Ramachandran syukur doa TG Nik Aziz termakbul

KUALA KUBU BHARU: “Syukur doa Tuan Guru Nik Abdul Aziz (Nik Mat) termakbul,” itu ungkapan penghargaan dan terima kasih calon Dun Batang Kali, Datuk Dr K Ramachandran ketika ditanya perasannya dipilih sebagai calon pada PRU13.

Ramachandran berkata, Mursyidul Am Pas itu pernah mengatakan padanya pada pertemuan di sebuah program di Kuantan, pada 1997 bahawa beliau akan menjadi calon suatu hari nanti.

Menurutnya, kata-kata Nik Aziz itu dianggap doa dan beliau bersyukur kerana akhirnya termakbul.

“Saya ingat lagi 16 tahun lalu tuan guru katakan saya akan jadi calon suatu hari nanti.

“Hari ini (semalam) saya benar-benar sudah menjadi calon mewakili PKR yang juga parti komponen Pakatan Rakyat (PR),” katanya yang ditemui ketika mengunjungi Pasar Malam Serendah bersama calon Ahli Parlimen Hulu Selangor, Khalid Jaafar.

Turut sama, Pengerusi Jentera PKR Parlimen Hulu Selangor, Md Yusof Sarman.

Ramachandran berkata, sebagai wakil PKR, beliau juga berterima kasih kepada Ketua Umum parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meletakkan kepercayaan kepadanya bagi mewakili parti pada PRU kali ini.

Menurutnya, sokongan daripada calon Ahli Parlimen Hulu Selangor, Khalid Jaafar juga diterima sehingga nama beliau diangkat sebagai calon di kerusi Dun Batang Kali.

“Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili parti pada pilihan raya kali ini.

“Pastinya, amanah ini akan kami galas bersama bagi memastikan bukan saja Dun, malah Parlimen Hulu Selangor akan kita rampas,” katanya.

Ramachandran berkata, beliau sedar sebagai calon baru sokongan ahli dan barisan jentera sangat diperlukan.

"Oleh itu, bagi merealisasikan impian PR ke Putrajaya seluruh ahli parti perlu bersatu untuk memastikan BN dapat ditumbangkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan