‘Kalau Mazlan terlepas masuk, kita buat huru-hara’

Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Satu rakaman video menunjukkan mesyuarat membincangkan perancangan untuk menghalang ceramah Anak di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor pada 4 Februari lalu tersebar di internet.

Rakaman sepanjang 15 minit itu dimuat naik ke Youtube sejak semalam dengan tajuk "Umno dalang Felda Sungai Tengi".

Rakaman itu antara lain memaparkan sekumpulan orang mendengar penerangan dari pengerusi mesyuarat yang dipercayai Pengerusi Felda Sungai Tengi, berhubung tindakan untuk menghalang rombongan Presiden Anak, Mazlan Aliman.

Antara lain, pengerusi mesyuarat tersebut menyebut, "Jika Mazlan terlepas masuk, kita ikut arahan polis supaya kita buat huru-hara".

Beliau turut menyebut arahan tersebut adalah dari pegawai polis daerah Kuala Kubu Baru.

Bagaimanapun kata pengerusi mesyuarat tersebut, sebolehnya jangan berlaku pergaduhan.

Dalam pada itu maklumat yang turut dinyatakan di Youtube itu mendakwa antara yang terlibat dalam sekatan tersebut termasuk pengurusan Felda Sungai Tengi, peneroka, Perkasa dan beberapa lagi NGO dari luar yang turut diminta membantu mereka.

Sementara itu, Mazlan dalam komen ringkasnya di Facebook berkata, rakaman mesyuarat tersebut akan diserahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut.

"Motif menghalang saya dan Anak hanya semata-mata Anak kononnya pertubuhan haram.

"Terima kasih kepada indiividu yang merakam dan share dlm laman sosial spt ini," tulisnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan