Zulkifli Sulong
Kuala Terengganu adalah salah sebuah bandaraya di Malaysia. Namun ramai tertanya-tanya, apakah benar Kuala Terengganu sememangnya berstatus bandaraya.
Ketika pengisytiharannya, Kuala Terengganu dijolokkan sebagai Bandaraya Pesisiran Pantai. Sebagaimana pantainya yang sentiasa dihempas ombak besar kerana berhadapan dengan laut Cina Selatan yang bergelora, politik di ibu negeri Terengganu ini juga penuh gelora.
Kerana hempasan ombak yang kuatlah, sepanjang pantai Terengganu bersih berbanding dengan pantai di barat Semenanjung yang pantainya lebih berkelodak.
Sebagaimana bandar-bandar utama di negara ini, Kuala Terengganu juga kini dikuasai arus perubahan. Walaupun BN menang dalam pilihan raya umum 2008, namun dalam pilihan raya kecil di tahun yang sama, kerusi ini dikuasai oleh Pakatan Rakyat melalui PAS.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut memenangi kerusi itu dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada 17 Januari 2009.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali bin Ismail pada 2 Disember 2008. Dalam pilihan raya itu, Wahid yang juga Adun Wakaf Mempelam telah menang dengan majoriti 2,631 mengalahkan Datuk Wan Mohd Farid, calon BN.
Dalam pilihan raya umum 2008, Datuk Razali menang dengan majoriti 628 undi mengalahkan Haji Mohamad Sabu (PAS) dan Maimun Yusof (Bebas).
Sememangnya Umno dan PAS saling bertukar ganti di Kuala Terengganu. Pada pilihan raya tahun 1990, kerusi ini dimenangi oleh Datuk Manan Othman dari parti Melayu Semangat 46. Namun pada tahun 1995, ia dirampas kembali oleh Umno.
Dr Syed Azman Ahmad Nawawi kemudiannya pada tahun 1999 memenangi kerusi ini tetapi calon PAS kalah kembali dalam pilihan raya 2004.
Kini wakil rakyat yang sah di sini adalah Mohamad Abdul Wahid Endut. Memandangkan beliau juga Adun Wakaf Mempelam, ramai yang beranggapan Wahid tidak akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya ke 13 ni. Beliau akan mempertahankan kerusinya di DUN Wakaf Mempelam itu.
(Keputusan pilihanraya umum 2008 di Kuala Terengganu)
Selain Wakaf Mempelam, Parlimen Kuala Terengganu mempunyai tiga lagi DUN iaitu Ladang (PAS - Datuk Tengku Hassan), Batu Burok (PAS - Dr Syed Azman Ahmad Nawawi) dan Bandar (BN - Toh Chin Yaw).
Ini bermakna, tiga dari empat Adun di bawah Parlimennya adalah dari PAS. Dengan kebangkitan golongan pengundi Cina sekarang, calon PAS Parlimen Kuala Terengganu dijangka akan menang dalam pilihan raya ke 13 ini.
Sehingga kini beberapa nama disebut-sebut bakal menjadi calon PAS di sini. Antaranya arkitek terkemuka Datuk Raja Kamaruil Bahrin Shah Raja Ahmad.
Selain beliau, orang ramai masih menyebut bekas anggota Parlimennya, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi dan juga Abdul Wahid sendiri.
Di pihak BN pula, nama Datuk Wan Mohamad Farid dikatakan mula kendur ekoran kekalahannya dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang lalu.
Nama yang paling popular kini adalah Cikgu Zuber Embong, pegawai kanan di Jabatan Pelajaran negeri Terengganu. Nama beliau pernah naik untuk mewakili BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu 2009 lalu namun tidak kesampaian.
Namun apakah Zuber bersedia atau tidak menjadi persoalan kini. Ini kerana, beliau dikatakan pegawai yang berpotensi untuk menjadi Pengarah Pelajaran Negeri di samping kesibukan beliau dalam menyelesaikan PhDnya.
ISU-ISU
Menjelang pilihan raya kali ini, PAS mempunyai isu yang terlalu banyak untuk dihamburkan kepada pengundi dalam pilihan raya kali ini. Datuk Raja Bahrin antara tokoh besar yang sedang mengayak segala isu ini di kalangan masyarakat.
Cadangan kerajaan BN mahu merobohkan Pasar Payang bakal menjadi isu yang membakar seluruh jiwa penduduk Kuala Terengganu. Ia lebih dirasai oleh peniaga pasar dan juga para pekerja industri pelancongan di Kuala Terengganu.
Ini kerana Pasar Payang kini setaraf dengan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu dan Pekan Rabu di Alor Setar yang menjadi pusat orang Melayu berniaga. Dengan robohnya Pasar Payang, bermakna robohlah ikon pusat perniagaan orang Melayu di negeri ini.
"Apa yang orang Melayu nak berniaga dalam pasar empat tingkat berhawa dingin nanti?" tanya Raja Bahrin dalam satu majlis di Bukit Besar baru-baru ini.
"Sudah tentu tidak sesuai dengan peniaga ikan, kuih mueh dan buah-buahan yang berniaga di Pasar Payang sekarang. Di sana nanti tentulah pemilik pasaraya besar akan masuk," kata beliau menambahkata.
Kerajaan Terengganu mengumumkan perobohan Pasar Pasang untuk dibina hotel lima bintang dan kondo mewah di atasnya.
Walaupun Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengumumkan dalam sidang medianya pada 20 Februari 2013 perobohan ini disokong oleh persatuan peniaga pasar itu, ia berbeza dengan memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri tiga hari selepas itu.
Pada 23 Februari, satu memorandum bantahan di hantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di depan Ahmad Said. Ia ditanda tangani oleh 22 persatuan peniaga di Terengganu termasuk Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Terengganu.
"Ke mana MB nak letak muka," kata Raja Bahrin kepada Harakahdaily.
Selain Pasar Payang, isu pemusnahan kampung-kampung Melayu di bandaraya Kuala Terengganu juga bakal menjadi panas. Kampung Ladang dan Kampung Tanjung adalah dua kampung Melayu utama di Kuala Terengganu.
Kisah Kampung Ladang Tok Pelam yang bakal dimusnahkan untuk memberikan laluan kepada projek pembangunan juga bakal menjadi isu yang merobek hati dan perasaan penduduk Kuala Terengganu. Ini kerana flat 18 tingkat Ladang Gemilang yang dibina sangat tidak disenangi penghuninya.
Kisah pencerobohan Lahad Datu oleh tentera Kesultanan Sulu juga merobek hati penduduk Kuala Terengganu. Ini kerana, mereka pernah di'serang' oleh 'bot people' dari Vietnam yang datang ke pantai mereka pada 1975.
Namun mereka masih ingat, tentera Malaysia yang mengawal kemasukan 'bot people' ini walaupun mereka hanya terdiri dari orang awam iaitu kanak-kanak, wanita dan prang tanpa senjata.
Ia berbeza sekali dengan pencerobohan tentera Sulu yang masuk dengan senjata tetapi bukan tentera yang menguruskan mereka menyebabkan sekurang-kuranya 10 polis dan anggota tentera terbunuh.
Pada 29.8.1988 Malaysia dan Vietnam telah mengeluarkan pernyataan bersama mengenai persetujuan kedua-dua negara mengatasi masalah pelarian Vietnam ke negara ini dan pulau Bidong ditutup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan