Siswa berhimpun di depan Penjara Kajang tuntut bebaskan Umar

ARIF ATAN
NONE
KUALA LUMPUR: Hampir 100 anak muda dan mahasiswa berhimpun di hadapan pagar Penjara Kajang pada malam 21 Disember sebagai membantah tindakan memenjarakan Umar Mohd Azmi selepas dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada sebelah siangnya.

Hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 itu atas alasan beliau kononnya mengganggu penjawat awam DBKL ketika 'Occupy Dataran' mendesak mansuhkan PTPTN pada April lalu.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang ketika dihubungi Harakah pada jam 11 malam tadi berkata, sebanyak lima khemah sedang didirikan sebagai simbol membantah keputusan tidak adil tersebut sementara kes dijadualkan disebut semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin ini.

"Buat masa ini polis mengawal dan memerhati sahaja. Mulai pagi esok (Sabtu) pula kami akan bergerak lancarkan kempen Bebaskan Umar di sekitar bandar Kajang supaya rakyat sedar penindasan yang sedang berlaku," katanya.

Dalam himpunan di hadapan penjara itu, selain ucapan daripada Safwan, Abby Abadi dan wakil dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga menyampaikan rasa tidak puas hati membantah tindakan yang dikenakan pada Umar seorang mahasiswa tahun akhir di sebuah IPTS di Klang itu.

Turut hadir menyokong aktivis mahasiswa lain daripada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), siswa Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) serta aktivis Asalkan Bukan Umno (ABU) dan sebagainya.

Kes tersebut sekali lagi menjadi bukti penindasan kerajaan Umno-BN terhadap gerakan mahasiswa sebagai agen perubahan rakyat semakin terserlah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan