PENGAKHIRAN BAGI NAJIB & ROSMAH: PKR bakal halang perjanjian LTAT-Deepak-Ropiaah

Wong Choon Mei, Alaa Soleiman
PENGAKHIRAN BAGI NAJIB & ROSMAH: PKR bakal halang perjanjian LTAT-Deepak-Ropiaah
Bersumpah akan mempertahankan dana pencen Angkatan Tentera dari disalahgunakan oleh pemimpin kerajaan tertinggi, Ketua Pembangkang dari parti PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menuntut pentadbiran Najib memberi maklumat sebenar tentang perjanjian yang melibatkan RM160 juta bagi pembelian semula tanah milik Kementerian Pertahanan.

Respon dari PKR ini berikutan berita semalam yang mengkhabarkan bahawa unit dana pencen angkatan tentera 'Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah bersetuju untuk membayar RM30 juta kepada ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan dan RM130 juta pula kepada firma Raja Ropiaah, Ketua Wanita Umno Selangor.

Pengarah strategik PKR Rafizi Ramli menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Zahid Hamidi di atas "penyalahgunaan kuasa yang melampau", dalam menerangkan tentang transaksi terbaru yang melibatkan 223 hektar tanah Kementerian Pertahanan di Bukit Raja, Selangor sebagai "rasuah secara terang-terangan" dan " kes pelaburan paling buruk pernah berlaku".

"Ia jelas menunjukkan bahawa RM30 juta untuk memperoleh 80% Astacanggih (firma Deepak) dan yang RM130 juta yang dibayar (kepada firma Raja Ropiaah) untuk tanah yang hampir tidak wujud adalah penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan oleh Zahid Hamidi. Saya berani mengatakan bahawa Najib telah menugaskan Zahid untuk mengendalikan hal ini dengan apa jua cara sekalipun, "Rafizi, juruaudit terlatih di UK, memberitahu sidang akhbar pada hari Sabtu.

"Anda boleh meminta mana-mana penganalisis pelaburan atau penyelidik dan mereka akan memberitahu anda ini bukanlah satu pelaburan yang baik. Jadi mengapakah kerajaan persekutuan melibatkan diri dalam pelaburan yang buruk itu? Kita hanya boleh menyimpulkan bahawa ini bertujuan untuk mendiamkan Deepak dan untuk menutup keseluruhan isu itu. "

Rasuah yang nyata?
Deepak, yang pernah menjadi teman akrab isteri Najib, Rosmah Mansor, pada tahun 2007 telah membeli tanah dari firma Raja Ropiaah Awan Megah dengan nilai kira-kira RM120 juta iaitu RM12 meter persegi. Tetapi perjanjian telah terbengkalai dan surat tanah masih belum diserahkan kepada unit Astacanggih, Cebur Megah.

Ini menyebabkan di Deepak menyaman Ropiaah dan Awan Megah bagi tindakan spesifik dan "niat jenayah", kementerian Pertahanan serta para pegawai di Pejabat Tanah dan Galian kerana tidak melepaskan surat tanah kepada Cebur Megah.

Deepak juga menuduh Ropiaah 'mencuri' dan menjual salah satu daripada tiga bidang tanah kepada GuppyUnip Sdn Bhd dengan nilai RM16 meter persegi. Kes itu telag didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur lewat bulan lepas, dengan Deepak sendiri menjadi saksi. Ia telah ditangguhkan hingga Disember 14 tetapi tertunda sementara menunggu penyelesaian yang dikatakan Deepak ‘dipaksa’ keatas dirinya dan juga firmanya.

"Ia memang benar bahawa pemegang saham dan diri saya sendiri telah menjual saham kami di Asta Canggih untuk RM30 juta yang merupakan harga kos sebenar kami iaitu RM13 juta untuk Raja Ropiaah, RM8 juta dalam bentuk sumbangan politik, RM7 juta bagi kos kewangan dan RM2 juta untuk prosedur undang-undang dan kos lain. Ini adalah keputusan yang telah dipaksa ke atas kami, "kata Deepak dalam mesej teks pada hari Jumaat.

Menyelamatkan tabung pesara Angkatan Tentera

Pertelingkahan memuncak apabila Deepak mendakwa ada 'tangan gelap' yang dibelakang perjanjian itu. Dia menuduh keluarga Najib menerima berjuta-juta ringgit sebagai balasan kepada Najib yang telah menyalahgunakan kuasanya dalam meluluskan perjanjian itu.

Najib, yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan, masih tidak memberi apa-apa jawapan kepada siri dakwaan berat yang telah dileparkan walaupun rakyat semakin jijik dan mendapat tekanan dari parti politiknya sendiri.

Rafizi menyelar Najib kerana enggan memberi penjelasan kepada orang ramai dan menuduh dia bersubahat dengan Zahid kerana memasuki perjanjian yang meragukan yang telah meletakkan dana pencen Kementerian Pertahanan dalam kedudukan yang terancam.

"Hakikat bahawa Najib tetap berdiam diri membuktikan bahawa transaksi itu telah dibuat untuk mendiamkan Deepak. Ini juga


menunjukkan pasti terdapat kebenaran dalam tuduhan Deepak. Pendedahan Deepak pasti telah menakutkan Najib sehinggakan

dia mengarahkan Boustead untuk masuk ke dalam perjanjian ini," kata Rafizi.

"Sungguh licik bagi Perdana Menteri untuk mengarahkan Menteri Pertahanan terlibat dalam perjanjian itu. Di negara-negara lain, siasatan awam akan dilakukan. PKR akan sedaya-upaya cuba untuk menggagalkan perjanjian itu kerana ia melibatkan LTAT, dana pencen kementerian Pertahanan. Ia tidak masuk akal. kita sudah rugi RM250 juta dari seorang menteri dan sekarang kita akan kehilangan RM160 juta wang pesara oleh seorang lagi menteri lain. "

Rafizi merujuk kepada kemelut pembiakan lembu NFC yang bernilai RM250 juta yang melibatkan keluarga Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil.

Najib perlu memenangi semula Selangor untuk mementerai perjanjian


Dalam kes Deepak-Ropiaah, Rafizi menegaskan bahawa tanah itu tidak pernah bertukar tangan dari awal lagi dan seterusnya mempersoalkan kenapa Kementerian Pertahanan membeli balik tanahnya sendiri.

"PKR akan menulis surat kepada kerajaan negeri Selangor untuk menghentikan perjanjian ini. Sebelum ini kita diam sahaja kerana kita tidak pasti sama ada dakwaan Deepak adalah benar. Tetapi kini, selepas pengumuman Boustand kepada Bursa, semuanya sudah terjawab. Pada perhimpunan Umno baru-baru ini, Zahid berkata dia akan meneliti perkara itu dan mencari jalan untuk menyelesaikannya. Selepas itu, terus senyap. Kami fikir ia adalah tindakan biasa Najib yang sering enggan memberi jawapan kepada rakyat. Kemudian Boustead membuat pengumuman mereka semalam, "kata Rafizi.

"Ini jelas menunjukkan perjanjian dilakukan untuk menutup mulut Deepak. Tetapi ia langsung tidak menyelesaikan masalah. Bagaimana Zahid boleh fikir yang perjanjian akan berjaya? Ia akan memerlukan lampu hijau daripada kerajaan negeri kerana tanah itu berada di Selangor . Deepak menegaskan bahawa dia tidak akan berdiam diri kerana dia hanya mendapat RM30 juta walhal Ropiaah menerima RM130 juta. Kami telah memberitahu Deepak, jangan bimbang. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menggagalkan perjanjian ini kerana ia melibatkan wang pesara. Malah, kita perlu berterima kasih kepada Tan Sri Khalid kerana berkeras untuk memeriksa semua butiran dan tidak membenarkan transaksi berlaku. "

Rafizi bersetuju hak milik tanah mungkin akan bertukar tangan sekarang jika bukan kerana pembangkang berjaya menguasai Selangor selepas pilihan raya umum 2008. Menurut Rafizi, jika Najib mahu perjanjian berjalan lancar, satu-satunya cara adalah jika "dia berjaya menawan Selangor kembali".

Negeri ini merupakan yang terkaya dan mempunyai ekonomi yang terbesar berbanding 13 negeri di Malaysia. Najib sebelum ini telah berikrar untuk mengambil kembali Selangor "dengan apa jua cara." Negeri ini kini diketuai oleh Ketua Menteri PKR Khalid Ibrahim.

Unit Mindef membayar RM160 juta bagi tanah yang masih dimilikinya
Dalam satu kenyataan kepada bursa saham, Boustead Holdings Bhd, sebuah unit LTAT, mengumumkan bahawa unit milik penuh Bakti Wira Sdn Bhd telah memperolehi kepentingan 80 peratus di Astacanggih Sdn Bhd dengan nilai RM30 juta.

Pembangunan Bakti Wira dan Astacanggih juga telah menandatangani perjanjian dengan Awan Megah terlebih dahulu pada hari Jumaat untuk memperoleh 80.94 hektar tanah pegangan bebas di Klang, Selangor dengan harga RM130 juta. Menyifatkan perjanjian itu sebagai satu peluang untuk menambah hak tanahnya, Boustead berkata pembelian saham dan pemerolehan tanah itu akan dibiayai menerusi pinjaman bank dan dana yang dijana dari dalam.

"Selain itu, tanah itu juga bersebelahan dengan 283.28 hektar tanah yang dibangunkan oleh Jendela Hikmat Sdn Bhd, sebuah syarikat dimana kumpulan itu serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera bersama-sama memegang 60 peratus dalam kepentingan ekuiti. Permintaan untuk tanah perindustrian di lokasi ini telah menunujukkan aliran menaik setelah siapnya pembinaan loji penyimpanan dan ujian terbaru UMW di Bukit Raja, Klang, "kata Boustead.

Rafizi berserta wakil Pakatan Selangor akan meneliti perjanjian secara halus pada hujung minggu ini dan merancang untuk mengadakan satu lagi sidang akhbar pada hari Isnin.

"Pada sebelah petang, kami bersama beberapa orang pesara akan ke pejabat Bakti Wira untuk memeriksa dokumen. Para pesara mempunyai hak untuk mengetahui apa yang berlaku kepada wang mereka," kata Rafizi.

The Black Rose

Setakat ini, Ropiaah belum memberi sebarang komen tentang transaksi itu. Sebelum ini, ketika dihubungi oleh Malaysia Chronicle, dia berkata akan merujuk dakwaan Deepak kepada peguamnya.

Dalam respons kepada pengumuman Boustead pada Jumaat, Deepak berikrar dia akan terus membuat pendedahan. Deepak bukan sahaja telah mendedahkan penglibatan Najib dalam urusan tanah Bukit Raja tetapi juga telah mendedahkan bahawa kedua-dua PM dan isterinya, Rosmah meminta beliau dirinya dalam "memudahkan" urusan penarikan balik akuan berkanun yang dibuat oleh penyiasat persendirian yang membabitkan Najib dalam kes rasuah dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu-Scorpene.

Rupa-rupanya, lebih banyak skandal "panas" akan didedahkan untuk menguji Najib yang bagaikan jatuh ditimpa tangga, setelah menghadapi tekanan yang besar dari dalam partinya sendiri Umno untuk mengundur diri dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Muhyiddin Yassin timbalannya sebelum mengadakan pilihan raya umum.

"Ironinya ialah Raja Ropiaah yang telah 'mencuri' tanah dari kami dibayar RM130 juta, jadi itulah kuasa sebenar, bukan?" Kata Deepak, yang dalam mesej teks kepada Malaysia Chronicle dan telah berjanji untuk meneruskan agenda mengeluarkan buku yang akan menceritakan segalanya mengenai Rosmah - 'The Black Rose'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan