Harakahdaily
PUTRAJAYA: Calon PAS bagi Parlimen Putrajaya Datuk Husam Musa memberi jaminan bahawa kakitangan awam bergred 41 ke bawah tidak pelu membayar cukai jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.
Katanya, ianya sesuai dengan tuntutan agama Islam yang mengajar bahawa cukai hanya dikutip dari golongan kaya sahaja.
"Apa yang kerajaan Pakatan Rakyat boleh buat, gred 41 ke bawah tak pelu bayar cukai jika Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Persekutuan.
"Dalam Islam cukai hanya untuk orang kaya sahaja," katanya ketika berceramah di hadapan puluhan ribu rakyat yang hadir di Presint 3 di sini malam tadi.
Turut hadir malam tadi Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta calon PKR Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Selain itu, Pakatan Rakyat juga kata Husam akan menurunkan cukai bandar di Putrajaya yang sekarang ini sangat membebankan masyarakat di sini.
"Di Putrajaya ini cukai bandarnya adalah paling tinggi di Malaysia. Orang-orang kaya datang mengadu minta turunkan, orang yang berpendapatan rendah pun minta diturunkan.
"Saya kata insya Allah kita akan turunkan cukai bandar di Putrajaya ini," kata beliau lagi.
Sementara itu beliau turut memberi jaminan bahawa Pakatan Rakyat juga akan menghapuskan caj 4 peratus pinjaman perumahan dan kenderaan bagi kakitangan awam.
Katanya perkara itu telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan sejak mengambil alih pentadbiran negeri itu pada tahun 1990.
"Kalau Pakatan Rakyat menang memerintah Malaysia, dasar Tok Guru Nik Aziz di Kelantan akan kita gunakan di seluruh negara.
"Caj 4 peratus pinjaman akan kita hapuskan, Di Kelantan kita dah buat, tak bankrap pun" ujarnya.
Seperkara lagi yang turut ditawarkan Husam adalah penurunan harga sewa kedai di Putrajaya.
Katanya, ramai di kalangan peniaga di Putrajaya merungut ekoran harga sewa kedai yang terlalu mahal.
"Kita boleh turunkan harga sewa kedai ini kerana bangunan disini dibina oleh Perbadanan Putrajaya dan Putrajaya Holding menggunakan wang negara wang Petronas.
"Kita hapuskan peranan orang tengah," katanya.
Puluhan ribu hadirin berdoa di Presint 3, malam tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan