Jofri Jaraiee PAS Sarawak
MIRI: Hari Malaysia tahun ini akan menjadi lebih besar dan meriah dengan adanya pesta hiburan yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Miri bersama-sama dengan Shin Yang Group dan Kelab Selebriti, parti jalanan akan diadakan di hadapan Imperial Palace Hotel pada 15 Sept dari pukul 6 petang sehingga 2 pagi. Acara lapan jam itu akan dihoskan oleh Jin dan Ryan dari hitz.fm menampilkan Mizz Nina, Madu DJ G dan Mocha Girls.
Sarawak bergabung dengan Malaya pada 16 September 1963 maka dengan itu terbentuklah sebuah Negara Malaysia. Walaupun pada hakikatnya negara kita belum merdeka sepenuhnya kerana sistem perundangan negara kita masih mengamalkan dan dipengaruhi oleh sistem koloni British. Sepatutnya Malaysia bebas mengamalkan undang-undang sendiri tanpa perlu terikat dengan sistem penjajahan British.
Acara sambutan Hari Malaysia di Sarawak khususnya Miri amat tidak bersesuaian dengan adat resam dan budaya tempatan. Para penganjur lebih memberi tumpuan kepada ‘Street Party’ hiburan yang melalaikan serta mengalakkan gelaja sosial berlaku di kalangan remaja yang berlepak sehingga larut malam.
Sepatutnya pihak yang berkenaan lebih memberi tumpuan dengan mempromosi kebudayaan tempatan bukannya bangga dengan hiburan asing yang melalaikan rakyat tempatan.
Masalah sosial yang banyak melibatkan remaja-remaja Muslim semasa perayaan perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa seperti Jakim, Jais dan sebagainya. Mereka harus dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan iman dan akhlak terutama remaja Muslim yang mudah terpengaruh dengan budaya asing sebagai cara hidup.
Bagi yang bukan Muslim terserah dengan budi bicara mereka sendiri untuk menasihat penganut agama mereka masing-masing. Sekiranya agama mereka tidak melarang penganut mereka melibat diri dengan program hiburan yang melampau, itu adalah hak mereka tetapi yang jelas Islam melarang keras penganutnya terlibat dengan sebarang hiburan yang melampau dan berbentuk maksiat.
Kita sedia bekerjasama dengan pihak Jakim, Jais dan pihak keselamatan untuk membanteras kegiatan tidak bermoral di kalangan umat Muslim dalam negara ini terutama golongan remaja. Mereka yang terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral ini boleh merosakkan masa depan negara, agama dan bangsa. Negara boleh terjajah semula sekiranya golongan remaja tidak menghargai kemerdekaan yang dikecapi masakini.
Kita menyeru agar umat Muslim terutama golongan remaja, jangan melibatkan diri dengan sebarang kegiatan atau program hiburan yang melampau dan melalaikan seperti ‘Street Party’. Kembalilah kepada ajaran Islam sebenar agar kita dapat mencapai kemerdekaan yang sebenarnya menurut ajaran Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan