Anjing dilatih pandu kereta (Gambar)


GINNY berada di tempat duduk pemandu sebuah kereta.
WELLINGTON: Anjing-anjing di New Zealand diajar cara untuk memandu kereta dengan memusingkan stereng, menekan brek dan pedal minyak.

Idea melatih anjing itu dikemukakan oleh agensi pengiklanan DraftFCB dengan kerjasama syarikat kereta Mini dan pihak Persatuan Pencegahan Kekejaman Haiwan (SPCA) yang beribu pejabat di Auckland.

Buat masa ini, tiga ekor anjing yang bernama Porter, Monty dan Ginny dilatih selama dua bulan oleh pelatih haiwan, Mark Vette.

Vette melatih haiwan tersebut cara untuk memandu dengan menggunakan sebuah 'kereta beroda' kecil yang mengandungi tempat duduk, stereng dan papan pemuka.

Anjing itu duduk di atas kerusi dengan memakai abah-abah keselamatan, memusingkan stereng, menekan brek dan minyak.

Papan pemuka 'kereta' itu dicipta khas supaya ia mempunyai pedal brek dan minyak.

Anjing-anjing tersebut akan menjalani 'ujian memandu' yang akan disiarkan secara langsung menerusi televisyen di negara ini pada Isnin ini.

Projek itu bertujuan bagi meningkatkan pengambilan anjing oleh orang ramai dari pusat perlindungan haiwan untuk dipulihara. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan