Najib, ini caranya umum naik harga minyak

Timmy Say

Sudah seminggu lebih, harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan 20 sen seliter. Ramai yang masih marah terhadap keputusan itu.Namun, reaksi rakyat biasanya bagaikan air tin bergas. Ketika pengumuman dibuat, bukan main berbunyi hissnya air tersebut ketika penutup tinnya dibuka. Namun setelah beberapa ketika, air tersebut akhirnya tenang untuk ditelan ke perut manusia.

‘Hiss’ air kali ini akan lebih berpanjangan daripada biasa. Pertama kerana 51% telah mengundi untuk menurunkan harga minyak. Tapi tidak sampai setengah tahun, majoriti ini dihadiahkan dengan kenaikan 20 sen harga minyak.
Kenaikan 20 sen akan menyebabkan rakyat akan terpaksa membayar lebih RM10 untuk 50 liter minyak yang dibeli.

Marah sangat ke rakyat pada lebihan RM10 yang perlu dibayar? Soalan ini bukan untuk menafikan bahawa rakyat berasa marah, tapi lebih kepada memahami apa yang rakyat marah sebenarnya.

Pertama, lihat bagaimana Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman kenaikan harga minyak. Najib memilih waktu petang, ketika semua berpusu-pusu hendak balik ke rumah selepas kepenatan bekerja untuk menaikkan harga minyak.

Ini menyebabkan ramai yang bergegas untuk mengisi minyak terakhir mereka yang berharga RM1.90. Jika difikirkan semula, mereka melihat RM10 (itupun jika tangki betul-betul kosong) yang boleh dijimatkan ini sebegitu besar sehingga ada yang sanggup bergaduh dan beratur berjam-jam lamanya di stesen minyak.

Ada seorang sahabat saya yang beratur satu jam untuk mengisi setengah tangkinya. Dia merasa puas dan marah. Puas kerana beliau berjaya mengisi minyak murah RM1.90 buat kali terakhirnya. Marah kerana satu jam menunggu dan hanya RM6 yang berjaya dijimatkan daripada 30 liter minyak yang diisinya kerana Najib buat pengumuman “last minute”.

Dalam hujahnya, Najib berkata kenaikan harga minyak ini akan menjimatkan RM1.1 bilion untuk tahun 2013, dan RM3.3 bilion untuk tahun-tahun akan datang.

Mendengar hujah ini, rakyat terus naik minyak kerana persepsi BN boros dan pemimpin BN hidup mewah sudah terbenam di sanubari rakyat. Lebih-lebih lagi apabila rakyat terbayangkan isteri Najib, NFC, kapal selam Scorpene, kerugian MAS dan sebagainya.

Emosi rakyat lebih meluap apabila dijolok dengan soalan wang yang dijimat ini diguna untuk apa. Janji untuk memperbaiki pengangkutan awam daripada wang yang dijimatkan ketika harga minyak dinaikkan dulu tidak pernah ditunaikan.

Lebih membara hati rakyat apabila ada yang menyebut berbilion ringgit yang dijimatkan daripada poket rakyat ini akhirnya akan jatuh ke tangan kroni.

Pada rakyat, jika duit yang dijimatkan itu bakal jatuh ke tangan kroni, lebih baik duit ini disimpan dalam bentuk subsidi pada rakyat. Sekurang-kurangnya, rakyat boleh “ambil duit” setiap kali mengisi minyak.

Lebih memburuk kemarahan rakyat adalah siri kenyataan yang dibuat para pemimpin BN secara spontan untuk menyokong naiknya harga minyak.

Bermula dengan kenyataan Bung Mokhtar yang menghina orang kampung kepada hujah Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata kenaikan harga minyak hanya akan menyebabkan harga makanan meningkat 0.1% dan timbalan menteri kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan yang membandingkan Malaysia dengan negara bukan pengeluar minyak – rakyat berasa kerajaan sedang membodohkan mereka.

Sebab mereka tahu, masalah ekonomi negara berpunca daripada sikap boros kerajaan dan rasuah yang berleluasa dan bukannya kerana harga minyak dan wang yang digunakan menampung subsidi rakyat.

Ini masalah Najib dalam membuat pengumuman naik harga minyak. Najib terlupa mengambil kira persepsi buruk rakyat terhadap beliau dan BN sebelum membuat pengumuman tersebut. Najib juga terlupa kebengongan hujah-hujah yang dikemukakan ahli politik BN yang ibarat menyimbah minyak pada api yang sedang membara.

Lebih teruk lagi, Najib terlupa rakyat kini tidak bodoh, dan maklumat kini hanya di hujung jari.

Tak pasti samada PEMANDU terlibat tak dalam membantu Najib membuat pengumuman harga minyak naik ini. Jika ya, rasanya lebih elok Najib dapatkan bantuan lain.

Najib tahu rakyat akan marah dengan pengumuman naik harga minyak, dan beliau juga tahu pembangkang akan ambil kesempatan menerkam. Oleh kerana PRU14 masih jauh, mungkin Najib dan para penasihatnya berasa beliau tidak perlu mengambil kisah semua itu.

Tapi beliau terlupa, ahli bawahan Umno yang tidak cukup makan juga terasa dengan kenaikan harga minyak ini. Berapa ahli Umno malam itu yang juga seperti sahabat saya beratur untuk mengisi minyak RM1.90 bagaikan ini adalah kali terakhir baginya?

Cara lain

“Bermula hari ini, kerajaan perlu mula berjimat cermat dalam perbelanjaannya demi pengukuhan ekonomi dalam jangka panjang. Sebagai Perdana Menteri, saya telah mengambil keputusan supaya rumah Seri Perdana dan Seri Satria akan mengurangkan pembelanjaan sebanyak 50%. Semua kerja penaiktarafan dan penambahbaikan dibatalkan untuk lima tahun akan datang. Kapal selam Scorpene akan dijual.

“Jumlah pembelanjaan saya ke luar negara akan dikurangkan sebanyak 30%. Semua kementerian dan jabatan di bawahnya mesti mengurangkan pembelanjaan sebanyak 30% mulai besok. Semua ini akan dilaporkan ke media dari semasa-semasa.

“Diharap rakyat dapat bersama-sama kami untuk turut berjimat-cermat. Kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen bagi RON95 dan diesel. Maafkan kami. Kerajaan sedar bahawa kenaikan ini akan memberikan impak sedikit sebanyak kepada kenaikan kos harga barang.

“Kerajaan akan melakukan sebaik mungkin untuk mengawal kenaikan dan inflasi yang bakal datang ini. Demi sama-sama merasai kenaikan ini, saya dan barisan kabinet bermula saat ini tidak lagi dibenarkan mengambil elaun minyak.

“Sikap boros pembelanjaan kerajaan mesti dihentikan demi menyelamatkan ekonomi negara dan meneruskan komitmen kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal akan diteruskan bagi mencapai sasaran defisit fiskal dalam lingkungan 3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan belanjawan berimbang menjelang 2020.

Rakyat tidak keseorangan dalam hal ini. Saya dan barisan kabinet akan bersama rakyat mengharungi detik mencabar ini.”

Bayangkan sekiranya pengumuman di ataslah yang dibuat Najib pada 11.45 tengah malam; dan 12 tengah malam harga minyak dinaikkan.

Pertama, pemilihan waktu ini boleh mengelakkan rakyat bergelut membeli minyak RM1.90 sebelum tengah malam. Walaupun pada besok paginya ada yang terkejut dengan kenaikan harga minyak, tapi melihat kenyataan Najib yang “memukul diri dan kerajaan” dengan mengakui kerajaan harus menghentikan sikap borosnya, rakyat akan berasa kurang marah.

Paling utama ialah pengakuan Najib bahawa masalah utama yang belenggu negara ialah keborosan kerajaan pimpinannya di dalam pengumuman itu.

Ditambah pula dengan langkah-langkah yang diambil Najib untuk menunjukkan bahawa barisan pemimpin dan kerajaan turut sama bersusah bersama rakyat, pengumuman ini bakal membantu meminimakan kemarahan rakyat dan mengelakkan kemarahan rakyat seperti yang berlaku sekarang.

Sebenarnya inilah cara terbaik dalam mengumumkan berita buruk, tatkala seseorang itu berada di persepsi negatif rakyat.

Rakyat tidak marah sangat pada RM10 lebihan yang perlu dibayar. Rakyat lebih marah cara pengumuman itu dilakukan, alasan yang diberikan oleh Najib dan bertambah marah apabila mendengar hujah-hujah dangkal para pemimpin BN untuk memaksa rakyat menerima kenaikan harga minyak dengan hati terbuka.

Api kemarahan itu bertambah apabila rakyat terfikir mengapa mereka saja yang dikorbankan, dan bukannya para pemimpin yang elit, yang kaya-raya dan tinggal di rumah-rumah besar. Ini tidak ditambah lagi dengan sengatan daripada pihak pembangkang.

Pendek kata, usah guna jalan dan hujah berliku ketika mengumumkan sesuatu yang buruk. Sedarlah wahai Perdana Menteriku, jalan berliku ini susah, dan kerana jalan ini, kamu sudah kehilangan undi popular.

Lain kali, cubalah pula jalan lurus. Percayalah, langkah ini lebih mudah walaupun nampak susah pada langkah pertamanya.

Sudah tentu pembangkang akan mengambil kesempatan lagi, tapi pintu kesempatan agak sempit kerana tempoh “hiss” rakyat akan menjadi minima.

Dan lebih penting ialah pintu peluang untuk terus berkuasa terbuka luas, sekiranya para pimpinan BN dan kabinet Najib mengambil kesempatan untuk menunjukkan tauladan yang baik bahawa mereka turut berjimat-cermat, sokongan rakyat akan kembali pada BN.

Walaupun Malawi mundur, tapi tindakan kerajaannya untuk menjual pesawat presiden untuk memberi makan lebih dari sejuta rakyatnya yang kelaparan adalah jauh lebih maju daripada kerajaan BN, dari segi menjaga hati rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan