Azmil Mustapha tolak bidang politik, kembali dalam industri seni

NOR ATIEYAH YUSOFF
Azmil MustaphaSEBUT nama Azmil Mustapha atau Ustaz Azmil mungkin ramai yang kurang mengenalinya berbanding Ali Setan yang sehingga kini masih segar di kebanyakan fikiran ramai.
Bergandingan bersama Fauziah Ahmad Daud sebagai Asmidar, filem Ali Setan itu berjaya melonjakkan nama Azmil sebagai pelakon filem terkenal tanah air.

Menerusi lakonannya itu juga, Azmil berjaya meraih gelaran Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia (FFM) pada tahun 1996 dan namanya juga pernah tercalon dalam kategori sama dalam filem Mekanik pada tahun 1983.

Seiring kegemilangannya, Azmil turut membintangi 20 filem antaranya, Iman Alone (1998) dan 50/50 (1991).

Langit tak sentiasa cerah, karier seninya mula merosot sementelah berdepan dengan kegawatan ekonomi pada 1997. Di saat itu, Azmil mengakui kurang mendapat tawaran lakonan dan turut berdepan dengan kesempitan hidup.

Dalam kegelapan, Azmil bersyukur kerana akhirnya Ali Setan ini mendapat hidayah ALLAH SWT dan perubahannya mengejutkan ramai peminatnya.

"Saya berubah setelah mendapat hidayah dari ALLAH SWT dan sudah sampai masa untuk saya hidup di jalan benar," katanya.

Jika ada segelintir artis yang menyertai politik selepas berhijrah, namun berbeza dengan Azmil.

"Saya tidak berminat untuk terlibat dengan mana-mana politik.

"Saya lebih suka berceramah dengan bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak," katanya yang banyak terlibat dengan program keagamaan sebelum berhijrah ke Syria untuk memulakan kehidupan baru.

Dari Syria ke Pattani

Susulan peperangan yang berlaku di Syria, Azmil bersama empat anaknya mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia selepas lima tahun menetap di sana sejak 2006.

Biarpun keputusan tersebut diambil dengan berat hati, namun beliau terpaksa pulang ke tanah air demi keselamatan diri dan keluarga setelah menerima nasihat daripada Kedutaan Malaysia.

"Jika diikutkan saya tidak mahu pulang ke Malaysia, namun keadaan memaksa kami kerana keselamatan di Syria tidak terjamin dan peperangan yang berlaku mungkin berlanjutan lebih lama.

"Namun, hati saya masih di Syria walaupun kembali ke Malaysia dan masih menyimpan hasrat untuk ke bumi anbia itu lagi," katanya.

Tetapi, setelah setahun lebih berada di Selangor Azmil bergiat aktif untuk memulakan beberapa projek kebajikan namun semuanya mengalami kegagalan.

"Akibat kecewa dengan usaha yang dirancang tidak menjadi, saya memohon petunjuk ALLAH SWT dengan melakukan iktikaf di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz selama 10 hari di bulan Ramadan lalu ternyata memberi petunjuk kepada saya.

"ALLAH (SWT) telah memberi ilham untuk saya berhijrah ke Pattani dan menetap di mukim Telubo, berdekatan dengan kilang percetakan al-Quran terbesar Asia Tenggara.

"Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan Allah kerana penghijrahan saya ke sana tanpa apa-apa bekalan, mendapat bantuan daripada pemilik kilang tersebut," katanya.

Walaupun tinggal bersendirian tanpa kehadiran anaknya, Azmil pulang ke Malaysia untuk menjenguk mereka dan rumah pusaka arwah ibunya di Shah Alam.

Sedia jadi hos, kembali berlakon

Sekian lama namanya tidak kedengaran, Azmil tidak menolak kemungkinan dia akan muncul semula di kaca televisyen dan mendapat beberapa tawaran mengacara program TV melalui rangkaian Astro.

"Saya masih dalam perbincangan awal dengan Pengurus Besar Saluran Oasis, Haji Izelan Basar dan beberapa pertemuan bersama penerbit saluran Oasis baru-baru ini.

"Tetapi, persetujuan ini tertakluk kepada kandungan dan jenis pengisian program yang terdapat dalam rancangan yang bakal dicadangkan," katanya.

Azmil juga tidak menolak sebarang tawaran untuk berlakon atau mengacara selagi tidak bertentangan dengan pegangannya kini.

Jelas Azmil, ketika berada di Syria, dia masih tidak melupakan darah seni yang mengalir dalam dirinya.

"Saya pernah menghasilkan dua filem dokumentari Deen in Dublin: Part One and Two ketika menetap di Syria yang ditayangkan di Britain pada Disember tahun lalu.

"filem ini mengisahkan kehidupan umat Islam di Dublin yang sangat harmoni tanpa mengira perbezaan bangsa dan budaya.
"Ia merupakan hasil kerjasama saya bersama anak-anak dan Dr Zulkarnain Kedah," kata bapa kepada Syamira (27), Nur Azalya (22), Nur Amalia (21), Muhammad Bazli (18) dan Nur Alya Iman (12).

Tak menyesal jadi artis

Mengimbau perjalanan karier seninya, Azmil mengakui tidak menyesali keputusannya untuk terjun ke bidang hiburan kerana penglibatan dalam dunia hiburan adalah darah dagingnya.

Pelakon berusia 60 tahun itu berkata, dunia hiburan dan seni merupakan sebahagian dari kehidupannya sejak belajar di bangku sekolah sehingga melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat.

"Ketika belajar di sana, saya turut mempunyai band sendiri terdiri daripada empat orang dan saya vokalisnya.

"Pada masa yang sama juga, saya gemar menonton filem pada setiap minggu dalam dua tiga kali," katanya.

Mungkin ramai yang berpendapat bahawa Azmil mendapat latihan lakonan namun pada dasarnya, dia menerima tawaran berlakon secara kebetulan daripada pengarah, Othman Hafsham kerana tidak bekerja.

Setelah menerima tawaran berlakon dalam filem Mekanik, bakat Azmil dalam lakonan semakin terserlah.

"Siapa yang mahu menolak apabila ditawarkan RM10 ribu untuk berlakon filem.

"Tambahan pula, saya memang tengah pokai jadi tawaran tersebut terus diterima," katanya mengenai penglibatan awal dalam dunia seni.

Walaupun bertukar imej secara mendadak, namun minatnya terhadap muzik dan lakonan sukar dipadamkan. Malah akui Azmil, dia masih bermain alat muzik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan