AZIZ MUDA
KUALA LUMPUR: Anak negarawan Tun Ghaffar Baba, Tamrin Ghaffar menyangkal keras laporan mengatakan Dato' Seri Najib Razak sama hebat dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, Najib bukanlah lawan kepada Anwar kerana Najib sentiasa tertinggal dalam banyak perkara berbanding dengan ketokohan Anwar yang berupaya membentuk "mood" rakyat.
"Najib mana hebat? Kalau Najib hebat dah lama dia debat dengan Anwar. Tetapi hingga hari ini dia tetap tidak berani debat.
"Pada hal, dia Perdana Menteri dan dia boleh dapatkan pelbagai information daripada pegawai-pegawai kerajaan untuk membantunya menghadapi Anwar dalam debat itu," katanya kepada Harakah.
Sebaliknya, Tamrin mengaku lebih menghormati Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Cheek kerana berani berdebat dengan Anwar, walaupun Shabery bukanlah lawan kepada Anwar.
Akhbar harian tempatan 22 Februari lalu melaporkan, PRU13 menjadi medan tempur di antara individu yang mempunyai pengaruh menentang individu berkuasa bagi meraih sokongan rakyat seterusnya membentuk kerajaan baru selepas PRU nanti.
Terbaru kajian populariti oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) menunjukkan Najib memperolehi 43 peratus berbanding Anwar 42 peratus, untuk tokoh siapa calon paling layak menjadi Perdana Menteri selepas PRU13.
Kajian itu turut membabitkan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang mendapat 26 peratus undian, manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh 22 peratus.
Di kalangan Melayu, Najib adalah yang paling popular dengan 46 peratus, diikuti oleh Ustaz Abdul Hadi 36 peratus, Anwar 34 peratus dan Muhyiddin 26 peratus.
Keputusannya adalah berbeza di kalangan kaum Cina dengan Anwar muncul paling popular dengan 61 peratus, diikuti Najib 35 peratus dan Muhyiddin 15 peratus, manakala Ustaz Abdul Hadi hanya meraih dua peratus.
Mengulas lanjut, Tamrin berkata, bukti lain yang menunjukkan Najib bukan seorang pemimpin hebat boleh dirujuk kepada keputusannya yang sanggup mengurangkan malah menghapuskan kuota Bumiputra dalam DEB, akibat mendengar pandangan Dato' Seri Dr. Chua Soi Lek.
Beliau kesal kerana Najib turut terpengaruh dengan pandangan Chua Soi Lek sehingga sanggup mengatakan negara akan huru-hara kalau dilaksanakan pemerintahan Islam.
"Dari segi pemimpin Islam, itu tak betul. Jadi Najib bukanlah seorang yang hebat. Anwar sebenarnya yang jauh lebih hebat berbanding Najib," tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan