Kenapa KJ kait Kuala Besut dengan kedudukan Najib?

Shahbudin Husin

Dalam usaha kempen untuk memastikan kemenangan calon BN di Kuala Besut, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin (KJ) telah mengaitkan kemungkinan kedudukan Perdana Menteri, Najib Razak akan tergugat jika BN tewas dalam pilihanraya kecil ini.

Menurut beliau, jika BN tewas di Kuala Besut dan kedudukan jumlah kerusi DUN Terengganu menjadi seri serta kemungkinan akan diadakan pilihanraya peringkat negeri, suatu gelombang, gerakan dan goncangan yang akan menggugat kedudukan Najib akan berlaku.

Sehubungan itu, beliau beberapa kali merayu anak-anak muda Kuala Besut agar memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya kecil ini bagi mengelakkan kedudukan Najib ssbagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN daripada tergugat.

Sekali imbas ternampak macam KJ mahu mempertahankan kedudukan Najib apabila beliau menyebut mengenai perkara itu tetapi siapa yang dimaksudkan oleh KJ boleh menggugat kedudukan Perdana Menteri itu?

Selama ini orangramai hanya selalu mengaitkan keputusan pilihanraya Kuala Besut dengan kedudukan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said saja kerana jika PAS menang, kedudukan jumlah kerusi BN dengan PR menjadi seri dan akan membuat Ahmad Said menjadi goyah.

PAS sendiri dalam kempennya menggunakan slogan 16-16 Terengganu Baru iaitu mengenai kemungkinan mereka mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub juga yakin jika kedudukan menjadi 16-16, kerusi Menteri Besar Terengganu akan menjadi milik mereka.

Dalam kempen-kempen yang lain juga, PAS lebih banyak menyerang pentadbiran kerajaan negeri terutama berkaitan tanah, pembangunan, rasuah dan sebagainya.

PAS sendiri tidak melihat ada kaitan keputusan di Kuala Besut ini dengan kedudukan dan masa depan politik Najib dan menjatuhkan Perdana Menteri melalui Kuala Besut bukanlah matlamat PAS. Matlamat PAS dan PR memenangi Kuala Besut ialah untuk mengambil alih kerusi Menteri Besar saja.

Jadi, siapa yang dimaksudkan KJ boleh menggugat kedudukan Najib itu?

Kalau dengan kedudukan seri dan kemudian diadakan pilihanraya negeri pula, kalau pun PAS dan PR memenanginya, yang tumbang hanyalah kerajaan negeri dan hilang jawatan pula hanya Ahmad Said.

Dengan jatuhnya negeri Terengganu, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri tidak tergugat sama-sekali kerana kalah di peringkat negeri tidak menjejaskan 133 kerusi BN di Parlimen.

Kalau begitu, siapa yang sebenarnya boleh menggugat Najib seperti yang dimaksudkan KJ?

Mungkinkah dengan kekalahan BN di Kuala Besut dan jika diadakan pilihanraya peringkat negeri dan BN juga kalah kemudiannya, akan berlaku undi tidak percaya terhadap Najib di Parlimen?

Nampak macam tidak logik perkara itu akan berlaku kerana kekalahan di satu kerusi DUN atau kehilangan satu negeri tidak merupakan alasan yang kuat untuk membawa undi tidak percaya terhadap Najib.

Habis, siapa lagi yang boleh menggugat Najib?

Mungkinkah KJ sebenarnya ingin memberitahu bahawa kekalahan BN di Kuala Besut bermakna penolakan terhadap kepimpinan Najib sebagai Presiden UMNO dan ia seharusnya dilanjutkan kepada pemilihan UMNO yang akan diadakan hujung tahun ini. Desas-desus memang sudah lama bertiup bahawa Muhyiddin atau Tengku Razaleigh akan masuk gelanggang untuk mencabar Najib kali ini.

Tetapi menjadi persoalan juga jika KJ mengaitkan kekalahan BN di Kuala Besut dengan pertandingan jawatan Presiden UMNO sedangkan Pemuda UMNO sudah membuat keputusan sebaik saja PRU 13 lalu agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan. Kalau sudah bersetuju jawatan Najib tidak ditandingi, apa yang ditakutkan dengan kedudukan Najib akan tergugat?

Atau adakah ini bermakna KJ sudah mengubah keputusan dan bersetuju jawatan Presiden UMNO ditandingi pula? Atau juga ini merupakan signal beliau bahawa sekiranya BN kalah di Kuala Besut, maka bermakna kedudukan Najib wajar menjadi pertimbangan semula 146,500 perwakilan UMNO yang akan mengundi pada kali ini?

Secara logiknya, apabila KJ mengaitkan Kuala Besut dengan kedudukan Najib yang bakal tergugat, ia tentunya lebih menjurus kepada pemilihan UMNO berbanding gugatan daripada PR dan Anwar Ibrahim. Dalam waktu yang terdekat ini juga, bahang pemilihan UMNO lebih memanas sementara ancaman daripada PR dan Anwar sudah kelihatan mulai sejuk.

Anwar dan PR selain menumpukan kepada proses membantah keputusan pilihanraya di mahkamah, mereka juga sudah mulai bergerak untuk memenangi PRU 14 lima tahun akan datang. Maknanya, Anwar bukan lagi ancaman kepada Najib.

Apabila KJ mengatakan kedudukan Najib bakal tergugat, apakah juga bermakna situasi Najib sekarang makin lemah? Apakah kedudukan Muhyiddin yang dikatakan akan mencabar Najib makin kuat dalam pemerhatian KJ?

Kemenangan BN di Kuala Besut mungkin mampu menyelamatkan Najib tetapi harus diingat kemenangan yang sama juga akan melonjakkan nama Muhyiddin kerana beliau merupakan Pengarah pilihanraya dan menghabiskan banyak masanya, bukan saja menemui rakyat, menjadi imam bahkan juga memberi banyak projek pembangunan segera untuk Kuala Besut.

Kuala Besut lebih menaikkan nama Muhyiddin, walaupun kemenangannya menggembirakan Najib dan Ahmad Said.

Dengan KJ secara tiba-tiba mengaitkan Kuala Besut dengan kedudukan dan masa depan Najib sedangkan PAS hanya ingin menumbangkan Ahmad Said sebagai Menteri Besar, bahang kempen mungkin akan menjadi bersimpang-siur dalam hari-hari terakhir menjelang 24 Julai ini. Kempen untuk calon BN akan menjadi bercampur-campur dengan kempen untuk mempertahan atau menyingkirkan Ahmad Said dan Najib.

Sama ada gelombang kempen untuk menukar kepimpinan Ahmad Said akan bertaut dengan usaha untuk menyingkirkan Najib atau gelombang menolak Najib menjadi lebih kuat akhirnya dan turut meresapi pemikiran pengundi Kuala Besut atau pengundi Kuala Besut tidak terkesan dengan semua permainan itu, kebarangkalian Kuala Besut bakal mencipta pelbagai arus politik untuk UMNO dan negara selepas ini tidak boleh dinafikan begitu saja.

Dan KJ mungkin sedang memerhati semua arus itu dan memikir-mikir arus manakah yang tidak akan menyebabkan hanyut dan kelemasan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan