Khairul Azlam Mohamad
DUNGUN: Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Mohd Ariffin @ Zakaria Abdullah terpaksa membawa kes tuntutan perceraian mereka ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun.
Plaintif, Mastura Othman, 46, merupakan isteri kedua Mohd Ariffin @ Zakaria, 60, membuat tuntutan fasakh talak kerana menyifatkan defendan telah mencemar maruah serta nama baik keluarga.
Kata beliau, tuntutan fasakh terpaksa dibawa ke mahkamah setelah suaminya itu enggan pulang ke rumah bagi melafazkan talak secara baik.
"Itu terpulang kepada dia (Zakaria), dia yang mencipta segala masalah, ini atas kerelaan saya sendiri, saya rasa saya tak perlulah fikir banyak-banyak tentang dia, kita pun dah tua, anak pun dah besar," jelasnya kepada pihak media setelah hadir di Mahkamah Rendah Syariah Dungun, hari ini.
Menurut Mastura, Ariffin atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Ya’ seorang yang berjawatan tinggi, matang dan telah mempunyai cucu tidak sepatutnya mencemarkan maruah dan nama baik keluarga.
Beliau mendakwa dirinya dan ahli keluarga merasa malu apabila gambar dan cerita tentang 'kisah cinta YB Ariffin' diterbitkan dalam sebuah majalah hiburan pada bulan Disember 2012 lalu.
"Kali terakhir saya jumpa dia pada 19 Disember dan selepas itu saya bagi dia SMS supaya dia datang lafazkan secara baik di rumah, saya tunggu sehingga 22 Januari, dia tak datang-datang, jadi saya beritahu dia saya akan buat tuntutan mahkamah," tegasnya.
Namun begitu, Mohd Ariffin @ Zakaria tidak hadir dan mahkamah menangguhkan keputusan kes tersebut pada 27 Februari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan