Ini yang terdedah. Bayangkan berapa banyak yang tak terdedah atau sengaja disembunyikan kekejaman tentera Amerika terhadap umat Islam di mana-mana.
Sarjan akui bunuh 16 penduduk Afghanistan perbuatan pengecut
Washington: Pegawai tentera Amerika Syarikat berpangkat sarjan, Robert Bales, yang mengaku bersalah membunuh 16 penduduk kampung di Afghanistan, semalam memohon maaf kepada keluarga mangsa dan berkata tindakannya adalah perbuatan pengecut.
Bales yang tidak dapat menahan sebak, bercakap ketika perbicaraan membabitkan tindakannya yang disifatkan jenayah paling dahsyat pernah dilakukan seorang askar Amerika Syarikat di Afghanistan. Antara yang terbunuh termasuk sembilan kanak-kanak.
“Apa yang saya lakukan adalah perbuatan pengecut dan penakut,” kata Bales di mahkamah tentera, yang dipetik Seattle Times. Ini adalah kali pertama Bales memohon maaf di atas perbuatan pembunuhan beramai-ramai itu.
“Saya benar-benar memohon maaf atas apa yang saya lakukan. Saya membunuh keluarga mereka. Jika saya boleh mengembalikan semula nyawa mereka, saya akan lakukannya,” kata bapa kepada dua orang anak itu.
Penjara seumur hidup
Bales yang bersemuka dengan mangsa terselamat dalam serangannya itu minggu ini, berdepan hukuman penjara seumur hidup. Dia mengaku bersalah Jun lalu, bagi mengelak hukuman mati.
Pendakwa dan peguam bela menutup hujah masing-masing hari ini, manakala enam anggota juri tentera akan memutuskan sama ada Bales boleh membuat permohonan pengampunan selepas 20 tahun dipenjarakan.
Seattle Times melaporkan, Bales bercakap ketika memberi keterangan tidak bersumpah, bermaksud dia tidak boleh disoal balas. Dia bagaimanapun tidak memberi butiran terperinci dan alasan melakukan pembunuhan itu.
Minggu ini Bales diperintahkan mendengar keterangan menyayat hati mangsa terselamat dan bagaimana mereka terpaksa menjalani kehidupan penuh trauma selepas kejadian itu.
Tekanan melampau
Panel dianggota tiga pegawai tentera dan tiga askar kanan, dimaklumkan mengenai tekanan fizikal dan emosi melampau yang terpaksa mereka hadapi berikutan tindakan Bales.
Mahkamah juga diberitahu bahawa Bales minum minuman keras dan menonton filem bersama askar lain sebelum serangan itu.
Peguam Bales, John Henry Browne berkata pasukannya bercadang memanggil hingga 10 saksi pakar untuk memberi keterangan mengenai kesan penghantaran askar ke pelbagai lokasi, masalah tekanan dan isu kesihatan lain.
Mereka akan mencadangkan Bales mengalami sindrom gangguan tekanan selepas trauma (PSTD) dan kecederaan otak akibat trauma.
- AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan