. Pastinya Najib, melalui menteri berkaitan, Dr Rais Yatim akan mengemukakan cadangan seolah-olah Pakatan juga mempunyai ruang untuk berbicara langsung dengan rakyat, sekurang-kurangnya dapat membentangkan manifesto dalam siaran televisyen semasa berkempen nanti (jangan lupa, dengan syarat ketat yang mengikat).

Ia sekadar mahu mengaburi pandangan umum, sedangkan belum pun Parlimen dibubarkan, siaran TV, baik RTM mahupun stesen swasta sudah dipenuhi slot propaganda BN. Saya kira berbanding semasa era Abdullah Ahmad Badawi dan juga Dr Mahathir Mohamad, dakyah politik BN melalui kaca TV begitu ketara sekali di zaman Najib, terutama melalui lagu-lagu dan iklan politik tidak berbayar yang "disamarkan".

Justeru, apabila dimaklumkan satu Himpunan Kebangkitan Rakyat, menyamai Bersih 4.0, bakal diadakan sebelum Parlimen dibubarkan, saya menyokong penuh saranan itu sambil mengharapkan penganjurannya lebih tersusun dan sistematik lagi. Sesunguhnya padang permainan sama rata, dengan peraturan dan pengadil yang adil, harus diwujudkan terlebih dahulu, sebelum wisel ditiup!

Saya mendengar idea awal mengenai perhimpunan mega itu, yang diharapkan mampu mengumpulkan sejuta orang, apabila berkunjung ke pejabat bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadhir, di Seri Kembangan semasa Ramadan lalu.

Target sejuta orang

Kadir secara serius mencadangkan satu perhimpunan besar-besaran Pakatan Rakyat, dengan target menghimpunkan sejuta orang, di sebuah lokasi tertutup, seumpama Stadium Bukit Jalil atau Shah Alam, bagi menunjukkan kesatuan padu parti-parti pembangkang, dan menolak dakyah elit pemerintah yang sentiasa mencari jalan untuk "mengacau-bilaukan" seteru politiknya.

"Ya, kita boleh boleh namakan apa saja, misalnya Bersih 4.0, dan saya boleh menjadi tenaga pentingnya ... Bariskan serentak pemimpin utama Pakatan, dan buat pengisytiharan bagi menamatkan salah faham, khususnya antara PAS dan DAP. Memang selama ini pun, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sudah berucap berulang kali mengenai hal itu," tegas Kadir, sambil bertanya apakah saya juga setuju dengan cadangan tersebut.

"Selepas himpunan sejuta di Kuala Lumpur, maka kita akan berpindah ke negeri-negeri, dengan matlamat 100,000 hadirin. Kita perlu himpunan yang mendatangkan impak besar kepada pengundi sebelum PRU13," kata Kadir sambil merujuk kejayaan himpunan Hijau anjuran PAS. "Tapi kali ini ia membabitkan semua parti pembangkang," tambahnya.

Kadir mencadangkan agar himpunan itu memfokuskan kepada tuntutan akses media yang adil dan bebas. Katanya, isu media merupakan antara perkara paling pokok dalam sistem demokrasi dan proses pilihan raya. Ia sama sekali tidak boleh dipandang remeh, katanya, sambil menekankan bahawa maklumat harus sampai ke segenap pelosok tanah air dan setiap pintu rumah.

"Tidak semestinya apabila kita berada di pihak yang benar, seperti dalam isu air di Selangor, maka rakyat secara automatik akan memihak kepada kita sekiranya kempen penerangan atau penjelasan kerajaan negeri tidak disusun dengan baik," ujar Kadir.

Pakatan abaikan gerak kerja penerangan?

"Meneliti propaganda yang dimuatkan khususnya dalam TV, saya harap kita jangan pandang mudah perkara ini. Saya perhatikan, ia juga boleh mempengaruhi penonton, apatah lagi jika dipersembahkan dalam bentuk yang boleh menarik perhatian awam," katanya.

Sekiranya cadangan awal Kadir itu menjadi salah satu pendorong himpunan seumpama Bersih 4.0 digerakkan, bedanya cuma pelancarannya kini dibuat di Seremban Jaya, bukan di Stadium Bukit Jalil, dan ia tidak bertaraf program kemuncak yang mensasarkan sejuta kehadiran.

Namun begitu, ramai mengharapkan Himpunan Kebangkitan Rakyat, Sabtu 3 Nov ini menjadi pencetus terbaik, bukan sahaja bagi meneruskan tekanan dan lobi agar proses pilihan raya berjalan adil, bebas dan bersih, tetapi juga berupaya menyuntik semangat buat petugas Pakatan melakukan pecutan di pusingan terakhir menjelang tarikh pembubaran Parlimen.

Sebahagian rakan-rakan melahirkan keraguan mampukah Seremban menjadi tuan rumah yang dapat mengumpulkan 100,000 orang? Kebimbangan itu bersandarkan kepada promosi dan hebahan yang kurang menonjolkan, malah masih ramai aktivis parti yang tidak mendapat maklumat mengenainya.

Negeri Sembilan dilihat mempunyai keistimewaan tertentu, terutama dari segi kedudukannya yang strategik bagi memberi laluan buat momentum tsunami politik 2008 bergerak ke selatan. Dalam PRU13, Pakatan hanya kekurangan empat kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru. Majoriti dua pertiga BN dalam sidang Dun sudah berjaya dipecahkan.

Jangan hanya pentingkan kehadiran jika tiada impak

Meskipun himpunan 3 Nov ini bukannya lanjutan demonstrasi Bersih kerana ia dianjurkan Pakatan sendiri dan tidak melibatkan gabungan NGO seperti tiga perhimpunan terdahulu, saya kira bukan hanya jumlah kehadiran yang perlu dititik-beratkan, tetapi impak terhadap tuntutan membersihkan daftar pemilih dan akses media harus diambil kira.

Berbeda dengan Himpunan Hijau anjuran PAS yang mencapai kejayaan gemilang, terutama di majlis pelancarannya di Stadium Darul Aman, Alor Setar, awal Jun lalu, program di Seremban Jaya Sabtu ini mempunyai objektif lebih khusus, terutama untuk menarik perhatian seramai mungkin rakyat bagi mengenakan tekanan berterusan kepada pemerintah.

Selama ini, dalam keadaan agak uzur, Alhamdulillah, saya tidak pernah absen daripada mengikuti siri perarakan Bersih di Kuala Lumpur. Dan secara peribadi, saya berasa seronok, enjoy dan puas hati, meskipun tidak dapat berada dalam kelompok puluhan ribu demonstran, sekadar menjadi pemerhati di tepi jalan!

Semoga Seremban menjadi saksi, bukan sahaja kepada kemeriahan peserta yang dijangka memakai baju pelbagai warna khas (kuning, oren, hijau dan merah), mewakili tuntutan berbeda dengan hasrat yang sama, tetapi juga kepada tekad membara dan keazaman yang padu setiap rakyat yang mahukan proses pilihan raya negara ini menjadi lebih matang dan demokratik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan