Tan Sri Khalid Ibrahim: Ya! Memang saya kedekut

Jamilah Kamarudin
Kongres PKR ke 9
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengaku dirinya memiliki sifat kedekut dan ‘rigid’ sehingga terbawa-bawa ketika memegang kuasa pentadbiran negeri.
Katanya, sifat itu sudah terdidik dalam keluarga sejak kecil sehingga beliau menjadi Pengurus Besar Permodalan Nasional Berhad (PNB).
“Tuan Puan kata saya sangat kedekut itu saya terima sebab itu bukan duit saya.
“Kalau (jumlah rizab negeri) RM2.6 bilion dah hilang dan terkena sumpahan rakyat, saya tak tahu ke mana nak pergi,” katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Tahunan Keadilan ke-9 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.
Abdul Khalid berkata, beliau sedar mengenai perkara itu dan berjanji untuk menggunakan duit rizab negeri untuk pembangunan rakyat Selangor.
Katanya, sebagai permulaan beliau ingin menumpukan pembangunan kawasan perkampungan secara berperingkat supaya pendapatan hidup masyarakat luar bandar dalam masa tiga tahun akan datang semakin bertambah.
“Lebih baik saya guna duit (rizab) buat apa simpan begitu banyak kerana perjuangan PKR mengurangkan jurang antara mereka yang kaya dan miskin,” katanya.
“Kalau tak dapat nak selesaikan kita tak bolehlah nak tunjukkan kepada Malaysia bagaimana kita boleh bangunkan negara tapi duit akan dijaga dengan baik,” katanya.
Katanya, beliau serius membanteras gejala rasuah dalam pantadbiran negeri melalui mekanisme baru yang akan diumumkannya kelak.
“Saya akan cari mereka semua yang salah gunakan duit dan masukkan dalam dana negeri supaya rakyat dapat guna,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengaku sedar tentang kelemahannya yang kurang memahami selok belok politik memandangkan ia elemen penting asas perjuangan dan bukan hanya melalui cara pengurusan yang terlalu rigid.
Khalid berkata, beliau juga sedar pejabat Menteri Besar perlu sentiasa ada hubungan dengan parti (political liaison) untuk memantau perkembangan politik negeri.
“Saya terima masalah itu dan saya bersetuju walaupun ada kalanya Anwar Ibrahim ingat saya tak dengar cakap dia,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan