Aliff Fikri
KUALA LUMPUR, 19 Dis: KEADILAN akan serah memorandum berhubung salah laku polis memukul dan mencedera hingga menyebabkan kematian tahanan, Krishnan Subramaniam kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Ahli Biro Politik KEADILAN, Sivarasa Rasiah berkata, memorandum tersebut akan diserah minggu hadapan jika Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar tidak mengambil sebarang tindakan terhadap anggotanya yang bertanggungjawab ke atas kematian tersebut.
Ini berdasarkan layanan kejam polis yang memukul Krishnan hingga mengakibatkan kecederaannya dijangkiti kuman tanpa rawatan sepatutnya, sekaligus menyebabkan kematian.
“Jika tidak ada sebarang hukuman seperti penggantungan kerja dilakukan oleh KPN terhadap anggotanya yang terlibat dalam salah laku dan keganasan ini dalam masa 24 jam, kita akan serahkan memorandum kepada Suhakam.
“Kita desak KPN bertindak segera dan serta merta, kerana kes kematian dalam tahanan bukan kes baru. Sebelum ini telah ramai mangsa yang mengalami nasib yang sama, sekarang ini terjadi pula kepada Krishnan,” tegas Ahli Parlimen Subang itu.
“Ini merupakan kekejaman yang serius dan tidak boleh diterima. Tanggungjawab polis hanyalah menangkap dan menyiasat bukannya membunuh tahanan,” katanya pada sidang media depan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tengahari tadi.
Menurut keluarga mangsa, Krishnan ditangkap di Kota Damansara pada 8 November dan pada 20 November, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan dia dihantar ke Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan, Perak, untuk pemerhatian.
Bagaimanapun, Krishnan didapati meninggal dunia ketika dia dihantar ke hospital pada 22 November.
Terdahulu, Sivarasa bersama abang mangsa, Palanisamy Subramaniam serta ibunya menyerahkan memorandum menuntut siasatan segera.
Memorandum tersebut disampaikan kepada ASP Jahangir dan ASP Azman.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Biro Guaman KEADILAN, S Jayathas; Setiausaha Cabang Subang, Manivannan Gowin dan Pengerusi Pengerusi Pasukan Tindakan Interlok Nasional (Niat), Datuk Thasleem Ibrahim.
Sementara itu, Jayathas mendesak kerajaan supaya segera menubuhkan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi membasmi salah guna kuasa polis yang semakin berleluasa.
“Kematian Krishnan dan ratusan lagi seperti (A) Kugan akibat kekasaran dan kecuaian polis tidak boleh dimaafkan.
“Kita gesa kerajaan supaya ambil langkah segera dengan melaksanakan IPCMC. Suhakam sendiri menyatakan IPCMC perlu ditubuhkan.
“Ia Perlu untuk memastikan institusi polis tidak dicemari dengan kesalahan jenayah oleh anggotanya. Juga bagi memastikan mangsa yang terlibat dalam kezaliman polis mendapat keadilan sepatutnya,” tegas Jayathas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan