Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua PAS Segamat, Firdaus Masod akan mengambil tindakan undang-undnag ke atas Exco Agama Kerajaan Negeri Johor, Abd Mutalib Abd Rahim berhubung kenyataan yang disifatkan sebagai fitnah.
Firdaus berkata, kenyataan Abd Mutalib yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Inggeris 5 Jun lalu menjejaskan reputasi dan kredibilitinya sebagai pimpinan PAS di peringkat kawasan.
Beliau kesal terhadap tuduhan Abd Mutalib kononnya beliau sengaja mahu memperbesar isu ini kepada media tanpa melaporkannya kepada pihak berkuasa.
"Kenyataan Abd Mutalib yang mengatakan saya tahu lebih awal mengenai tarian separuh bogel itu ternyata tidak bertanggungjawab.
"Saya langsung tidak tahu-menahu mengenai tarian itu hinggalah seorang pengunjung merakam gambar dan menyerahkannya kepada saya.
"Saya terima gambar itu dalam jam 9.00 malam. Bagaimana saya nak laporkan kepada pejabat agama sedangkan mana ada pejabat buka waktu malam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Menurutnya juga, apa yang dipersoalkan adalah mengenai kelulusan pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam Negeri berhubung sesuatu program yang tidak sopan di khalayak ramai.
"Bagaimana sesuatu program begitu boleh diluluskan untuk dipersembahkan di khalayak ramai? Sepatutnya tugas jabatan agama memantau program-program sebegini.
"Sekurang-kurangnya Abd Mutalib perlu bersemuka dengan saya dahulu sebelum menuduh saya tahu mengenai tarian ini," tegasnya.
Sehubungan itu, Firdaus melalui peguamnya di Kuala Lumpur akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Abd Mutalib.
"Peguam saya akan memfailkan saman terhadap dia dalam masa terdekat ini dan jumlah tuntutan dan yang berkaitan dengannya akan ditentukan peguam saya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan