Muhammad Faeez Azahar
KUALA LUMPUR: Dalam perbicaraan kes saman Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap TV3, Pengarang Urusan Kumpulan Editor Media Prima Berhad, Datuk Mohd Ashraf Abdullah mengakui bahawa TV3 tidak membuat sebarang usaha untuk pengesahan daripada sumber asalnya.
Ketika diajukan soalan oleh Peguam mewakili Nizar, Mohd Fitri Asmuni, defendan (Ashraf) bersetuju ianya perlu dibuat sedemikian mengikut etika dan amalan media.
Ashraf yang sudah berkecimpung lebih 20 tahun dalam bidang tersebut turut bersetuju isu yang dilaporkan oleh TV3 menerusi Buletin Utama 30 Mei tahun lalu berkenaan Twitter plaintif (Mohammad Nizar) adalah isu besar dan serius.
Ini kerana ianya melibatkan Plaintif sebagai tokoh politik dan Istitusi Di Raja iaitu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail.
Defenden turut bersetuju bahawa dalam kes-kes yang dianggap serius sebegini, sekiranya defendan-defendan gagal mendapatkan pengesahan sebelum sesuatu berita itu diterbitkan, ianya akan menjejaskan salah satu pihak.
Sementara itu, Mohammad Nizar yang juga Mantan Menteri Besar Perak mendakwa, TV3 telah memutar belitkan kenyataannya di laman sosial tersebut yang langsung tidak menyebut Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membida nombor kenderaan WWW1.
Jelas beliau, TV3 perlu menyemak tentang kesahihan berita tersebut sebelum disiarkan kepada umum.
Katanya, ianya mungkin bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya sebagai ahli politik, ahli parlimen dan ketua pembangkan Dewan Undangan Negeri (Dun).
Jelas beliau, penyiaran berita yang diputarbelitkan itu berniat jahat untuk memberi gambaran negatif terhadapnya berkaitan dengan istitusi Di Raja.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu sebelum ini membuat keputusan untuk menyaman media tersebut sebanyak RM50 juta selepas memfitnah beliau mengatakan Nizar menuduh Sultan Johor untuk membida nombor kenderaan WWW1 berharga RM520 ribu.
Perbicaraan tersebut berlangsung semalam di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur ditangguhkan dan akan bersambung Jumaat ini.
Turut hadir memberi sokongan ialah Pengerusi DAP Perak, Dato' Ngeh Koo Ham, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, Madhi Hasan dan Penolong Setiausaha PAS Perak, Safarizal Saleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan