Tertinggal Peluru Ketika Berwuduk

AntiKarat
Harap-harap tak rebah le. Cuma aku nak cerita sedikit tentang seorang ulama yang berdendang ibarat sokong membawa rebah. Daripada ulasan dan nada alam siber, aku dapati ada manusia kecewa akan secebis semangat dalam kerangka cadangan Haji Hadi sebagai PM.

Selepas cadangan itu terlontar menerobos ke luar dewan muktamar, isunya dah semakin panjang dan tidak sedap didengar.

Kerja wakil Dewan Ulama yang menyelitkan hasratnya agar TGHH dilantik sebagai PM apabila PR menang nanti, adalah kerja menyokong. Sokong seorang ulama besar naik jadi ketua negara adalah kerja murni. Sebab itulah tiada orang berdebat akan ucapan perwakilan tersebut ketika muktamar. Yang jahat adalah media pro-UMNO/BN. Aku selalu dengar orang kata, “kalau tak jahat, bukan UMNO namanya”.

Wakil Dewan Ulama tadi tak beri peluru kepada orang jahat. Cuma kerja orang jahat curi peluru daripada ulama tadi. Kerana jahatnya orang jahat tadi, habis ditembak semua orang termasuk Presiden PAS tadi, berbekalkan peluru wakil tadi.

Maka jadilah seperti kata orang bijaksana; sokong membawa rebah. Niat nak naikkan yang disokong, kerana kurang bertapis akal, entah-entah rebah semua. Yang peliknya, beberapa bulan yang lalu TGHH telah berpesan agar isu siapa yang layak jadi PM ini tidak dibicarakan. Adakah wakil Dewan Ulama itu tiada maklumat tentang pesanan ini?

Moral tulisan ini ialah, jangan mudah terpesona dengan niat yang suci dan idea yang hebat. Sesuai pada tempat belum tentu sesuai pada masa. Walaupun niat itu mulia, apa gunanya kalau ia memungkinkan runtuhnya harapan.

Manakala UMNO/BN yang dikatakan jahat kerana mencuri peluru tadi tidak boleh dijatuhi hukuman potong tangan kerana wakil dewan ulama tadi alpa meninggalkan pelurunya di atas sejadah semasa dia pergi mengambil wuduk. Harap-harap jangan berlaku lagi kealpaan yang memudaratkan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan